Kate Middleton hamil anak kedua



BAHARU sahaja mengetahui kehamilan keduanya, isteri kepada Prince William, Kate Middleton, berbesar hati untuk berkongsi berita gembira ini secara umum.

Menerusi perutusan rasmi daripada kerajaan, pasangan diraja ini diberitahu bakal menyambut kelahiran kedua tidak lama lagi.

Menurut sumber diraja, Middleton, kini sedang hamil dan kandungannya belum mencapai usia 12 minggu.

Bukan sahaja di kalangan masyarakat, malah berita gembira ini turut menarik minat Perdana Menteri Britain, David Cameron.






Malah, menerusi akaun laman sosial, Twitter, miliknya, pemimpin kerajaan itu turut memberi ucapan kepada pasangan diraja berkenaan.

Pun begitu, pasangan ini belum bersedia untuk memberikan informasi lanjut mengenai kehamilan di trimester pertama itu.

Sebelum ini, Middleton baharu sahaja melahirkan anak pertamanya, Prince George pada 22 Julai tahun lalu.

Alahan teruk, Middleton dikawal doktor

Walaupun perkhabaran itu membahagiakan pasangan ini, namun Middleton tidak terlepas daripada mengalami alahan teruk.

Sama seperti kehamilan Prince George tahun lalu, Duchess of Cambridge ini masih melalui perkara yang sama seperti sesetengah wanita hamil.

Menurut laporan antarabangsa, Middleton mengalami rasa mual dan muntah yang ekstrem, iaitu sejenis alahan hyperemesis gravidarum.

Ekoran daripada itu, Middleton turut mendapatkan rawatan intensif di Kensington Palace bersama doktor istana.

Sumber memberitahu, keadaan ini adalah normal bagi ibu hamil apabila kandungannya mencecah enam hingga lapan minggu.

"Buat masa ini, dia (Middleton) berada dalam pengawasan doktor kerajaan di istana. Melihat kepada keadaannya kini, tiada apa yang merungsingkan.

"Malah, Middleton tidak perlu dibawa ke hospital kerana belum mencapai tahap serius," kata sumber itu lagi.

Tanpa teman

Keadaan kesihatan Middleton yang kurang baik membuatkan tidak dapat menemani suaminya ke acara-acara tertentu sepanjang tempoh ini.

Sebelum ini, sudah menjadi kebiasaannya untuk menemani Prince William dan ada kalanya turut membawa putera kesayangan bersama.

Namun, ketika menghadiri majlis di Oxford University, baru-baru ini William dilaporkan hadir tanpa Middleton.

Menurut satu temu bual, William memberitahu keadaan isterinya itu baik-baik sahaja dan tiada apa yang perlu dirisaukan.

"Walaupun mengalami alahan teruk, namun kesihatannya semakin baik. Saya harap, kondisinya akan bertambah baik dari hari ke hari," katanya.




Arthur atau Victoria?

Saat mengetahui kehamilan pasangan diraja ini, ramai dalam kalangan peminat dan warga Britain mula mengandaikan jantina cahaya mata kedua mereka.

Meskipun jantina keluarga baru kerajaan itu masih belum diumumkan, namun sudah muncul beberapa nama yang menjadi pilihan.

Malah, ada yang memberitahu bahawa beberapa nama mungkin disenaraikan untuk bayi yang bakal lahir itu.

Antara nama-nama yang disebut termasuk James dan Arthur bagi bayi lelaki dan Elizabeth atau Victoria untuk bayi perempuan.

Nama-nama berkenaan turut disebarkan ke laman sosial dan menganggap ianya adalah nama-nama yang sesuai untuk golongan diraja.

Namun, buat masa ini, masih terlalu awal untuk pasangan ini mendedahkan jantina anak kedua mereka.
Previous Post Next Post