Kontroversi Ayu Raudhah bukan publisiti murahan


ZAQUAN ADHA dan Ayu Raudhah.

FILEM Lagenda Budak Setan 3 (LBS3) baru sahaja memulakan tayangannya Khamis lalu, namun kontroversi membabitkan suami kepada Ayu Raudhah, Zaquan Adha dan Iqram Dinzly yang membawakan karakter sebagai Shan dilihat sedikit sebanyak memberi impak negatif terhadap filem terbabit.

Sebelum ini, Zaquan yang merupakan pemain bola sepak negara memuat naik status di Twitter meluahkan rasa tidak puas hati melihat adegan Ayu dipukul Iqram dalam LBS3 ketika menghadiri pratonton filem tersebut pada 27 Ogos lalu.

Sementara Iqram pula membalas komen Zaquan menyatakan ia hanyalah satu lakonan, bukannya seperti bermain bola sepak.






Sensasi Bintang sempat menemu ramah pengarah LBS3, Sharad Sharan berhubung kontroversi yang berlaku itu.

SENSASI BINTANG!: Sebagai seorang pengarah, apakah reaksi anda ketika mendapat tahu tentang kontroversi yang berlaku antara Zaquan Adha yang dikatakan kurang senang melihat isterinya dipukul oleh Iqram Dinzly dalam LBS3?

SHARAD SHARAN: Apabila bergelar seorang pelakon, mereka haruslah bekerja secara profesional. Bagi saya, perkara yang berlaku ini sukar untuk dielakkan kerana masing-masing mempunyai pandangan tersendiri dalam menilai sesuatu filem. Sebagai pengarah, saya agak bimbang kontroversi ini tersebar kerana saya mahu melihat filem arahan saya sukses dan sempurna.

Adakah anda rasa tindakan Zaquan yang melenting di laman sosial Twitter sesuatu yang tidak profesional?

Tidak. Saya rasa Zaquan mungkin trauma dan agak terkejut ketika melihat adegan Iqram memukul isterinya dalam LBS3. Mungkin dia tidak pernah mengalami atau melihat situasi itu sebelum ini. Bagaimanapun, saya difahamkan mereka sudah pun meminta maaf dan melupakan insiden tersebut.

Adakah Iqram atau Ayu ada menelefon anda sebaik sahaja kontroversi itu tersebar?

Mereka tidak menghubungi saya, sebaliknya saya yang menelefon Iqram untuk mendapatkan penjelasan. Malah, saya sudah menjelaskan kepada Iqram bahawa tindakan itu sedikit sebanyak akan memberi impak negatif terhadap filem LBS3.


SALAH satu babak pergaduhan antara Iqram dan Ayu dalam filem Lagenda Budak Setan 3.

Mungkin anda boleh ceritakan sedikit, apakah yang terjadi ketika adegan antara Ayu dan Iqram sehingga boleh timbul kontroversi?

Tidak dinafikan ketika itu Ayu kelihatan agak trauma tetapi kalau diikutkan cerita yang berlaku dalam novel Lagenda Budak Setan itu lebih dahsyat berbanding apa yang kami persembahkan.

Sebelum mana-mana pelakon melakukan setiap adegan ganas, mereka akan buat latihan terlebih dahulu dan Iqram akan sentiasa meminta maaf kepada Ayu kerana terpaksa melakukan adegan tersebut. Apa yang boleh saya katakan, mereka berdua adalah pelakon yang hebat.

Adakah anda merasakan ini adalah satu gimik atau percaturan mereka dalam memberi publisiti kepada LBS3?

Tidak. Saya tidak rasa ini satu strategi untuk mencari publisiti. Lagipun, sebagai pengarah saya tidak akan benarkan mereka membuat publisiti seperti itu. Ini kerana LBS3 sudah memiliki penyokongnya yang tersendiri. Buktinya, kami sudah memiliki hampir 900,000 pengikut di laman sosial Facebook.




Beralih kepada filem LBS3, bagaimana anda melihat filem ini dapat menarik penonton untuk datang ke pawagam?

LBS3 merupakan sekuel terakhir yang kami hasilkan. Kami bekerja keras untuk menghasilkan sebuah naskhah yang berkualiti kepada audien.

Disebabkan itu, kami menampilkan lagu dendangan Yuna berjudul Lautan sebagai runut bunyi dalam filem ini. Saya percaya penonton pasti akan berpuas hati ketika menyaksikan filem ini.

LBS3 sedang ditayangkan di pawagam. Jadi apa yang menjadi kebimbangan anda ketika ini?

Setiap penonton mempunyai jangkaan tersendiri ketika menonton filem ini. Saya agak bimbang dan tertekan kerana LBS sudah pun berjaya diangkat menjadi sekuel yang ketiga.

Apa yang menjadi kebimbangan saya adalah penerimaan dan maklum balas daripada mereka. Bagaimanapun, saya sudah melakukan sehabis baik dan secara teknikal ini adalah filem terbaik pernah saya hasilkan.
Previous Post Next Post