Sampai Bila gabung Waris, Mark



MARK ADAM (berdiri kiri) dan Waris bersama penerbit dan pengarah filem Amir & Loqman Pergi Laut serta komposer lagu runut bunyi Sampai Bila, DJ Fuzz (duduk kiri) pada majlis pelancaran runut bunyi tersebut baru-baru ini.

FILEM berjudul Amir & Loqman Pergi Ke Laut merupakan sebuah lagi filem terbaharu arahan Mamat Khalid yang bakal menjengah di pawagam seluruh Malaysia pada 25 September ini.

Ia mengisahkan tentang dua orang sahabat baik, Amir dan Loqman yang ingin keluar daripada sebuah kumpulan gengster, tetapi terpaksa membayar wang sebanyak RM30,000 kepada ketua kumpulan tersebut.






Bagi mendapatkan wang tersebut, mereka berdua terpaksa melakukan rompakan secara kecil-kecilan, tetapi selalu berhadapan dengan kegagalan kerana tidak pandai melakukan kegiatan jenayah.

Filem yang diterbitkan oleh Astro Shaw itu dibintangi oleh dua pelawak popular, Shuib Sepahtu dan Syuk SYJ serta diperkuatkan dengan beberapa pelakon lain seperti Soffi Jikan, Zarina Anjoulie, Kunie, Nadia Mustafa, Kazar dan Rashidi Ishak.

Biarpun filem berkenaan masih lagi belum ditayangkan di pawagam, pihak Astro Shaw baru-baru ini telah melancarkan sebuah klip video untuk lagu runut bunyi berjudul Sampai Bila.

Sesuatu yang agak menarik tentang lagu berkenaan apabila ia menggandingkan dua orang penyanyi popular, Waris dan Mark Adam untuk menyanyikan lagu hasil ciptaan DJ Fuzz itu.

Pada satu majlis pelancaran yang berlangsung di Red Box Ria, Sogo, Kuala Lumpur, Waris berkata, klip lagu Sampai Bila bertepatan dengan tema dan jalan cerita filem berkenaan.

“Sebelum ini DJ Fuzz, saya dan Mark telah diberi tanggungjawab untuk berkolaborasi dalam menghasilkan lagu ini sebagai salah satu cara mempromosikan filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut.

“Setelah persetujuan diberikan, kami telah diberikan sinopsis filem ini. Kemudian DJ Fuzz diberi peranan untuk menghasilkan melodi dan lirik, manakala saya dan Mark pula menyanyikan lagu ini,” ujarnya.

Bercerita tentang pembikinan klip video lagu yang berkonsepkan jazzy hip hop itu, Waris menjelaskan bahawa ia menggunakan konsep dua orang banduan yang lari daripada tahanan polis serta cuba melakukan jenayah tetapi sering gagal dan ia disampaikan dalam bentuk komedi.

Ujarnya, antara kelainan yang terdapat dalam lagu Sampai Bila apabila tiada sebarang dialek Negeri Sembilan dalam lirik lagu berkenaan seperti lagu-lagu nyanyiannya sebelum ini.

“Berbeza dengan lagu-lagu nyanyian saya sebelum ini seperti Botingkek-Tingkek dan Gadis Jolobu, Sampai Bila merupakan lagu komersial pertama saya yang tidak menggunakan dialek Negeri Sembilan,” jelasnya.

Sementara itu, Mark Adam yang turut ditemui pada majlis sama berkata, Sampai Bila merupakan kolaborsi kedua yang membabitkan dia bersama Waris setelah lagu Salam Lebaran pada tahun lalu.

“Sebelum ini, saya dan Waris pernah bergandingan bersama Eyza Bahra untuk lagu Salam Lebaran. Jadi, apabila diberi peluang sekali lagi bergandingan dengan Waris menerusi lagu Sampai Bila, semuanya berjalan lancar termasuk pembikinan klip video yang dihasilkan pada bulan puasa lalu,” ujarnya.




Lagu khas

Menceritakan lebih lanjut tentang pembikinan lagu Sampai Bila, Pengurus Besar Astro Shaw, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, lagu berkenaan sememangnya dihasikan khas untuk promosi filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut.

Ujar Gayatri, pihaknya memilih DJ Fuzz untuk menghasilkan lagu runut bunyi filem berkenaan kerana kedua-dua pihak pernah bekerjasama sebelum ini menerusi ciptaan lagu berjudul Haus yang dinyanyikan Awi Rafael bagi filem Apokalips X.

“Pihak Astro Shaw percaya bahawa lagu Sampai Bila ini dapat memberi impak tersendiri untuk menarik penonton ke pawagam dan ia sememangnya dihasilkan sebagai salah satu bentuk promosi.

“Selain itu, lagu ini juga bertepatan dengan tema filem terbaharu kami dan orang ramai boleh menyaksikannya di YouTube dengan melayari laman web www.youtube.com/AstroShaw tidak lama lagi,” ujarnya.
Previous Post Next Post