Kilafairy enggan dibayangi kontroversi



KEMUNCULAN aktres Kilafairy dalam industri hiburan suatu ketika dahulu pernah menimbulkan banyak spekulasi negatif apabila penampilannya yang menjolok mata mendapat kritikan hebat daripada masyarakat tempatan.

Sejak itu nama pelakon berusia 22 tahun ini sering menjadi bahan perbualan yang kurang menyenangkan tambahan pula dia juga sering ditawarkan watak-watak antagonis yang turut menyumbang ke arah itu.

Akui terkesan dengan situasi tersebut, anak kepada penyanyi era 90-an, Rohana Jalil ini tidak mahu lagi menoleh ke belakang demi memperbaiki dirinya.






“Saya akui perkara itu memang sedikit sebanyak memberi kesan kepada karier saya.

“Seperti mana yang dinasihatkan ibu, sebagai seorang selebriti kita memang tidak boleh lari daripada terkena tempias kontroversi.

“Jadi apa yang saya lakukan sekarang, cuba belajar dari kesilapan dan perbaiki diri menjadi yang lebih baik,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media siri web ‘Hanya Satu’, baru-baru ini.

Selain tampil dengan imej yang lebih bersesuaian, pelakon yang mesra di sapa Kila ini akui terpaksa menolak beberapa tawaran memegang watak antagonis atau penggoda bagi mengelakkan dirinya terus dikaitkan dengan cerita kurang enak.

“Ini salah satu langkah yang saya ambil untuk ubah persepsi orang ramai terhadap diri saya.

“Boleh dikatakan banyak juga tawaran yang saya tolak terutamanya lakonan filem.

“Bukan tidak mahu bawa watak seperti itu, tapi saya cuba kurangkannya. Lagi pun sebagai pelakon, saya juga mahu bawa pembaharuan dalam lakonan dengan watak yang berbeza,” jelasnya.


Kilafairy pegang nasihat ibu

Selain terpaksa berhadapan dengan kontroversi, Kila turut mendedahkan dirinya juga pernah didekati golongan VIP dan kerabat dengan niat yang tidak ikhlas.

Namun demi menjaga nama baiknya dan keluarga, dia lebih berhati-hati dan mengelak daripada terjebak dengan perkara seperti itu.

“Tipulah kalau saya nafikan perkara ini. Memang ada yang cuba dekati tapi memang dari awal lagi saya akan mengelak dari memulakan perhubungan itu.

“Kalau kita pandai jaga diri, perkara seperti ini tidak akan berlaku. Mama juga banyak nasihatkan saya mengenai perkara ini,” katanya,

Sementara menyentuh mengenai kisah peribadi, Kila menjelaskan dia kini masih lagi berada dalam fasa berkawan dengan aktor dari Indonesia, Hardy Hartono.

“Kami masih berkawan dan memang tidak sangka sudah tiga tahun masa berlalu.

“Tapi dalam tempoh itu juga, saya akui dialah satu-satunya kawan lelaki yang saya kenal. Soal jodoh saya berserah.

“Kami memang jarang berjumpa sebab masing-masing sibuk dengan karier tambahan pula berjauhan. Tapi selalunya akan berhubung menerusi telefon, berborak dan bertanya khabar,” katanya yang mahu menamatkan zaman bujang pada usia 25 tahun.


Bakat kurang menyerlah?

Biarpun usia kariernya telah mencecah empat tahun, tapi masih ramai yang mempertikaikan bakatnya yang dikatakan kurang menyerlah.

Tidak melatah dengan perkara itu, Kila bersyukur kerana rezeki dalam dunia seni masih menyebelahinya.

“Secara jujurnya fokus utama saya dalam bidang ini bukanlah untuk meraih populariti tapi saya hanya mahu buat yang terbaik untuk karier saya.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini karier saya masih stabil tambahan pula tawaran lakonan tidak pernah putus,”ujarnya.

Akui masih mentah dalam bidang lakonan, pemilik label fesyen ‘Rack’ ini sentiasa memandang positif kritikan yang diberikan kepadanya.

“Saya baru setahun jagung dalam bidang ini, jadi saya memang perlukan komen seperti ini supaya boleh perbaiki kelemahan yang ada.

“Sekarang ini saya gembira terlibat dengan lakonan dan pada masa yang sama saya mengasah bakat yang ada.

“Terima kasih kepada peminat yang memberi komen seperti itu kerana ia amat membantu,” katanya.




Tampil album penuh

Dalam perkembangan lain, Kila bakal membintangi ‘Hanya Satu’ bersama pelakon Syarif (Sleeq), Fezrul Khan, Wan Sharmila di bawah arahan Azma Aizal Yusof yang bakal ditayangkan menerusi portal video, Tonton bermula esok pada 12.00 tengah hari.

“Saya terlibat dengan lakonan ini sebenarnya kerana mahu bekerjasama dengan Azma sebab saya memang sukakan karyanya.

“Tambahan pula jalan ceritanya turut melibatkan muzik dan nyanyian, jadi saya memang tertarik untuk terlibat sama,” katanya.

Selain itu, Kila kini dalam proses menghasilkan sebuah album dengan kerjasama pihak Sony Music sejak sebulan lalu.

“Sudah lama juga saya bergerak sendiri dalam bidang nyanyian, jadi mungkin sudah tiba masanya perlukan kepakaran mereka untuk kembangkan lagi karier nyanyian saya.

“Sekarang kita masih dalam proses pemilihan lagu untuk diselitkan dalam album penuh nanti,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post