The Ribbit bukan sekadar filem animasi


THE RIBBIT mengangkat penceritaan tentang seekor katak bernama Ribbit yang terpengaruh dengan cerita fantasi.

PEMBANGUNAN filem animasi di Malaysia masih lagi di peringkat awal, namun jika dilihat senario perkembangan filem animasi di Malaysia, ia mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk dikomersialkan.

Selepas kejayaan filem animasi Upin Ipin terbitan Syarikat Les Copaque ke peringkat antarabangsa sehingga mendapat sambutan yang luar biasa daripada negara jiran, Indonesia, kini, KRU Studios melalui anak syarikatnya, KRU kartun tampil dengan naskhah terbaharu filem animasi, The Ribbit.






Mendapat sentuhan luar biasa daripada pengarah filem antarabangsa Chuck Powers, filem ini berjaya menepati piawaian antarabangsa apabila dinobatkan sebagai filem keluarga terbaik pada Festival Filem Integrasi Niagara, Kanada baru-baru ini.

Berikutan daripada kejayaan filem anak tempatan itu di peringkat antarabangsa, filem tersebut baru-baru ini telah diadaptasi ke dalam bahasa Malaysia.

Diarahkan oleh pengarah yang terkenal dengan keunikan filem arahannya, Mamat Khalid bijak mengatur strategi apabila filem tersebut menampilkan suara-suara artis tempatan yang berpengalaman.

Menampilkan barisan artis tempatan termasuk Johan Raja Lawak, Elfira Loy, Awie, Datuk Aznil Nawawi dan Izzue Islam yang meminjamkan suara mereka, filem ini menonjol dengan kelainan sendiri.

Hal demikian kerana, kepelbagaian dialek negeri di Malaysia yang digunakan menambahkan lagi keterujaan menonton filem tersebut.

Pada kebiasaannya filem animasi yang dialih suara kebanyakannya bergantung kepada skrip namun apa yang menjadi keistimewaannya The Ribbit pada kali ini ialah elemen tambahan di luar skrip dilihat dapat digarap dengan baik oleh pemegang watak Ribbit iaitu Johan Raja Lawak.

Menambahkan elemen humor yang sudah tentunya menjadi kelebihannya, Johan dilihat bijak mencuit hati penonton dengan gurau-senda yang bersahaja sekali gus lari daripada skrip asal yang agak statik.

Kisah cerita ini bermula apabila seekor reptilia, katak yang terpengaruh dengan cerita fantasi, Ribbit bercita-cita untuk menjadi seorang putera raja. Pada anggapannya dia perlu mendapatkan puteri manusia dan menciumnya untuk membolehkan dia menjadi seorang putera raja.


JOHAN mendapat pujian ramai dengan karakternya sebagai Ribbit.

Ribbit yang mengalami kecelaruan identiti tersebut nekad untuk mencapai cita-citanya apabila bertindak untuk mengembara seorang diri untuk bertemu puteri raja manusia.

Ditemani rakan baiknya, Siti (Elfira Loy) Ribbit meneruskan pengembaraannya merentas hutan belantara demi mencapai cita-citanya. Dalam pengembaraan tersebut, watak-watak baharu muncul seperti Kulup (Awie), Mat Rompi (Aznil ) menambahkan lagi kelucuan setiap babak dalam filem tersebut.




Menilai daripada segi penceritaan, filem ini perlu diberi pujian kerana di samping memuatkan elemen humor, terselit moral dan pengajaran yang sangat tinggi terutamanya kepada golongan kanak-kanak.

Bagaimanapun, jika dilihat daripada segi kekemasan grafik, masih terdapat beberapa kelemahan iaitu daripada segi pergerakan animasi yang agak statik dan masih kaku.

Namun secara keseluruhan filem ini harus mendapat pujian memandangkan ia hasil daripada kerjasama anak tempatan yang bertungkus-lumus menghasilkan filem animasi yang boleh dianggap masih hijau di Malaysia.

Antara pelakon lain yang turut menyumbang suara dalam filem ini termasuk Munir Phyne Ballers (Ollie), Izzue Islam (labah-labah), One Forteen (dukun istana) dan Noorisnainy Ali (puteri manusia). Filem ini akan memulakan tayangan di pawagam di seluruh Malaysia pada 4 September ini.

Previous Post Next Post