Perunding imej AF2014 tak sensitif?



PAKAIAN Nuha pada minggu lalu yang memakai skirt pendek bersama legging ketat disifatkan sebagai kurang sesuai kerana imej bertudung menjadi identitinya.

MASIH lagi berkenaan dengan program realiti nombor satu negara, Akademi Fantasia 2014 (AF2014). Sejak menonton konsert mingguan program tersebut dua minggu lalu, Mizz Lahar perhatikan macam ada yang tak kena dengan cara pemakaian pelajar-pelajar yang terlibat.






Terutama sekali apabila melihat pelajar-pelajar perempuan yang bertudung serta menutup aurat. Mizz lahar tak kisah kalau perunding imej yang dilantik mahu mengenakan pakaian yang pelik-pelik kepada semua pelajar, tetapi janganlah sampai tidak menjaga sensitiviti peserta lain.

Jika kita imbas kembali persembahan ketika Nuha menyanyikan lagu Setelah Aku Kau Miliki minggu lalu, gadis berusia 21 tahun itu dilihat mengenakan seluar jenis legging hitam dan dipadankan dengan skirt mini berwarna sama.

Mizz Lahar hanya mampu menggeleng kepala melihat fesyen tersebut. Ya, Nuha telah menutup seluruh tubuhnya, tetapi legging yang dipakainya ketika itu nampak ketat. Mizz Lahar pun tak pasti adakah Nuha selesa membuat persembahan sambil mengenakan pakaian seperti itu.

Kemudian, ketika menonton imbasan persembahan Diari AF2014 pada hari Isnin lalu, pelajar Muna yang turut mengenakan tudung melahirkan rasa kekok mengenakan busana yang agak ketat di bahagian pinggangnya.




Katanya, dia tak biasa berpakaian sebegitu. Muna mengenakan busana berwarna kelabu gelap tersebut setelah disuruh oleh perunding imej.

Sekali lagi Mizz Lahar tersentak! Adakah para pelajar tidak dibenarkan memberi sebarang pandangan terhadap pakaian yang bakal diperagakan oleh mereka? Adakah mereka dipaksa mengikut kehendak dan idea perunding imej seratus peratus?

Setahu Mizz Lahar, perunding imej itu sudah lama berkecimpung dalam bidang fesyen. Dia juga cukup terkenal melahar selebriti yang berpakaian tidak mengikut cita rasanya menerusi sebuah rancangan hiburan. Lagipun, dia merupakan orang Melayu dan pastinya dia faham tentang tatasusila serta cara pemakaian wanita bertudung.

Sepatutnya, dia perlu lebih sensitif dalam menyelia jenis-jenis pakaian yang dipakai oleh pelajar-pelajar AF2014. Dari sinilah mereka perlu dididik terutamanya dalam hal ehwal memilih pakaian.

Walaupun mahu kelihatan trendy, tapi perlu dijaga garis pemakaian muslimah buat mereka.

MIZZ LAHAR: Tergelak baca komen seorang penyanyi dan guru vokal mengenai persembahan pelajar AF2014. Ketika dia menjadi tenaga pengajar sebuah program hiburan sendu beberapa bulan lalu, kualiti vokal pesertanya pun tiada peningkatan. Ke laut.
Previous Post Next Post