SHAHEIZY SAM yang diserang demam denggi sejak 4 September lalu perlu berada di hospital untuk tempoh sekurang-kurangnya seminggu akan datang bagi mendapatkan rawatan susulan.
SEJAK dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri, Ampang, Selangor akibat serangan demam denggi pada 4 September lalu, pelakon Shaheizy Sam masih berada dalam keadaan kurang stabil.
Suhu badannya naik sehingga 40 darjah Celsius serta bacaan plateletnya pula mencatatkan penurunan daripada bacaan normal 150 kepada 116 petang semalam.
Ketika dihubungi Kosmo! semalam, Shaheizy yang masih berada di hospital berkata, suhu badannya masih menunjukkan bacaan yang tidak menentu. Selain itu, dia juga mengalami sakit kepala dan badan.
Perlu berada di hospital untuk tempoh sekurang-kurangnya satu minggu lagi bagi rawatan susulan, Sam yang juga buat pertama kalinya menyambut ulang tahunnya di hospital berkongsi cerita tentang pengalamannya diserang denggi.
Kosmo!: Sam, bagaimanakah tahap kesihatan anda sekarang selepas dimasukkan ke hospital pada 4 September lalu?
SAM: Keadaan saya masih tidak menentu. Sekejap suhu badan turun dan bila-bila masa sahaja ia boleh naik kembali. Semalam (kelmarin) suhu saya sudah kembali normal dan saya mampu untuk melakukan pergerakan. Namun, hari ini (semalam) demam itu datang kembali.
Bilakah anda menyedari bahawa anda telah diserang demam denggi?
Jika tidak silap, saya diserang demam pada dua hari terakhir penggambaran drama Ajaibnya Cinta di Pasir Panjang, Selangor awal bulan ini. Pada waktu itu, saya makan pelbagai jenis makanan. Ketika itu, kami dihidangkan dengan daging rusa, landak dan durian. Kebetulan, pendingin hawa di calet tempat saya menginap juga dipasang dengan suhu yang agak rendah. Pada keesokan harinya, badan saya berasa sejuk dan mula menggigil.
Apakah tindakan anda seterusnya?
Pada awalnya, saya fikir ia hanya serangan demam biasa. Jadi, saya pergi ke sebuah klinik untuk mendapatkan suntikan. Selepas mendapatkan rawatan, keadaan saya telah beransur pulih. Namun, sebaik tiba di rumah, demam kembali menyerang. Saya hanya makan ubat yang dibekalkan dengan harapan demam akan sembuh pada keesokan harinya.
Adakah demam anda semakin pulih?
Tidak. Suhu badan saya semakin naik. Jadi, saya mengambil keputusan untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. Akhirnya saya ditahan di wad kerana disahkan menghidap denggi pada 4 September lalu.
Tarikh 4 September adalah hari ulang tahun kelahiran ke-32 anda. Bagaimanakah perasaan anda menyambut ulang tahun di dalam wad?
Perasaan saya bercampur baur kerana ini merupakan kali pertama saya diserang demam denggi dan pengalaman pertama juga menyambut ulang tahun di hospital. Walaupun agak bosan, namun, saya gembira kerana ramai yang datang melawat saya pada hari itu.
Selepas empat hari ditahan, bilakah anda dibenarkan untuk pulang?
Menurut doktor, saya perlu tinggal di hospital sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh hari lagi. Bagaimanapun, saya berharap agar kesihatan saya pulih dalam masa terdekat kerana penggambaran filem Polis Evo bakal dimulakan pada 15 September ini.
Bagaimanakah persediaan anda untuk filem tersebut setakat ini?
Sesi latihan untuk filem tersebut sudah pun bermula. Namun, saya tidak dapat menghadirkan diri kerana diserang demam denggi dan terlantar di hospital. Justeru, saya akan terus ke lokasi penggambaran filem tersebut jika kesihatan mengizinkan. Saya harap saya akan beransur pulih dan doakan kesihatan saya semakin baik. Saya juga berterima kasih dengan semua doa yang diberikan oleh khalayak buat saya.