EMPAT tahun mengorak langkah dalam dunia hiburan tanah air, pemuda yang menggelarkan dirinya Awi Rafael itu sedar perjalanannya dalam industri tersebut sebenarnya masih jauh.Ada banyak perkara yang mahu digapai, lebih-lebih lagi menyentuh soal kerjaya yang sentiasa menjadi fokus utamanya.
Lumrah kehidupan sebagai selebriti, pelantun lagu Pulanglah itu juga tidak dapat lari daripada kontroversi.
Pernah menjadi perhatian media saat tersebarnya gambar dirinya bertatu kira-kira dua tahun lalu, Awi atau nama sebenarnya, Muhammad Nabawi Ewan Gunawan Rafael tidak cepat melatah.
Kata-kata kutukan dan cacian yang diterima pada ketika itu, sedikit pun tidak membuatkan semangat anak kelahiran Singapura itu berlalu jatuh rebah ke bumi.
Berhadapan dengan kebenaran, Awi berani mengakui kekhilafan diri. Keikhlasan dan kejujurannya itulah yang membuatkan dia masih diterima peminat hingga kini.
Tidak mahu terus dimomok perkara-perkara lampau, Awi mengambil pendekatan positif. Menganggap apa yang berlaku sebagai suatu perkara yang mematangkan diri, dia terus bangkit tanpa perlu menoleh ke belakang lagi.
Apa yang pasti, setiap yang dilaluinya pada masa lalu dijadikan pengajaran dan pengalaman berguna untuk terus menghadapi hari-hari mendatang.
Ketika ini, pada usia 28 tahun, lelaki yang terkenal dengan lagu Kalau Aku Kaya itu masih lagi diri Awi yang sama. Cuma bezanya, dia kini hadir dengan diri kaya pengalaman dan budi bahasa.