Fouziah Gous
KELIBAT figura cantik ini di dalam industri seni tidak perlu diperkenalkan. Kecantikan dan keberkesanan lakonannya menyebabkan Fouziah Gous sering menjadi perhatian penerbit dan juga peminat.
Namun tanpa disedari, sejak akhir-akhir ini kelibat Fouziah di dalam industri seni sudah mula jarang kelihatan. Bukan merajuk atau melarikan diri, kongsi wanita berusia 32 tahun ini, dia kini lebih selesa memberi perhatian 100 peratus terhadap perniagaan makanan kesihatan berasaskan sarang burung walit jenama FG Walet/My Walet Bird Nest.
Produk itu turut dipasarkannya secara online dan mendapat permintaan tinggi bukan sahaja oleh warga tempatan, malah juga ada orang dari Brunei dan Singapura yang mengetahui khasiat sarang burung walit ini.
“Perniagaan juga adalah satu kerjaya dan ini adalah karier baharu saya. Tapi bukan bermakna saya sudah bersara dari bidang seni. Cuma banyak perkara yang perlu saya uruskan apatah lagi ia kini
dalam proses penjenamaan semula, termasuk untuk meyakinkan bangsa selain Melayu untuk mengambil produk ini,” katanya.
Tambahnya, faktor kekurangan produk sarang burung walit secara meluas di pasaran Malaysia telah menggesa Fouziah untuk mengusahakan perniagaan ini secara serius.
“Saya memang percaya dengan produk sarang burung. Masa mula-mula saya ambil produk ni, saya tetap bertenaga walaupun selalu tak cukup tidur. Bisnes sarang burung ni bukan untuk buat untung semata-mata. Ini adalah ciptaan semula jadi ALLAH, jadi bagus untuk kita amalkan demi jaga kesihatan,” ujar pelakon filem Otai ini.
Fouziah berkata, dia juga dalam perancangan untuk memasarkan produknya di pasaran Timur Tengah dan segalanya masih lagi dalam proses perbincangan. Pati FG Walet/My Walet Bird Nest boleh didapati dengan harga serendah RM128 dengan kuantiti 6 botol kecil 70ml.
“Setakat ini, sambutan terhadap produk ini memang amat baik dan kadangkala di luar jangkaan. Contoh bila kita proses, kita jangka ia akan bertahan untuk tempoh tiga bulan tapi dalam tempoh sebulan
pun dah boleh habis.
“Walaupun saya cuma jalankan perniagaan melalui atas talian seperti melalui Instagram tetapi sambutannya tetap di luar jangkaan,” katanya.
Ditebak mengenai karier seninya, Fouziah berkata, selain perniagaan faktornya sebagai seorang isteri juga menyebabkan dia meletakkan syarat sebelum mengambil tawaran.
“Antara syaratnya saya tidak menerima tawaran yang jadual penggambarannya panjang, melibatkan lokasi di luar Kuala Lumpur dan saya tidak boleh pulang lewat. Jika mereka (produksi) rasa tidak boleh ikut, saya tidak paksa mereka kerana saya tidak mahu menyusahkan mereka seandainya saya menerima tawaran kelak,” katanya yang masih menerima beberapa tawaran jika bersesuaian.
Setahun bersama
21 September ini, genap setahun usia perkahwinan Fouziah bersama suaminya, Zhafran Yusof, 32 tahun. Mengakui masa terasa sekejap berlalu, Fouziah berkata, walaupun telah setahun berkahwin, mereka masih lagi melalui tempoh berkenalan.
“Saya rasa setahun ini adalah tempoh kami saling mengenali dan memahami antara satu sama lain. Kami juga masih dalam mood seperti pasangan baharu bercinta. Apatah lagi kami sebaya, jadi ini segalanya lebih mudah,” katanya.
Fouziah berkata, dia juga amat bertuah kerana memiliki Zhafran kerana selain memiliki seorang suami, dia juga memiliki rakan sekerja dan teman berbual.
“Perniagaan ini juga saya usahakan bersamanya, kadangkala bila keluar berdua, kami bukan keluar sahaja sebaliknya ia turut diselitkan dengan perbincangan mengenai kerja.
“Selain itu, kami sering tidur lewat kerana menguruskan perniagaan ini. Zhafran juga sangat memahami dan penyabar. Bila saya marah, dia tahu macam mana untuk mengambil hati saya semula.
“Pendek kata, saya memang bertuah dan saya berharap juga segala penat lelah kami bersama akan membuahkan hasil dan keberkatan. Selain itu sama seperti yang lain, saya harap kami akan sentiasa mencintai antara satu sama lain dan ikatan perkahwinan ini akan kekal selamanya,” katanya.
Tambah Fouziah, dek kerana kerap menguruskan hal perniagaa, menyebabkan dia selesa ditemani suami ke mana sahaja.
Biarpun kehadiran Zhafran kadang kala di pangan serong oleh sesetengah pihak yang merasakan Fouziah seperti menayang suami kepada khalayak, namun Fouziah tidak mengambil kisah.
“Saya sebenarnya tidak kuasa untuk ambil tahu apa yang orang cakap. Kadang kala suami ikut sebab dia pun ada urusan lain dan takkanlah perkara seperti itu pun saya perlu uar-uarkan.
“Kadang kala, kami dari urusan perniagaan dan Zhafran terus teman saya ke acara hiburan. Lagipun bila ditemani suami, saya rasa lebih selamat dan selesa. Jika orang tidak suka, saya rasa mereka yang bermasalah,” katanya.
Tidak tertekan
Tatkala di tebak mengenai soal cahaya mata, Fouziah berkata, dia dan suami masih lagi menanti dan soal itu adalah sesuatu yang tidak boleh dirancang oleh manusia.
“Saya berserah pada rezeki. Perkara seperti anak bukan kita yang rancang dan tentukan. Walaupun ALLAH belum kurniakan saya anak, Dia bagi rezeki dalam banyak cara yang lain,” katanya.
Tidak tertekan dengan soal itu, Fouziah berkata, suami dan keluarga tidak pernah memberi tekanan jauh sekali bertanya dan selalu berfikir positif.
Salute Malaysia
Sementara itu, di tanya mengenai kempen 'Salute Malaysia' yang dihadirinya baru-baru ini, Fouziah berkata, dia mengucapkan sekalung tahniah kepada penganjur yang menganjurkan acara berkenaan.
“Saya rasa acara seperti ini patut diadakan lebih kerap kerana ia bukan sekadar kepetingan mengibarkan Jalur Gemilang tetapi juga memberi peringatan kepada masyarakat Malaysia tentang bagaimana kita mendapat kemerdekaan.
“Selain itu secara tidak langsung, ia dapat menyatukan rakyat Malaysia kerana sejak akhir-akhir ini kita dapat lihat rakyat kita susah untuk bersatu padu,” katanya.
Tambah Fouziah, dia berharap selepas ini, kempen seperti 'Salute Malaysia' itu turut diselitkan dengan program ilmu di mana selain menyemai rasa hormat dan cinta kepada Negara sendiri, ia juga dapat mengingat generasi muda tentang bagaimana kita hidup aman seperti sekarang.