Diana kurang selera makan


FIGURA ini masih aktif berlakon dan kini sibuk di lokasi penggambaran drama Cinta Illahi bermula 18 Ogos lalu.

SETELAH melangsungkan perkahwinan pada 25 Oktober tahun lalu dengan Mohd. Habib Bulla, akhirnya saat yang ditunggu-tunggu telah tiba apabila pelakon dan pengacara, Diana Amir kini disahkan hamil tiga bulan.

Perkhabaran gembira itu dikongsikan Diana sendiri bersama Kosmo! yang menghubunginya baru-baru ini. Seperti bakal ibu lain, Diana tidak terkecuali daripada mengalami alahan.

Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya berhubung berita baik tersebut.






Kosmo!: Bolehkah Diana kongsikan mengenai kehamilan anda?

DIANA: Alhamdulillah, setelah setahun mendirikan rumah tangga dan mengidam untuk memperolehi cahaya mata, kini, impian itu termakbul. Setelah menjalani pemeriksaan pada dua bulan lepas, doktor mengesahkan saya hamil tiga bulan. Saya sangat bersyukur kerana Tuhan telah memakbulkan doa saya dan suami.

Setelah hamil, mungkin anda boleh ceritakan sedikit pengalaman pertama ini?

Tidak ada apa-apa yang serius. Cuma pada bulan Ramadan lalu, selera makan saya turun mendadak dan saya kerap mengalami muntah-muntah yang berterusan. Namun kini, segalanya telah terkawal dan menurut doktor ia cuma alahan biasa.

Apakah reaksi keluarga terutamanya suami anda?

Mereka sangat teruja apabila mendengar berita baik tersebut. Namun, keluarga terutamanya ibu saya tetap risau dengan keadaan saya kerana saya tinggal berseorangan jika suami bekerja.




Sejak hamil, siapakah yang menjaga anda?

Suami saya mengambil alih banyak tugas di rumah. Bagaimanapun apabila dia keluar bekerja, saya perlu menjaga diri sendiri dan berdikari. Saya tidak mahu memanjakan diri. Mungkin ibu saya juga akan datang menjaga saya apabila sarat hamil kelak.

Mungkin anda boleh berkongsi tentang persiapan menyambut kehadiran cahaya mata?

Setakat ini, saya dan suami masih belum melakukan persiapan. Mungkin persiapan akan dilakukan pada tahun depan memandangkan menurut pemeriksaan doktor saya bakal melahirkan anak pada Mac tahun hadapan.

Adakah kehamilan anda membataskan pergerakan karier seni anda setakat ini?

Saya tidak pernah berniat untuk berhenti sementara untuk berlakon dan mengacara. Saya mahu berdikari selagi mampu. Malah, saya kini sedang menjalani penggambaran drama Cinta Illahi terbitan JS Picture. Saya juga kini dirisik untuk menjadi pengacara bagi musim keempat program berjudul SIS. terbitan TV9.
Previous Post Next Post