PERWATAKANNYA gila-gila dan suka berseloroh. Itulah sedikit sebanyak ciri-ciri yang melekat pada tubuh genit wanita berusia 22 tahun ini. Namun, di sebalik sifat lahiriah tersebut, terselit komitmen dan cita-cita menebarkan harum bakat yang dimiliki.
Dia menapak dalam industri hiburan tanah air melalui platform program realiti Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9). Kini, Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat mula meniti satu persatu episod kehidupannya bergelar selebriti popular.
Komited dan dedikasi yang diberikan dalam menjayakan drama fenomena Rindu Awak 200% membuahkan hasil apabila namanya semakin dikenali dalam kalangan peminat industri hiburan tanah air.
Namun, di sebalik lonjakan populariti yang diterima, pelakon muda yang berasal dari Melaka ini juga tidak terlepas daripada kontroversi. Ada sahaja tohmahan buruk daripada segelintir peminat yang cuba menjatuhkan namanya.
Tidak bersedih dengan kontroversi yang mengaitkan dirinya dengan pelakon Zul Ariffin, Ay- da bertindak untuk menangani isu tersebut secara profesional. Tidak cepat melatah, Ayda tenang menjawab persoalan mengenai hal tersebut.
"Kontroversi itu timbul disebabkan drama Rindu Awak 200%. Mungkin dalam drama tersebut kami nampak begitu mesra dan ada peminat juga menggesa agar kami menjadi pasangan kekasih. Saya rasa, disebabkan hal tersebutlah timbul desas-desus tentang hubungan di antara saya dan Zul.
"Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk merosakkan hubu- ngan Zul dengan kekasihnya. Saya tidak merasakan wujud perasaan cinta lokasi di antara kami berdua. Hubungan kami hanya atas dasar kerja sahaja," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Salute Malaysia di Universiti Kuala Lumpur baru-baru ini
Cuma bagi Ayda, dia melihat gosip sebegitu tidak lebih daripada usikan manja untuk menghangatkan lagi drama yang disiarkan di kaca TV.
"Bagi saya, apabila melakonkan adegan yang memerlukan emosi percintaan, perasaan itu perlu kerana sebagai pelakon kita mahu menyampaikan apa yang dirasai. Kalau ada yang suka, itu bererti watak Armel Aisya dan Zill Faezrul Iqbal (Zul Ariffin) berjayalah.
BULAT hati untuk menerokai bidang seni, Ayda tidak pernah menyesal berhenti dari universiti pada tahun 2011.
"Malah, saya berpendapat cinta lokasi itu wujud tapi semuanya atas tuntutan kerja. Tidaklah sampai bercinta. Saya tahu dia ada kekasih. Saya juga tak tergamak jadi orang ketiga," katanya.
Namun begitu, Ayda sangat bersyukur. Usai drama hits lakonannya itu sampai ke penghujung 1 September lalu, kontroversi hangat di antara mereka juga semakin reda. Tiada lagi kedengaran kata-kata tidak enak yang mengaitkan dirinya dengan Zul Ariffin.
"Kini segalanya telah reda, saya juga sangat bersyukur kerana saya tahu bahawa saya berada di pihak yang benar. Terbukti juga bahawa saya tidak bersalah dalam hal tersebut.
"Saya masih berhubung dengan Zul Ariffin, namun perhubungan kami sekadar teman biasa sahaja," ujarnya.
Berhenti universiti
Ditebak persoalan berkaitan isu yang mengatakan dirinya berhenti dari sebuah institut pengajian tinggi, Ayda mengakui dia memang berhenti belajar. Semua itu dilaku- kan demi menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang seni sejak dua tahun lalu.
"Ketika saya dipilih untuk menyertai AF9 pada tahun 2011 saya masih belajar di Universiti Tekno- logi Mara (UiTM) dalam jurusan muzik tetapi pihak universiti tidak benarkan saya mengambil cuti khas bagi menyertai mana-mana rancangan realiti.
"Setelah fikir secara masak-masak, saya pilih untuk menyertai AF dan pada masa yang sama pihak universiti terpaksa memberhentikan saya. Ketika itu saya hanya berbaki dua semester untuk tamat pengajian di peringkat diploma," ujarnya.
Atas percaturan yang dilakukan, Ayda bagaimana tidak pernah menyesal dengan tindakan yang diambil. Apa yang dipelajari di universiti hanyalah persiapan untuk berada dalam industri seni.
Melihat rakan-rakan yang menghabiskan pengajian di universiti dalam bidang muzik yang masih lagi mencari-cari pekerjaan tambah menguatkan hati Ayda terhadap apa yang telah dilepaskan.
"Saya tidak menyesal dengan keputusan saya itu biarpun nasib saya sebagai penyanyi tidak begitu menyerlah, saya dapat rezeki sebagai pelakon," katanya.
Tidak pernah terkesan dek persoalan tentang status akademiknya, Ayda menambah, perkara itu sudah lama berlaku. Namun, penangan populariti yang diraih, kisah lama dibangkitkan semula.
AYDA JEBAT mempunyai lirikan mata dan raut wajah persis pelakon Wawa Zainal.
Duta Produk
Tuah drama yang melonjakkan namanya, Ayda kini bergelar duta produk Aurawhite untuk rangkai- an Aura White Bubbly khas bagi kelompok sasar remaja berusia 13 hingga 25 tahun.
"Saya difahamkan memang ketika itu pihak Aura White mahu artis remaja dan kebetulan mereka menonton drama Rindu Awak 200%. Ini semua rezeki terpijak buat saya selepas tiga tahun mencuba nasib dalam dunia seni.
"Sebelum drama ini pun saya sudah membintangi banyak drama tetapi tuah saya bermula dengan drama bersama Zul. Drama itu yang banyak membuka peluang, pendedahan serta promosi di TV," katanya.
Mengakui sedang sibuk dengan agenda promosi produk yang diwakili, Ayda merasakan itulah tanggungjawab yang harus ditunaikan memandangkan produk itu sendiri masih baharu di pasaran.
"Buat masa sekarang saya sangat sibuk untuk promosi produk ini. Disebabkan hal tersebut, kebelakangan ini jadual saya menjadi sangat padat sehingga terpaksa mengehadkan aktiviti lakonan.
"Bagaimanapun, setakat ini akti- viti seni saya sedang berjalan seperti biasa dan saya juga sedang bersedia untuk menjalani penggambaran sebuah telemovie bergenre komedi arahan Along Kama- ruddin. Drama itu akan ditayangkan menjelang Hari Raya Aidil Adha nanti.
"Saya juga mempunyai sebuah lagi telemovie yang akan ditayangkan pada bulan Januari, gandingan bersama Zul Ariffin terbitan TV9," katanya.
Mengakui agak selektif dalam memilih watak, Ayda bagaimanapun akan menerima setiap tawaran yang diberikan jika drama tersebut mempunyai jalan cerita dan skrip yang bagus.
"Bukan terlalu selektif tetapi saya lebih selesa meneliti skrip terlebih dahulu. Jika saya rasa mampu untuk memberikan yang terbaik dalam sesebuah drama yang ditawarkan barulah saya akan bersetuju," ujarnya.
Biarpun sudah dianggap berjaya meraih populariti segera, Ayda menyifatkan situasi itu langsung tidak akan mengubahnya menjadi besar kepala atau lupa diri.
"Saya jalani hidup ini macam biasa saja. Macam dulu-dulu. Saya selesa menjadi diri sendiri. Saya jenis yang banyak cakap dan suka ketawa. Pendek kata saya jenis yang 'gila-gila'," katanya ceria sebelum menutup perbualan.