Pukul Ayu Raudhah, Iqram Mohon Maaf Kepada Zaquan



Pelakon Iqram Dinzly memohon maaf kepada suami Ayu Raudhah iaitu Zaquan Adha jika dia terasa hati melihat isterinya dipukul teruk dalam filem Lagenda Budak Setan 3 (LBS3).

Iqram, 33, berkata, sebagai suami, Zaquan mempunyai hak untuk berasa bengang apabila melihat babak Ayu dipukul tetapi pada masa sama pemain bola sepak itu perlu faham ia hanyalah lakonan semata-mata.






"Saya tidak boleh pertikaikan hak dia (Zaquan) sebagai suami apabila berasa marah melihat adegan tersebut.

"Dan saya memohon maaf sekiranya dia terasa hati sehingga mengeluarkan status meluahkan rasa tidak puas hati Ayu dipukul," katanya yang dihubungi ARTIS MELETOP di sini pada Rabu.

Pada petang Selasa, Zaquan yang juga merupakan pemain bola sepak kebangsaan memuat naik status di Twitter meluahkan rasa tidak puas hati melihat adegan Ayu dipukul Iqram dalam Lagenda Budak Setan 3 (LBS3) ketika menghadiri pra tonton filem tersebut pada 27 Ogos lalu.

Adegan itu menyebabkan Zaquan bertegas tidak membenarkan isterinya berlakon lagi.

"Saya tak sanggup tengok isteri diperlakukan sebegitu.. lepas ini, no more shooting!!! #lagendabudaksetan3," luah Zaquan dalam Twitter miliknya.

Status tersebut membuatkan Iqram membalas komen Zaquan menyatakan ia hanyalah sebuah lakonan, bukannya seperti bermain bola sepak.

"Lu ingat berlakon dalam filem sama ke main bola sepak di padang. Bukannya wa rembat bini lu macam bola dowh!! Gentle Ahh. #lagendabudaksetan3," balas Iqram semula.


Ayu dan suaminya, Zaquan.

Sementara itu, Iqram mengakui, Ayu trauma selepas berlakon pada tiga babak pertama untuk babak pukul itu.

Kata Ayu, dia tidak pernah diperlakukan sebegitu kasar dan dia kemudiannya terus masuk ke bilik dan menangis. Saya datang memujuknya kerana ada satu lagi babak pukul antara saya dan dia. Dan kami berbincang untuk hanya melakukan satu 'take' sahaja.

"Ketika berlakon babak akhir, saya pun bersungguh menjiwai watak manakala Ayu pula benar-benar trauma dan menangis. Selepas selesai babak itu, saya meminta maaf terus kepadanya dan dia pun okey.

"Penggambaran itu pun berlaku dua tahun yang lalu. Tak sangka ia jadi isu pula," ujarnya.




Dalam filem arahan Sharad Sharan itu, Iqram memegang watak sebagai Shan yang terlalu menyayangi isterinya, Zahirah (Ayu). Namun Shan seorang yang kuat cemburu dan sering memukul isterinya apabila melihat mana-mana lelaki mendekatinya.

Ia juga mengisahkan tentang Kasyah, lakonan Farid Kamil yang kehilangan isteri dan anak ingin membina hidup baru dengan Kate (Maya Karin).

Mereka mengambil anak angkat selepas berkahwin.Bagaimanapun, rumah tangga mereka goyah apabila bekas suami Kate dan bekas rakan sekerja Kasyah kembalidalam hidup mereka dengan niat yang tidak baik.
Previous Post Next Post