GENAP 10 tahun akhbar Kosmo! beroperasi pada 31 Ogos lalu. Seperti mana banyaknya liku akhbar kompak ini untuk kekal berada pada kedudukan sekarang, begitu juga ia telah menyaksikan pelbagai lapisan karyawan seni hadir mengisi ruang industri hiburan mahupun hati peminat.
Berbilang latar belakang, aliran muzik dan peringkat usia, masing-masing berpegang pada satu matlamat sama iaitu menjadi penghibur dan menyampaikan mesej yang bermakna kepada masyarakat.
Kosmo! menggandingkan empat generasi daripada fenomena berbeza untuk bercerita mengenai fasa masing-masing. Ikuti bingkisan berikut.
Nostalgia Misha Omar
Misha Omar telah berada dalam industri hiburan, sekitar tiga tahun lebih awal sebelum terciptanya Kosmo!. Jadi pastinya progres dan jatuh bangun akhbar yang sudah 10 tahun meneroka atmosfera Malaysia diperhatikan dengan jelas oleh pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta itu.
"Tahniah! 10 tahun bukan suatu tempoh yang singkat. Saya sujud ke bumi saat saya bertahan dalam industri muzik sampai usia 10 tahun dan sekarang, Alhamdulillah sudah lebih daripada tempoh itu dan saya pasti Kosmo! pun melakukan perkara yang sama.
"Pada angka ini, saya percaya kita seharusnya lebih matang dan memang ada masanya ada yang tidak gemar dengan 'hidangan' kita. Begitu juga dengan saya, ada antara lagu saya yang orang tidak gemar tapi kita bertahan kerana punya perjuangan untuk dilaksanakan," ujarnya yang ditemui pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 Kosmo! di Hotel Premiera, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Penyanyi kelahiran Cik Siti Wan Kembang itu mengakui ada antara tunjang utama yang membangunkan Kosmo! pada peringkat awalnya adalah sebahagian daripada hidupnya yang lahir seusia hayatnya dalam dunia seni.
"Warga Kosmo! bukan orang asing bagi saya, mereka tulang belakang yang membentuk kerjaya saya dari awal dan saya percaya Kosmo! berada di tangan individu yang bagus sebenarnya.
"Memang setiap perkara ada perubahan. Ada yang datang dan pergi, memang berwarna-warni dan itu perjalanan kehidupan yang baik. Kosmo! semakin ampuh dan semakin kuat saban hari," tambahnya.
Sempena majlis gilang-gemilang itu, Misha menyanyikan secara medley dua buah lagu balada terbaik miliknya, Bunga-Bunga Cinta dan Pulangkan yang katanya punyai sejarah dan nostalgia tersendiri.
TUAH Najwa Latif tercetus daripada medium YouTube menerusi lagu santai Cinta Muka Buku kira-kira lima tahun lalu.
Fenomena World Mawi
Mawi pernah meninggalkan fenomena luar biasa kepada peminat rancangan realiti Akademi Fantasia sekitar tahun 2005 menerusi musim ketiga program tersebut.
Tidak terduga dengan impak dan tanda dagang 'World' yang pernah dicetuskan, begitu juga kejutan daripada Kosmo! yang pernah membongkar kisah peribadi Mawi suatu ketika dahulu.
"Sejujurnya saya mula membaca akhbar Kosmo! pada tahun 2005 selepas saya bergelar artis. Istimewanya akhbar ini kerana saiz dan corak berita yang berbeza daripada akhbar lain.
"Kosmo! antara akhbar yang melaporkan berita saya. Secara tidak langsung telah menaikkan nama saya juga. Sampai sekarang pun saya masih menyimpan semua keratan yang berkaitan dengan diri saya," katanya tanpa selindung.
Tambah Mawi, dia sedar tentang kandungan berita yang memang berubah-ubah setiap masa, daripada berita enak kepada berita yang kurang enak. Dirinya tidak terlepas menjadi 'sasaran' seumpama itu.
"Memang pada mulanya saya terkejut dan kekok tapi ini harga yang harus saya bayar untuk bergelar artis," kata pelantun lagu Aduh Saliha itu.
Menjadi fenomena dan kegilaan ramai, ada yang menyifatkan hal itu tidak molek terutama apabila dipertimbangkan daripada sudut privasi dan risiko kepada keluarga. Namun Mawi punyai ketetapan sendiri.
"Siapa yang wujudkan fenomena? Saya melihat ia tercipta dengan sendirinya tanpa sesiapa yang aturkan namun ia dibantu oleh media dan peminat.
"Saya melihat fenomena itu daripada sudut yang positif terutamanya untuk diri saya. Malah saya sebenarnya baru boleh membaca dan mencari semua tulisan mengenai saya yang pernah dihasilkan sepanjang tahun 2005.
"Dahulu, dek terlalu sibuk dan penerimaan berbeza ketika itu, saya tidak dapat membaca semua penulisan dengan betul kerana tidak mahu sekiranya penulisan bersifat negatif boleh mengganggu saya pada ketika itu," jelasnya.
Hujan revolusi muzik indie
Hujan antara band indie yang mencetuskan fenomena sekitar lima tahun ke belakang. Berjaya menakluk pasaran muzik komersial, band yang diterajui oleh Noh Salleh, Hang Dimas, AG Coco, Azham Ahmad dan Izzat Huzaini itu pernah menempelak kumpulan serta aliran muzik lain ketika itu.
"Harus saya akui Kosmo! antara akhbar yang paling banyak memberikan publisiti kepada Hujan sejak kumpulan kami mula bertapak hingga sekarang.
"Entah mengapa, tapi mungkin kerana kebanyakan mereka penggemar muzik indie. Tahniah dan terima kasih kerana banyak membantu artis tempatan kita," katanya yang mula mengikuti perkembangan Kosmo! sejak tahun 2008.
Mengatasi serangan peminat dan pembenci Hujan sewaktu mereka mula bertapak suatu ketika dahulu berbeza seiring masa berjalan, kata Noh, ada masanya mereka pernah hilang pertimbangan.
"Raingers (penyokong Hujan) dan anti-Hujan ada macam-macam. Apabila adanya golongan yang membenci, ia satu ujian daripada Allah untuk memberikan kita rezeki.
"Cuma bagaimana caranya untuk kita atasi perkara itu terserah kepada diri masing-masing. Paling asas adalah profesional," ujarnya.
Noh yang kini aktif mempromosi single solonya, Angin Kencang melihat tuah Hujan terletak pada waktu kemunculan dan genre muzik yang diperkenalkan secara tepat. Malah, kekuatan hubungan baik antara ahli kumpulan Hujan menjadi nadi pergerakan mereka secara optimum.
NOH mengakui Hujan berjaya menembusi pasaran komersial dengan muzik indie pada saat pasaran muzik tempatan mahu sesuatu yang baharu.
Najwa Latif sensasi Youtube
Mengalir ke pasaran muzik semasa yang mana penyanyi lahir daripada sensasi media sosial seperti Youtube mula menjadi kegilaan ramai, harus diakui Najwa Latif merupakan artis medium ini yang paling berpengaruh.
Pernah berdepan dengan kebencian peminat yang terdiri daripadanya golongan artis sendiri, ada yang meletakkan label artis mi segera kepadanya.
Najwa yang baru berusia 16 tahun ketika itu tidak mudah mengalah. Dia sendiri tidak menjangka menjadi fenomena kepada industri hiburan tempatan.
"Semua ada pendapat masing-masing, kritikan yang diterima sebelum ini saya ambil untuk dijadikan panduan untuk menempuhi hari-hari yang mendatang dan meningkatkan produktiviti.
"Alhamdulillah, semakin hari respons yang saya terima semakin baik dan lagu-lagu saya tidak dikecam seteruk beberapa tahun ke belakang," tambah pelantun lagu Kosong itu.
Najwa mengejutkan ramai apabila lagu single Cinta Muka Buku yang diciptanya sendiri dan dimuat naik menerusi Youtube sekitar 2011 mendapat perhatian ramai hingga membawa gadis itu ke pentas Anugerah Juara Lagu pada tahun 2012.
Mengikuti perkembangan akhbar Kosmo! sejak di bangku sekolah rendah lagi, kata Najwa dia tertarik dengan pengisian dan susun atur grafik akhbar itu yang sesuai dengan jiwa remaja.
"Keluarga saya akan melanggan akhbar setiap hari dan antaranya adalah Kosmo! sejak saya darjah empat lagi. Saya melihat akhbar ini berkembang lebih baik saban tahun dan menyediakan informasi berguna kepada saya," ujar penuntut jurusan sarjana muda bahasa Inggeris di Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) itu.