JAMAL (kiri) dan Eddy saling memuja dan mengkagumi kehandalan masing-masing.
MEMASANG impian atau angan-angan bukan perkara yang mustahil bagi setiap individu. Namun, menjadikan impian tersebut suatu realiti pasti memerlukan usaha yang gigih serta perancangan terperinci.
Bagi penyanyi tersohor, Datuk Jamal Abdillah, 55, impian untuk berduet dan berkongsi pentas bersama penyanyi pujaannya, Eddy Silitonga akhirnya tercapai setelah kedua-duanya disatukan menerusi Konsert Nostalgia yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pelantun lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu memberitahu, beliau telah merancang untuk mengundang Eddy bagi menyanyi bersamanya dalam sebuah konsert khas kira-kira dua tahun yang lalu.
“Sejak memulakan karier sebagai penyanyi, saya banyak mendengar lagu-lagu Eddy. Suara Eddy begitu sedap dan banyak lagunya yang saya rakam kembali.
“Justeru, saya memang menyimpan angan-angan untuk berduet bersamanya. Tidak sangka, angan-angan saya itu tercapai pada malam ini,” ujarnya selepas menjayakan persembahan previu konsertnya itu bersama pihak media.
Konsert yang dianjurkan oleh syarikatnya, Bin Jamal Event Sdn. Bhd. itu berlangsung selama empat hari berturut-turut iaitu bermula 28 hingga 31 Ogos lalu.
Paling istimewa, Jamal bukan sahaja ditemani oleh Eddy, malah anaknya, Osama Yamani, 13, turut diundang untuk menyanyi pada konsert berkenaan.
Ketika ditanya mengenai prestasi Osama yang menyanyikan lagu Derita Cinta dan Hingga Tiba Saat Ini (duet bersama Jamal) pada malam tersebut, Jamal berkata, anaknya itu masih hijau dan perlu belajar tentang selok-belok dunia nyanyian dengan lebih mendalam lagi.
“Saya berasa sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang anak yang berbakat besar dalam bidang nyanyian.
“Namun, dia masih muda dan banyak perkara yang perlu dipelajarinya. Sebagai seorang bapa, saya juga sering mengingatkannya untuk memberi keutamaan terhadap pelajaran,” katanya
Menerusi persembahan Jamal pada malam itu, beliau menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu-lagu popularnya.
Ini termasuklah hit sepanjang zamannya Azura, Kekasih Awal Dan Akhir serta Agungnya Kecintaan untuk mengenang tragedi MH370 dan MH17.
Sengaja memilih rangkaian lagu- lagu seperti Bahtera Merdeka dan Di Ambang Sore dan Hujan Malam, slot itu juga turut terisi dengan karya-karya patrotik bersempena dengan Hari Kemerdekaan negara Malaysia yang ke-57.
PENYANYI legenda dari seberang, Eddy Silatonga mulanya berdolak-dalik untuk berkongsi pentas bersama Jamal, namun penyatuan itu membuahkan kenangan terindah buatnya.
Kenangan terindah
Dalam pada itu, Eddy yang pertama kali berkongsi pentas bersama Jamal juga turut melahirkan rasa teruja tatkala bertemu dengan Raja Pop Malaysia itu. Eddy yang popular dengan lagu Lancang Kuning itu mengakui turut mengagumi keaslian suara milik Jamal.
Katanya, ketika mula-mula ditawarkan untuk menyanyi bersama oleh Jamal sendiri, dia seperti kehilangan bicara dan tidak dapat membuat keputusan serta-merta.
“Saya begitu terkejut dengan panggilan yang dibuat oleh Datuk Jamal. Pada awalnya, saya berdolak-dalik juga sama ada mahu menerima tawaran ini atau tidak.
“Namun, setelah berfikir panjang, saya pun bersetuju. Ternyata, peluang ini memberikan pengalaman yang terindah buat saya,” katanya yang turut berduet bersama Jamal menerusi lagu Rayuan Maut, Lancang Kuning dan Rayuan Mesra.
Selain segmen berduet bersama Jamal, Eddy turut mengundang tiga anaknya iaitu pasangan kembar Marco Christaldy dan Mario Georgie serta Ciki Satriadi.
Biar berbeza era dan negara, penyatuan Jamal bersama Eddy di atas pentas Istana Budaya tidak boleh dinafikan kehebatannya.
Masing-masing punya aura tersendiri. Punya ‘bisa’ tersendiri yang boleh dibawa pulang sebagai satu memori.