Rita, Ayda hangatkan Salute Malaysia



KEHADIRAN selebriti seperti Rita Rudaini (kiri) dan Ayda Jebat (kanan) pada kempen Salute Malaysia dapat menarik peminat untuk sama-sama memupuk semangat patriotisme.

SETIAP kali sambutan ulang tahun kemerdekaan diadakan, pasti Jalur Gemilang yang menjadi kebanggaan setiap lapisan masyarakat di negara ini berkibar dengan megah di merata tempat seperti premis perniagaan, sekolah, pejabat kerajaan dan kenderaan awam serta persendirian.

Bagaimanapun, suasana tersebut agak suram pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 pada tahun ini kerana tidak ramai yang mengibarkan Jalur Gemilang seolah-olah tidak mempunyai semangat kecintaan kepada negara.






Menyedari tanggungjawab untuk menyemai rasa cintakan negara dan menghormati Jalur Gemilang dalam kalangan rakyat, Yayasan Perdana Ummah (YPU) dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menzahirkan kempen Jalur Gemilang menerusi kempen Salute Malaysia.

Menurut Pengarah Eksekutif YPU, Rizal Mansor, kempen Salute Malaysia itu berobjektifkan menanam semangat kecintaan terhadap negara secara khusus kepada generasi baharu.

"YPU mewakili generasi baharu yang juga pewaris kemerdekaan berasakan semangat bebas daripada penjajah dan cintakan negara harus tersemat dalam diri setiap individu pada setiap masa.

"Kempen Salute Malaysia atau Tabik Hormat kepada Jalur Gemilang ini menjadi salah satu pengisian bagi membuktikan kesungguhan dan kebanggaan menjadi anak Malaysia yang hidup dalam negara merdeka.

"Secara tidak langsung, kempen ini membuktikan kepada negara luar bahawa masyarakat Malaysia masih mampu bersatu walaupun sejak akhir-akhir ini negara ditimpa pelbagai musibah seperti kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 dan nahas MH17 di Ukraine," ujarnya ketika ditemui pada pelancaran majlis pelancaran kempen Salute Malaysia di UniKL baru-baru ini.

Kempen tersebut bermula dari 3 hingga 16 September ini.

Menerusi kempen tersebut, rakyat Malaysia berpeluang memenangi hadiah sebanyak RM20,000 dengan memuat naik gambar Tabik Hormat Jalur Gemilang menerusi laman sosial Instagram, Facebook dan Twitter menggunakan hashtag #SALUTEMALAYSIA dan #NEGARAKU.

Bagi melengkapkan pengisian kempen itu, YPU turut menerbitkan lagu tema Salute Malaysia ciptaan Cat Farish, Shahrul Nasrun Kamarudin dan Amelia Hassan.

Lagu tersebut dinyanyikan oleh Amy Search, Cat Farish, Lah Ahmad, Zain (Ruffedge), Tiga Swagger, Ronnie (Hyper Act), YMY dan Ustaz Kyrel.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, majlis pelancaran membabitkan selebriti tanah air dan atlet negara sebagai ikon dilihat mampu menjadi landasan terbaik menyampaikan maklumat kepada seluruh masyarakat di negara ini.

Antara selebriti yang dilihat memberikan sokongan terhadap kempen berkenaan ialah Datuk Yusof Haslam, Datuk Lee Chong Wei, Kaka Azraf, Aweera, Johan As'ari, Nabil, Soffi Jikan, Suki, Fizz Fairuz, Almy Nadia, Faradhiya, Fouziah Gous dan ramai lagi.

Turut kelihatan mengambil bahagian ketika majlis pelancaran kempen Salute Malaysia ialah Rita Rudaini dan Ayda Jebat.

Kehadiran pelakon popular tanah air itu secara tidak langsung dapat menyeru peminat mereka untuk sama-sama berganding bahu bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sensasi Bintang mendapatkan reaksi dua pelakon tersebut untuk berkongsi cerita mengenai pembabitan mereka dalam kempen berkenaan.

Sensasi Bintang: Apa yang mendorong kalian untuk terlibat dalam Kempen Salute Malaysia?

RITA RUDAINI (R): Sebelum ini saya tidak pernah melibatkan diri dalam program seumpama ini, bahkan acara hiburan juga saya jarang menghadirinya. Tahun ini minda saya terbuka untuk bersama-sama rakyat Malaysia untuk menanam semangat kecintaan terhadap negara menerusi kempen berkenaan.

AYDA JEBAT (A): Saya secara peribadi menyokong kempen ini biarpun tidak ramai selebriti yang berminat dalam menyertai program sebegini. Saya berharap kehadiran saya dapat memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bersama-sama menyuntik semangat patriotik dalam diri mereka.




Adakah kalian merasakan kempen ini dapat menarik generasi muda dalam memupuk semangat kecintaan terhadap negara dan Jalur Gemilang?

R: Ya. Saya percaya kempen ini akan memberi semangat baharu kepada anak muda yang tidak mengenal erti kemerdekaan.

Ini merupakan saluran terkini kepada mereka untuk bersyukur kerana kemerdekaan telah membawa masyarakat Malaysia kepada kegemilangan dalam semua aspek kehidupan. Kempen ini juga dapat mengekang segala anasir tidak baik yang kini semakin berleluasa.

A: Saya yakin kempen ini akan disokong oleh anak muda kerana pelbagai aktiviti dan program belia bakal dijalankan oleh pihak penganjur. Terbaharu sempena menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini, seluruh rakyat Malaysia berpeluang memenangi hadiah bernilai RM20,000.

Pandangan kalian tentang penglibatan selebriti dalam membantu menyebarluaskan kempen ini dalam usaha menyampaikan maklumat kepada seluruh masyarakat?

R: Ini merupakan percaturan yang hebat dan menarik. Anak muda kini lebih tertarik dengan hiburan dan tidak dinafikan hiburan merupakan salah satu medium terbaik untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang sesuatu perkara. Dengan kehadiran selebriti pujaan, ia pastinya akan menarik orang ramai untuk menyertai kempen ini.

A: Peranan selebriti bukan sekadar seorang penghibur tetapi penglibatan mereka mempunyai impak besar mengajak orang ramai dalam memberikan publisiti kepada peminat untuk menyertai sesuatu kempen yang dijalankan.

Apakah sumbangan kalian untuk menarik rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyokong kempen Salute Malaysia?

R: Sebenarnya, sebagai selebriti, saya mengharapkan rakyat Malaysia menyemat semangat patriotisme dalam diri.

Tidak salah untuk menzahirkan rasa kecintaan terhadap negara. Saya akan menggunakan kaedah laman sosial sebagai inisiatif untuk menarik rakyat Malaysia turut serta menyokong kempen Salute Malaysia agar terus diingati.

A: Kempen kecintaan terhadap negara nampaknya menjadi trend pada hari ini. Pada usia yang masih muda, saya akan terus memberi sokongan penuh kepada kerajaan mahu pun pertubuhan bukan kerajaan.
Previous Post Next Post