Pengemudi rancangan Fashion Police, Joan Rivers yang terkenal dengan mulutnya yang celupar dan becok telah meninggal dunia pada Khamis sekitar jam 1.17 tengahari di Mount Sinai Hospital di New York.
Jantung Joan dilaporkan berhenti ketika sedang menjalani prosedur pembedahan peti suara semingu sebelumnya.
Ikon komedi terkenal berusia 81 tahun itu telah dimasukkan ke pusat perubatan di Manhattan itu dan berada di bawah pengawasan serta dibantu sistem sokongan hidup.
Joan menghembuskan nafas terakhir disisi keluarga dan teman rapat.
Seminggu sebelumnya Joan telah dijadualkan menjalani sebuah prosedur dan ketika menjalani proses tersebut di Yorkville Endoscopy Clinic jantungnya berhenti berfungsi dan dikejarkan ke hospital.
Paramedik yang membawanya ke pusat perubatan itu telah meletakkan kondisinya sebagai kritikal.
Ahli keluarga selebriti senior ini diwakili anak tunggalnya Melissa Rivers tampil berkongsi maklumat mengenai kesihatan ibunya pada Selasa lalu yang ketika itu telah pun dibantu sistem sokongan hidup.
Melissa dan anak lelakinya, Cooper telah menghabiskan masa di pusat perubatan itu semenjak ibunya dimasukkan ke situ sejak Khamis lalu.
Laporan awal memberitahu majlis pengebumian Joan Rivers akan diadakan di Temple Emanu-El di Manhattan pada Ahad ini.
Sebelum ini, pengacara bermulut celupar itu pernah mengeluarkan kenyataan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin. Joan bukan sahaja mempertahankan tindakan Israel malah menyifatkan tentera Hamas sebagai pengganas dan merendah-rendahkan serta menghina penduduk Palestin.
Ekoran kematian Joan semalam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dikatakan turut menghantar perutusan takziah atas kematian ikon komedi yang telah menggembirakan jutaan penonton di seluruh dunia itu.