Nasi Tangas penentu nasib



KANVAS seni mereka masih belum diwarnai sepenuhnya dengan percikan gemerlapan warna glamor.Cetusan rasa pemerhati ketika menyelongkar peribadi dua figura 'hijau', Azwan Kombos dan Adiba Yunus selama ini juga banyak dibayangi kisah sensasi mereka di luar gelanggang.

Menerusi filem Nasi Tangas terbitan Metrowealth Pictures (MIG), kedua-dua mereka buat pertama kali diangkat sebagai peneraju utama.

Naskhah berat hasil garapan sutradara Hashim Rejab itu pastinya menguji kredibiliti Azwan dan Adiba bagi menggamit pesona khalayak.

Soal sama ada mereka layak diangkat sebagai hero dan heroin ataupun tidak, segala-galanya bakal terjawab sebaik sahaja Nasi Tangas menjengah pawagam pada Khamis ini (18 September).






Menyelusuri lorong-lorong industri dengan watak sampingan sebelum ini, Azwan, 29, atau nama sebenarnya Mohd. Al Azwan Kombos tahu namanya belum cukup untuk mencetuskan impak apatah lagi memegang watak hero.

Pelakon kelahiran Kota Belud, Sabah yang menerobos industri filem tempatan dengan watak sampingan dalam filem Lu Fikirlah Sendiri The Movie itu juga mengakui tanggungjawab yang dipikul dalam Nasi Tangas.

"Peluang menerajui watak utama pastinya ditunggu-tunggu kesemua pelakon termasuk saya.

"Saya harus menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin dan perlu menanggung segala kekurangan jika gagal memberikan yang terbaik sebagai hero.

"Pandangan peminat cukup penting supaya saya tahu kemampuan saya yang sebenar dalam bidang lakonan.

"Jadi, saya sendiri perlu membuka mata banyak pihak tidak kira di dalam mahupun di luar industri supaya lebih tahu siapa saya sebenarnya," kata bekas penuntut Kolej Yayasan Melaka dalam jurusan pengurusan teknologi itu.

Degup debar yang sama juga dikongsi Adiba apabila pertama kali diuji dengan watak utama dalam naskhah bergenre seram itu.

Sinonim sebagai penyeri dalam rangkaian filem terbitan MIG selama ini termasuk Wawa Semput, Highland Tower, Paku Pontianak, Ajiboi dan Taikun, Adiba, 25, menafikan pemilihannya dalam Nasi Tangas sekadar tangkap muat semata-mata.



ADIBA giat bersenam bagi menjayakan Nasi Tangas.

Bukan 'tangkap muat'

"Pemilihan pelakon dalam filem Nasi Tangas dilaksanakan dengan cukup rapi dan selektif.

"Ia bukan sekadar tangkap muat meskipun ini kali pertama kami berdua diberikan peluang menerajui watak utama bersama Shima Anuar.

"Saya juga berbesar hati dapat berlakon bersama pelakon senior seperti Delimawati Ismail dan Herman Tino dalam filem ini," katanya kepada Sensasi Bintang.

Getus Adiba, tidak wajar menghukum Nasi Tangas hanya semata-mata cerita itu ditunjangi pesona baharu sepertinya.

"Setiap naskhah ada peranan. Jika skripnya bagus, ia dapat menarik perhatian penonton.

"Sudah tentu, saya cukup bertuah diberikan peluang menggalas watak utama dalam filem ini," kata pemilik nama Siti Adibah Mohd. Yunus yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu.

Azwan pula menambah, tekanan sentiasa ada kepada setiap pelakon terutamanya ketika membuat penampilan sulung sebagai peneraju utama dalam mana-mana filem.




"Kejayaan sebuah filem bergantung kepada kesinambungan antara pengarah, skrip dan pelakon.

"Ini kali kedua saya mendapat sentuhan Hashim selepas filem Longkai, beliau seorang yang kreatif dan berjaya memastikan saya keluar dari zon yang selesa," kata bakat baharu yang dicungkil pengarah teater, Aminah Rafoor itu.

Bersatu bersama Adiba sebagai pasangan suami-isteri dalam Nasi Tangas, Azwan mengakui watak Hairi memerlukannya meneroka satu rasa yang cukup asing berbanding watak-watak beliau sebelum ini.

Paling terkesan jelas Azwan, apabila karakter Hairi mula menelan sedikit demi sedikit identitinya di luar set.

"Saya berubah menjadi pendiam ketika itu. Watak Hairi banyak menuntut saya bermain dengan jiwa yang memiliki susur galur yang berbeza dalam satu masa.

"Apa yang dilihat Hairi belum tentu sama dengan apa yang disaksikan orang lain.

"Ada satu babak saya menjamah hidangan seperti biasa sedangkan orang lain melihat saya menelan ulat hidup-hidup.

"Hairi juga sering kali keliru dengan setiap situasi yang perlu ditangani dalam Nasi Tangas terutamanya apabila hatinya cuba dipengaruhi bisikan syaitan," kata anak bongsu daripada tujuh beradik itu.



DUA figura baharu ini mahu lebih dikenali kerana bakat.
Advertisement


Menyerap roh

Cerita Azwan, segala-galanya bermula apabila perasaan isteri Hairi, Mira (lakonan Adiba) dijerut cemburu terhadap rakan baik mereka, Fatin (lakonan Shima Anuar).

"Dalam filem ini, Hairi, Mira dan Fatin merupakan teman rapat.

"Bagaimanapun, konflik mula timbul apabila Hairi sering memandang mudah cemburu Mira, selain kabur dengan niat sebenar Fatin," jelas Azwan.

Azwan yang ketika ini sedang menjalani penggambaran Bila Hati Berbicara arahan Amie Maziah menjelaskan, komunikasi dua hala cukup penting bagi menghindari tindakan berbaur khurafat dalam dunia realiti.

"Pendek kata, wanita tidak boleh cemburu buta, sementara lelaki juga perlu lebih sensitif.

"Saya harap kisah yang diterjemah dalam filem ini dapat memberi teladan kepada penonton," kata Azwan yang tidak lagi mahu dikaitkan dengan bekas kekasih, Nad Zainal.

Adiba pula memberitahu, karakter Mira menuntutnya bertukar watak secara total.

"Ada masanya Mira cukup manja, namun tidak sampai sesaat Mira tiba-tiba bertukar menjadi pendendam.

"Segala-galanya berpunca apabila dibakar amarah cemburu buta dengan hubungan 'teman tapi mesra' antara Hairi dan Fatin.

"Hasutan pihak luar juga menyebabkan Mira tenggelam punca dan tidak tahu bagaimana untuk menangani konflik rumah tangga," katanya menguntum senyum.

Namun, Adiba menekankan itu bukan bermakna perilaku khurafat itu didalangi Mira seorang diri dalam filem berkenaan.

"Ramai yang beranggapan kesalahan ini sebenarnya berpunca daripada kesilapan isteri yang mahu dihormati sedangkan suami juga perlu bertanggungjawab.

"Nasi tangas bukannya penawar bagi mana-mana pasangan yang bermasalah seperti yang ditekankan dalam filem ini iaitu 'tunduk hati, tunduk mati'.

"Jadi dalam filem ini, kesemua watak sebenarnya membuat kesilapan tidak tertumpu kepada kesalahan sesetengah pihak semata-mata.

"Soal siapa sebenarnya yang membuat nasi tangas, segala-galanya bakal terjawab menerusi filem berkenaan," ujarnya.



FILEM Nasi Tangas menjadi ujian sulung Adiba (kiri) dan Azwan sebagai peneraju utama.
Advertisement


Mengulas lanjut, Adiba percaya senario nasi tangas masih berlaku dalam dunia serba moden sekarang.

"Kejadian seperti ini bukan isu lapuk meskipun cerita seperti ini pernah diangkat menjadi sebuah karya sebelum ini.

"Filem Nasi Tangas berdasarkan kisah benar yang diolah semula supaya dapat dijadikan iktibar oleh semua pihak.

"Saya sedar isu ini cukup sensitif dan hati berbelah bahagi ketika ditawarkan watak, namun setelah mengadakan perbincangan bersama keluarga dan pihak produksi saya akhirnya menerima tawaran itu.

"Saya juga memohon maaf sekiranya ada pihak yang tersinggung dengan lakonan saya dalam filem ini," jelas Adiba yang kini terlibat dengan produksi filem Adik Abang arahan sutradara Azaromi Ghozali.

Dia juga mengakui berperang dengan perasaan ketika menjayakan watak Mira.

"Alhamdulillah, tiada sebarang gangguan halus berlaku sepanjang penggambaran selama 15 hari yang dijalankan di sekitar Lembah Klang pada pertengahan tahun lalu.

"Cuma, saya teringat-ingat skrip yang menuntut saya melafazkan mantera dalam bahasa Jawa yang diajar Herman biarpun telah meninggalkan lokasi penggambaran," jelasnya yang enggan dibayangi imej seksi selepas ini.
Previous Post Next Post