ERMA Fatima atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad bukanlah nama baru dalam bidang teater.
Bermula dengan 2020 arahan Datuk Rahim Razali lebih 20 tahun lalu, kerjayanya di pentas diteruskan. Muncul selepas itu beberapa pementasan yang menguji kemampuan lakonannya seperti Tanah Abang, Mencari Juita, Dejavu Seorang Perempuan, Anugerah dan Mambo Horse.
Penampilannya yang paling membanggakan ialah sebagai Nyai Sunarti dalam teater Lantai T.Pinkie karya Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said arahan Rosminah Tahir.
Tidak terhad pada lakonan semata-mata, sebaliknya isteri kepada pengarah filem terkenal, Badaruddin Azmi atau lebih dikenali dengan Bade Azmi itu mula mengarah teater seperti Tahajud Cinta, Sirah Junjungan, Antara..., Natrah, Tribute Teater Tun Dr Siti Hasmah dan
banyak lagi sehingga mampu menarik perhatian sebilangan besar peminat seni menonton.
Tidak hairanlah apabila teater Bahayanya Wanita arahannya itu dipentaskan sebanyak tiga kali dalam tempoh yang singkat malah turut mendapat perhatian sehingga ke Singapura.
Karyanya tidak terhenti setakat itu, sebaliknya isteri kepada pengarah terkenal, itu sebenarnya sudah punya rancangan untuk pementasan teater lain.
Ikuti temu bual lanjut Zass bersama pemilik Rumah Karya Citra Sdn Bhd ini.
Tahniah di atas kejayaan teater Bahayanya Wanita. Komen anda terhadap sambutan yang diterima.
Alhamdulillah, persembahan teater ini berjaya membuatkan penonton terhibur. Tetapi, saya ingin tegaskan yang pementasan itu bukanlah sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya setiap dialog dan babak itu ada ditampilkan pelbagai mesej berguna yang tersirat terutamanya kepada pasangan suami dan isteri.
Selepas sambutan hebat diterima terhadap teater lalu. bagaimana pula perancangan mengenai pementasan teater ini?
Ya, sudah ada. Insya-ALLAH, pementasan teater untuk akan datang akan dilakukan pada Disember depan. Mungkin teater Isabella atau Laila Majnun. Entahlah, saya dalam dilema mahu pentas yang mana dulu.
Difahamkan, teater Isabella sepatutnya dipentaskan di Istana Budaya pada Jun lalu, tetapi sehingga kini ia masih lagi terbengkalai. Boleh anda nyatakan apakah permasalahan yang berlaku terhadap teater itu?
Buat pengetahuan, teater Isabella adalah sebuah naskhah yang agak berat untuk dipentaskan. Ia mengisahkan bagaimana seorang rahib boleh jatuh cinta pada al-Quran setelah membaca terjemahan kitab suci tersebut. terus-terang saya katakan, ada bahayanya di situ. Tetapi, saya tidak peduli apa yang akan diperkatakan orang kerana saya hanya memaparkan akan kebenaran mengenai al-Quran.
Bagaimana anda boleh terfikir untuk mengangkat naskhah berat sebegini?
Sebagai manusia, saya rasa bertanggungjawab untuk mengangkat al-Quran apabila ada orang lain mula menjatuhkan Rasulullah SAW sewenang-wenangnya. Apa yang penting, dalam naskhah saya ini, saya tidak menghina Kristian, malah saya tidak membanding-bandingkan di antara Kristian dan Islam. Saya cuma mengangkat al-Quran itu untuk dijadikan sebuah naskhah dalam karya saya ini.
Jadi, setakat ini, bagaimana dengan persiapan anda untuk mementaskan teater Isabella?
Itulah masalah saya sebenarnya. Saya tidak tahu membuat sebuah karya yang saya sendiri tidak faham. Saya bukanlah pakar mengenainya. Itu bermakna, saya perlu memahami al-Quran itu dulu sebelum saya mengajar orang lain melalui naskhah yang akan dipentaskan nanti. Sebagai rujukan, saya juga ada bekerjasama dengan pakar pentafsir al-Quran yang mahir dalam bidang tersebut, namun saya masih lagi tiada keyakinan diri yang begitu kuat.
Apakah yang membuatkan anda tidak yakin?
Pertamanya, kita perlu memahami dulu surah-surah yang bakal diangkat untuk teater ini. Semua sedia maklum, surah-surah di dalam al-Quran itu sendiri adalah surah terbaik tetapi kita perlu mengetahui surah yang bakal dipilih itu nanti adakah ia bersesuaian dengan teater berkenaan? Saya mahukan setiap surah dalam al-Quran yang diangkat itu ada bersangkut paut dengan cerita terbabit. Itu adalah sebab utama yang menyebabkan saya agak musykil sekali gus tidak yakin untuk mementaskan teater ini.
Barisan pelakonnya? Adakah sudah dipilih?
Jika mengikut kepada pilihan Istana Budaya, Aaron Aziz adalah calonnya yang akan disertakan dengan kehadiran aktres Indonesia bagi menjayakan watak rahib tersebut.
Akhir sekali, jika sehingga sampai masanya dan anda masih tiada keyakinan lagi, bagaimana pula nanti?
Sekiranya ia masih berlarutan hingga ke tarikh yang sepatutnya, maka saya akan mementaskan teater Laila Majnun. Pihak Istana Budaya meminta untuk memodenkan cerita Laila Majnun itu. Tapi, jika diikutkan, saya lebih gemarkan pada karya asalnya.