Melissa tidak tahu agenda Arzanee



SEBAGAI seorang anak seni yang matang dengan asam garam dunia hiburan, Melissa Saila tidak mahu memberi banyak kenyataan kepada pihak media. Dia sebaliknya suka jika perkara seumpama ini dapat diselesaikan secara baik tanpa perhatian media.

MENERUSI laporan yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar tempatan minggu lalu, cucu kepada biduanita Saloma, Arzanee Armalie melahirkan rasa kesal terhadap sutradara Melissa Saila kerana memaparkan beberapa perkara yang tidak benar menerusi filem biopik arahannya, Saloma.

Menurut laporan tersebut, filem yang dibintangi oleh Nabila Huda, Azhan Rani, Tony Eusof dan Sazzy Falak itu dikatakan telah menyentuh hal peribadi keluarganya serta dianggap tidak menjaga sensitiviti waris Saloma yang lain, termasuk memaparkan adegan Armalie Arman Ramli mengalami masalah menagih dadah.






Pada masa yang sama, Arzanee mendakwa, dia masih belum menerima sebarang royalti atau bayaran daripada pihak Melissa Saila mahupun Astro selepas biopik tersebut ditayangkan bermula pada minggu lalu.

Kosmo! menghubungi Melissa, 42, bagi mendapatkan kepastian mengenai dakwaan Arzanee itu.

Kosmo!: Arzanee mendakwa pihaknya masih tidak menerima sebarang pembayaran royalti daripada pihak Melissa. Adakah dakwaan itu benar?

MELISSA: Sejujurnya, saya enggan memanjangkan perkara ini. Jika dia tidak berpuas hati dan mempunyai sebarang masalah, dia boleh menghubungi saya secara peribadi. Apa yang menghairankan saya, mengapa dia mahu menghebahkannya kepada umum dengan bercerita kepada pihak media?

Apakah jalan terbaik bagi anda untuk menyelesaikan masalah ini?

Saya tunggu tindakan lanjut daripada pihaknya kerana dia yang memulakan perkara ini terlebih dahulu. Namun, ketika saya cuba menghubunginya baru-baru ini, dia tidak menjawab panggilan saya.

Adakah hubungan anda dan Arzanee sebelum ini dalam keadaan baik?

Sebelum perkara ini timbul, saya pernah beberapa kali berjumpa dengannya. Dia turut datang berjumpa dengan ibu saya (Mariani) ketika sambutan hari raya bulan lalu. Selain itu, saya juga ada menjemputnya ke majlis pelancaran filem biopik tersebut, namun dia tidak hadir.


BIOPIK Saloma yang menampilkan Nabila Huda membawa watak primadona legenda negara itu telah ditayangkan di Astro First sejak minggu lalu dan telah mendapat perhatian yang meluas. Tony Eusof berperanan sebagai Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Advertisement


Adakah dia bertindak sedemikian kerana ingin mengambil kesempatan atas kejayaan yang dikecapi oleh filem biopik Saloma?

Saya kurang pasti dan enggan memberikan sebarang komen mengenai hal tersebut. Sebelum ini, saya pernah mengarahkan sebuah dokumentari mengenai Saloma. Namun, tiada siapa yang membangkitkan sebarang isu mengenainya. Kebanyakan orang yang menonton filem ini juga memuji dan menghargai naskhah tersebut.

Arzanee turut mendakwa anda tidak menjaga sensitiviti waris Saloma dengan memaparkan adegan bapanya, Armalie Arman Ramli sebagai seorang yang bergantung pada najis dadah. Adakah dakwaan itu benar?




Jika dakwaan terbabit benar, sila datang berjumpa saya dan tunjukkan buktinya.

Tidak takut isu seperti ini akan menjejaskan kredibiliti anda sebagai pengarah dan pencapaian yang diterima oleh filem biopik Saloma?

Tidak.

Adakah anda akan terus mengarahkan filem yang berbentuk seperti ini?

Ya, mengapa tidak?

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Saya akan mengarahkan sebuah drama bersiri berjudul Kampung Semerah Padi. Antara pelakon yang terlibat menerusi drama itu adalah Sabri Yunus dan Shila Mambo.
Previous Post Next Post