Syarif (Sleeq) Elak Jumpa Tunang 2 Minggu Sebelum Kahwin



Syarif (Sleeq) berkahwin pada 22 November depan.

Penyanyi Syarif (Sleeq) mengelak untuk berjumpa tunangannya iaitu Malaque Mahdaly, 25, selama dua minggu daripada berjumpa dengan sebelum mereka diijab kabul pada 22 November depan.






Syarif atau nama sebenarnya Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah, 25, berkata, ia adalah bagi menguatkan lagi rasa cinta dan rindu apabila bertemu pada hari pernikahan itu nanti.

"Saya ingin 'berpantang' selama dua minggu daripada berjumpa dengan tunang saya sebelum kami diijab kabul nanti. Saya mahu hari pernikahan kami nanti jadi lebih bermakna apabila ada rasa rindu dan dapat merasai rasa cinta lebih kuat.

"Tapi sebelum itu terpaksalah selesaikan semua persiapan majlis terlebih dahulu, Insya-Allah sekarang sudah 80 peratus hampir selesai semuanya," ujarnya kepada mStar Online.

Syarif dan Malaque yang juga bekas peserta Singapore Idol musim ketiga itu mengikat pertunangan pada awal tahun 2012.



Syarif bersama tunangnya Malaque.

Sementara itu, Syarif berkata, sebagai seorang penyanyi yang tidak mempunyai pendapatan tetap, pada awalnya agak sukar untuknya meyakinkan keluarga pihak perempuan.

Bagaimanapun, dia bersyukur usaha meneruskan perjuangannya bersama seorang lagi anggota Sleeq iaitu Alyph dalam meletakkan kumpulan mereka pada tahap yang selesa di industri muzik Malaysia secara tidak langsung memberi keyakinan pada keluarga tunangannya itu.


Syarif janji tidak akan abaikan Sleeq selepas aktif berlakon.

"Saya tahu sebagai artis tiada pendapatan tetap dan ia menjadi kerisauan pihak keluarga perempuan, itu adalah perkara paling susah saya nak jelaskan pada keluarganya.

"Alhamdulillah mereka akhirnya faham dan melihat kerjaya saya sekarang dan yakin mampu menjalankan tanggunjawab sebagai seorang suami," ujarnya.

Dalam pada itu, Syarif berkata majlis pernikahan dan resepi akan diadakan di sebuah dewan di Singapura.

“Majlis akan berlangsung satu hari sahaja pada Sabtu majlis akad nikah, kemudian diikuti majlis bersanding pada tengahari dan makan malam bersama rakan-rakan artis dan media," ujarnya.

Sementara itu, bercerita tentang perkembangan kerjayanya, Syarif berkata, biarpun dia mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan, namun masih memberi keutamaan terhadap kerjaya nyanyiannya.

Katanya, dia sentiasa memastikan jadual lakonan yang diterima tidak bertindan dengan jadual promosi atau aktiviti nyanyian bersama Sleeq.




"Setiap tawaran lakonan yang saya terima, saya akan berbincang dulu dengan Alyph supaya tidak timbul masalah atau jadual bertindan dengan aktiviti Sleeq.

"Setakat ini semuanya masih lagi boleh dikawal dan Alyph pun sibuk dengan aktiviti produksi dan bisnesnya di Singapura," katanya.

Syarif bakal muncul dalam drama Hanya Satu terbitan Tonton Music bermula 15 September pada jam 12 tengahari.

Drama itu boleh disaksikan di laman web Tonton music iaitu www.tontonmusic.com.my.
Previous Post Next Post