Fida Ibrahim nafi kurang tawaran lakonan



TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Biarpun lebih lima tahun berkecimpung dalam dunia seni, namun sehingga hari ini kariernya masih belum berada di tahap yang membanggakan sedangkan semakin ramai bakat baru membanjiri industri ini.

Situasinya yang sepi sejak akhir-akhir ini juga turut mengundang pelbagai spekulasi yang mendakwa Fida merajuk daripada meneruskan minatnya dalam dunia lakonan. “Sejujurnya, saya tidak merajuk atau membawa diri. Saya tidak ada masalah dengan pendatang baru dalam industri ini dan menganggap ia satu perkembangan yang positif.






“Alhamdulillah, sepanjang beberapa tahun ini memang saya ditawarkan untuk terlibat dalam beberapa drama bersiri tetapi saya terpaksa tolak sebab ia memerlukan masa yang terlalu panjang di mana saya juga memerlukan masa untuk aktiviti lain. Tapi saya masih terlibat dengan beberapa telefilem.

“Mungkin sebab itu orang lain jarang nampak saya berlakon,” ujarnya.

Memandangkan sudah ramai yang bertanyakan mengenai perkara itu, tahun ini Fida mengambil keputusan untuk aktif semula dalam lakonan drama bersiri.

“Terbaru, saya kini sedang menjalani penggambaran drama adaptasi ‘Setulus Janji’ di mana saya digandingkan bersama Azlee Khairi. Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya menjalani karier lakonan seperti sebelum ini memandangkan saya sudah boleh uruskan masa dengan baik,” katanya yang bakal berangkat ke Manchester, England akhir Oktober ini bagi menjalani penggambaran drama tersebut.

Tuah ‘Apo Kono Eh Jang’

Sejak tampil menerusi lagu ‘Apo Kono Eh Jang’ hasil kolaborasi bersama Datuk AC Mizal dan Stellar Band, peluang karier nyanyiannya mula terbuka luas. Tidak mahu mensia-siakan platform yang ada, Fida akui dia memperlahankan karier lakonan untuk beri fokus pada nyanyiannya.

“Siapa sangka lagu ini pernah menjadi fenomena yang sangat luar biasa. Saya bersyukur, ‘Apo Kono Eh Jang’ banyak beri ruang kepada saya untuk mulakan karier nyanyian saya,” kongsinya.

Ditanya sama ada dirinya sudah bersedia bergelar penyanyi dan pelakon, Fida akui tidak meletakkan ia sebagai satu bebanan malah teruja untuk buat yang terbaik.

“Rugi kalau saya lepaskan peluang ini. Alhamdulillah, saya sudah cuba dua-dua bidang jadi saya sudah tahu bahagikan masa untuk uruskan dua karier ini.

“Selagi orang meminta untuk keduanya, saya tidak letakkan salah satu sebagai fokus utama. Selagi ada permintaan tidak salah saya cuba seimbangkan keduanya,” tuturnya.




Promosi lagu baharu

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, selain terlibat dengan penggambaran ‘Setulus Janji’, Fida sibuk mempromosikan single ‘Rintihan Qalbu’ nyanyian bersama Qalam Band.

“Saya gembira sangat lagu ini sudah mendapat tempat dan menjadi pilihan untuk diputarkan di stesen radio tempatan. Selain itu saya sedang mencari masa yang sesuai untuk merakamkan single solo terbaharu ciptaan komposer Ajai untuk dijadikan runut bunyi ‘Setulus Janji’.

“Kalau boleh saya mahu buat yang terbaik supaya hasilnya memuaskan semua pihak terutamanya buat peminat,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post