LAPAN tahun bergelar pelakon, Aeril Zafrel melangkah lagi ke satu fasa. Jika selama ini dia berada di bawah telunjuk pengarah lain untuk menyempurnakan tugasannya, supertelemivie berjudul Omerta harus ditangani dengan cermat. Bukan hanya sebagai pelakon biasa, dia sebaliknya duduk di kerusi pengarah.
Omerta mengetengahkan kisah tentang balas dendam antara sahabat baik yang turut menggandingkan pelakon lelaki, Zahiril Adzim dan Aeril Zafrel sebagai teraju utama.
Omerta atau dalam bahasa yang mudah bermaksud kod rahsia. Naskhah yang bercorak thriller itu arahan sulung Aeril yang sudah mula berjinak-jinak dalam bidang pengarahan.
Bertemu Zahiril, 30, di lokasi penggambaran Omerta di Lumut, Perak baru-baru ini, pelakon Bunohan itu mengaku tertarik untuk membintangi supertelemovie berkenaan kerana memikirkan peranan karakter yang dimainkan.
"Saya membawakan watak sebagai Risham, seorang lelaki berperwatakan normal yang berubah menjadi psiko. Kalau kebanyakan cerita seseorang itu menjadi psiko kerana masalah kesihatan, tetapi Risham menjadi sedemikian kerana mahu membalas dendam atas kematian ayahnya.
"Dalam naskhah ini Risham telah berubah sikap apabila mengetahui perbuatan kejam itu dilakukan sendiri oleh sahabat baiknya. Itu yang menyebabkan saya tertarik dengan naskhah itu," jelas Zahiril.
Dikenali sebagai pelakon berbakat besar, secara peribadi Zahiril agak teliti dalam pemilihan skrip. Dia tidak gemar apabila ditawarkan kerja dengan skrip yang dihasilkan dengan sambil lewa.
Sesebuah skrip itu akan memberikan interpretasi terhadap perjalanan sesebuah jalan cerita. Kriteri itu ada dalam Omerta sehingga Zahiril sanggup menerima cabaran.
"Saya tidak suka kalau skrip dihasilkan secara tangkap muat sahaja. Lagi pun sebelum memulakan penggambaran, saya perlu kaji terlebih dulu watak yang diberikan agar memudahkan saya memberikan lakonan yang baik," tegasnya.
ZAHIRIL dan Aeril masing-masing saling mempercayai bakat lakonan dan pengarahan satu sama lain yang membuatkan kerja mereka berjalan lancar.
Mengenai pemilihan Aeril sebagai pengarah untuk supertelemovie yang diterbitkan oleh Respected Citizen Communication & Patriot Studio itu, dia memberikan keyakinan. Aeril pada mata Zahiril mempunyai kebolehan dan mampu pergi jauh dalam bidang pengarahan jika terus diberi peluang.
Sebagai seorang pelakon dan suami kepada Shera Aiyob itu, dia tidak cerewet siapa pun yang bertindak sebagai pengarahnya. Dia percaya Aeril mempunyai kredibiliti dalam menentukan hala tuju cerita yang mahu ditampilkan.
"Meskipun ini pengalaman pertama buat Aeril, saya tetap menghormatinya sebagai pengarah. Sepanjang penggambaran, saya lihat dia seorang yang berpotensi.
"Kami juga saling berkongsi idea memandangkan naskhah ini agak berat. Boleh dikatakan saya agak selesa bekerja di bawah arahannya sepanjang 10 hari penggambaran dilakukan," luah pelakon bertahi lalat di dagu itu seraya tersenyum.
Dua kerja satu lokasi
Menyandang tugas sebagai nakhoda yang harus memastikan penggambarannya berlangsung sempurna, Aeril Zafrel merasakan pengalaman itu sebuah pencapaian kepada impiannya sejak dahulu lagi.
Biarpun baru berusia 26 tahun, Aeril atau pemilik nama sebenar Suhairil Sunari itu, beranggapan usia bukanlah satu penghalang kerana pengalaman itu lebih penting buat dirinya.
"Saya tergerak untuk memikul cabaran ini kerana berasa sudah tiba masanya berbuat demikian. Sebenarnya saya memang impikan menjadi seorang pengarah, jadi apa salahnya kalau saya bermula sekarang.
"Inilah masa yang paling sesuai buat diri saya menimba pengalaman baharu. Lagipun saya beruntung kerana dapat bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman luas termasuk pelakon dan kru produksi untuk menghasilkan Omerta," luah suami kepada pelakon Wawa Zainal itu.
Menjelaskan lebih lanjut tentang pembikinan supertelemovie berkenaan, Aeril memberitahu, dia bukan sekadar bertindak sebagai pengarah, malah turut memegang watak utama sebagai Marwan.
Dua tugasan besar dalam satu dan ternyata memberikan cabaran yang agak getir buat Aeril. Demi memastikan segala proses penggambaran berjalan lancar, Aeril meminta bantuan dan tunjuk ajar daripada penolong pengarah dan penulis skrip untuk memantau hasil kerjanya.
"Kalau diikutkan memang penat kerana perlu memberi fokus kepada dua kerja, tetapi saya anggap pengalaman ini suatu cabaran menarik untuk saya melangkah lebih jauh," ujarnya.
DARI kiri: Zahiril Adzim dan Aeril pertama bergabung dalam sebuah karya, bukan hanya sebagai pelakon bahkan Zahiril harus menghormati Aeril sebagai pengarahnya.
Masih berlakon
Melihat sayap seninya yang semakin berkembang, pelakon drama popular Cerita Cinta Kita itu turut ditanya sama ada debut pengarahannya itu merupakan langkah awal untuk dirinya memperlahankan karier lakonan.
Jelas Aeril, penerokaan baharu yang dijalani itu tidak bermakna dia sudah mula mengurangkan aktiviti lakonan. Sehingga kini, lakonan masih lagi serasi dalam dirinya.
"Walaupun saya sudah mula mengarah, saya akan terus berlakon dan bersedia menerima sebarang tawaran yang diberikan. Lagi pun masih banyak lagi perkara yang saya perlu pelajari untuk menjadi seorang anak seni yang berjaya.
"Seperti yang saya katakan, bidang pengarahan ini merupakan sesuatu yang saya idam sejak dahulu. Memandangkan peluang sudah terhidang di depan mata, rugi pula kalau saya lepaskan," ujarnya mengakhiri bicara.
Drama Omerta turut dibantu oleh Reen Rahim, Jay Azwazil dan Hasnol Rahmat.