KATA Didie, Dayyan akan menjadi anaknya yang terakhir kerana faktor usianya yang sudah melebihi usia 40 tahun.
TANGGAL 27 Jun 2014 pastinya memberi makna tersendiri buat pelakon komedi popular, Didie Alias yang dikurniakan cahaya mata keenam yang diberi nama Muhammad Dayyan Norisham.
Ironinya, kali terakhir Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd. Ali itu melahirkan anak kira-kira 15 tahun lalu sewaktu masih lagi bergelar isteri kepada pelakon Ridzuan Hashim.
Ketika ditemui semasa majlis sidang akhbar Anugerah Lawak Warna 2014 yang berlangsung di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini mengakui sangat gembira apabila masih diberi rezeki untuk memiliki cahaya mata.
“Sudah lama tidak hamil dan melahirkan cahaya mata, pastinya ia sesuatu yang cukup istimewa. Apatah lagi sudah lima tahun saya dan suami menantikan saat-saat ini.
“Saya akui pada mulanya berasa agak kekok untuk menjaga Dayyan. Lagipun pengalaman menjaga bayi sudah lama ditinggalkan, sudah tentu banyak perkara yang perlu dipelajari semula,” ujarnya yang turut ditemani anaknya itu.
Bersama bekas suami terdahulu, Didie dikurniakan lima orang anak iaitu Nurdhaniyah, 21, Muhammad Dhanial, 20, Nur Dinie, 18, Nur Dayini Ahza, 16, dan Nur Diyana, 15.
Setelah bercerai dengan Ridzuan pada tahun 2002, pelakon berkenaan kemudian mendirikan rumah tangga dengan Norisham Ismail pada 2009.
Menurut Didie, selain dia dan suami, kelima-lima anaknya itu juga merupakan orang yang paling gembira dan beranggapan kehadiran Dayyan dalam keluarga sebagai penyeri kehidupan mereka.
“Ini merupakan satu rezeki yang tidak terhingga apabila masih lagi dikurniakan cahaya mata pada usia 41 tahun. Bagaimanapun, ia mungkin yang terakhir untuk saya mengandung disebabkan faktor usia,” jelasnya.
DIDIE kini mahu kembali aktif berlakon selepas selesai berpantang.
Ketika ditanya mengenai perkembangan kariernya dalam bidang seni memandangkan baru sahaja dikurniakan cahaya mata, pelakon berkenaan menyatakan ia bukanlah satu penghalang buat dirinya.
Ujarnya, selepas tamat tempoh berpantang pada bulan lalu, dia sudah dihujani dengan pelbagai tawaran berlakon dan mengacara. Malah, jadualnya kini sudah padat sehingga bulan Disember 2014.
“Setakat ini saya tiada sebarang masalah untuk bekerja kerana suami akan sentiasa menemani saya. Buat masa sekarang saya bawa Dayyan ke lokasi dan suami pula boleh menjaganya ketika saya sedang bekerja,” ujarnya yang kini terlibat dalam program komedi Super Spontan 3.
Renggang
Selain bercerita tentang keluarga dan kerjaya, Didie turut ditanya mengenai hubungan baiknya dengan rakan pelakon iaitu Enot yang dikatakan sudah renggang.
Mengakui perkara tersebut memang terjadi, Didie menyatakan, sehingga kini dia masih lagi mengambil berat tentang keadaan rakannya itu yang sedang menghidap penyakit kanser usus.
“Sebelum ini saya jarang ambil tahu tentang dirinya memandangkan baru sahaja lepas bersalin, manakala Enot pula sibuk dengan perniagaannya ketika bulan Ramadan lalu.
“Kali terakhir kami sempat bertemu ketika hari pertama saya melahirkan anak pada bulan Jun lalu. Bagaimanapun, saya tetap mengambil berat terhadap dirinya serta keadaan kesihatannya sekarang,” jelasnya.