Pelawak Joan Rivers meninggal dunia


GEMAR mengkritik, Joan bagaimanapun begitu terbuka bercakap tentang obsesinya terhadap kecantikan dan pembedahan plastik.

SETELAH beberapa hari menggunakan mesin sokongan pernafasan untuk terus hidup, pelawak dan pengkritik fesyen terkemuka, Joan Rivers, 81, akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir pada 4 September lalu. Dia meninggal dunia di Hospital Mount Sinai, Manhattan, Amerika Syarikat (AS).

Pengacara yang cukup terkenal dengan kritikan pedasnya terhadap pakaian yang dikenakan oleh selebriti itu disahkan meninggal dunia oleh anak perempuannya, Melissa Rivers.






"Berat hati untuk mengumumkan kematian ibu saya, Joan Rivers. Dia meninggal dunia dengan aman pada pukul 1.17 petang di sisi kaum keluarga dan rakan-rakan terdekat," ujar Melissa menerusi satu kenyataan.

Melissa turut melahirkan rasa terima kasihnya kepada semua pihak yang terlibat menjaga ibunya sepanjang berada di hospital berkenaan.

"Saya dan anak saya, Cooper ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan doktor, jururawat dan semua kakitangan hospital yang menjaga ibu saya ketika dia sedang terlantar sakit. Kami berasa sungguh rendah diri dengan rasa kasih sayang, sokongan dan doa yang diterima daripada peminatnya. Terima kasih.

"Sepanjang hayatnya, ibu saya berasa bahagia apabila melihat orang lain ketawa. Walaupun agak sukar untuk dilakukan pada waktu sebegini, namun saya percaya, harapan terakhirnya ialah mahu melihat gelak ketawa itu muncul kembali," ujarnya lagi.

Joan dikejarkan ke Hospital Mount Sinai setelah mengalami serangan jantung ketika menjalani pembedahan membetulkan kotak suaranya di sebuah klinik di New York, AS pada 28 Ogos lalu. Sejak dimasukkan ke hospital itu, dia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda untuk sedarkan diri apatah lagi untuk pulih.

Jabatan Kesihatan New York masih menyiasat punca utama yang menyebabkan Joan mengalami serangan jantung ketika sedang melalui prosedur pembedahan pada tekaknya.




Kerjaya dan pembedahan plastik

Sepanjang hayatnya, Joan merupakan seorang yang kuat bekerja. Wanita yang berasal dari Brooklyn, New York itu memulakan kariernya sebagai pengacara rancangan The Tonight Show Starring Johnny Carson kira-kira 50 tahun yang lalu.

"Jika terdapat rahsia untuk menjadi pelawak yang berjaya, apa yang boleh saya katakan ialah cintai apa sahaja yang anda lakukan," tutur Joan menerusi satu temu bual dengan majalah The Hollywood Reporter pada tahun 2012.


SELAIN bertugas sebagai pengkritik fesyen pada majlis karpet merah, Joan dan Melissa turut membintangi sebuah rancangan realiti berjudul Joan & Melissa: Joan Knows Best?

"Itu adalah 'dadah' pilihan saya. Saya tidak memerlukan dadah yang sebenar, saya tidak perlukan minuman keras. Setiap kepuasan yang saya kecapi datangnya daripada momen-momen ketika melakukan persembahan," katanya.

Walaupun kadangkala lawak dan kritikan yang dihamburkan kedengaran cukup keras, namun dia tidak pernah menidakkan obsesinya terhadap pembedahan plastik.

"Saya telah melakukan banyak pembedahan plastik. Mungkin jika saya mati nanti, tubuh badan saya akan didermakan kepada Tupperware (jenama bekas makanan plastik)," katanya berseloroh ketika itu.

Selain itu, Joan dan anaknya, Melissa merupakan pasangan duo yang sering hadir ke majlis-majlis karpet merah berprestij di Hollywood.

Pasangan duo itu terkenal dengan soalan-soalan pedas yang diajukan kepada selebriti. Antara yang paling popular adalah: "Who are you wearing?" (Apa yang anda pakai?) - yang merujuk kepada nama pereka busana yang dipakai oleh selebriti tersebut.

Kemudian, namanya mula dikenali ramai setelah muncul sebagai pengkritik fesyen menerusi rancangan Fashion Police yang disiarkan di saluran hiburan E! bersama Giuliana Rancic, Kelly Osbourne and George Kotsiopoulos pada tahun 2010.

Rakan pengacaranya, Giuliana menerusi kemas kini status Facebooknya berkata, dia tidak mempunyai sebarang kata-kata untuk diucapkan saat menerima perkhabaran sedih itu.

"Tidak ada kata-kata yang mampu untuk menzahirkan rasa kehilangan saya terhadap Joan. Dia merupakan wanita paling lucu dan jujur yang pernah saya kenal.

"Jika saya mengalami hari yang murung, dia mampu untuk menceriakan saya," ujar Giuliana yang sudah hampir 13 tahun bekerja dengan Joan.

Pada masa yang sama, Kelly Osbourne turut melahirkan rasa sedihnya atas kehilangan Joan. Kelly berkata: "Saya berasa sangat sedih atas kematian Joan. Walaupun dia merupakan bos saya, namun saya sering menganggapnya seperti seorang guru, juruterapi, kawan rapat dan nenek. Saya tidak akan melupakannya."

Majlis pengebumian Joan telah berlangsung pada Ahad lalu di Kuil Emanu-El, New York, AS.
Previous Post Next Post