Lagu Party Sampai Pagi sedang mendapat tempat di hati di pendengar, namun penyanyinya Karmal masih tidak dikenali ramai.
SETIAP individu mempunyai cara yang tersendiri dalam mengekspresikan kreativiti dan perasaan. Pendatang baharu dalam arena nyanyian, Karmal pula mendedikasikan sebuah album khas untuk arwah neneknya. Itu merupakan impiannya sejak melangkah serius bergelar penyanyi.
Istimewanya, walaupun Karmal atau nama sebenarnya Akmal Abdul Jalil, 29, memperjuangkan irama hip-hop, namun, genre yang disifatkan irama orang muda itu tetap didengar dan dinikmati oleh neneknya yang sudah tua.
“Arwah nenek merupakan peminat karya-karya yang saya hasilkan. Walaupun saya cenderung untuk menulis lagu berentak hip-hop, namun hal itu tidak menjadi penghalang buat nenek untuk menyokong karier saya. Setiap lagu yang saya hasilkan pasti akan didengar nenek.
“Dia merupakan peminat nombor satu saya. Sejak saya kecil, dia tidak jemu memberikan sokongan terhadap kerjaya nyanyian saya. Namun, sayangnya dia tidak sempat untuk mendengar keseluruhan album ini kerana terlebih dahulu pergi menghadap Ilahi,” tutur Karmal ketika ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya, Appreciate di Laundry Bar, The Curve, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
KARMAL (tengah) di samping ketua A&R Warner Music, Mokhtaza Ahmad (kiri) dan DJ Fuzz sewaktu majlis pelancaran album pertamanya, Appreciate di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai pesanan dan nasihat yang sering diberikan oleh arwah neneknya, Karmal berkata, dia sering diingatkan supaya selalu menghargai setiap makhluk yang ada di muka bumi termasuklah orang-orang tersayang.
“Arwah nenek selalu berpesan, supaya saya sentiasa menghargai setiap ciptaan Allah. Daripada situ, saya belajar untuk lebih menyayangi dan menghargai antara satu sama lain. Simbolik kepada nasihat tersebut, saya menamakan album sulung saya ini sebagai Appreciate,” jelas Karmal yang menulis sebuah lagu berjudul Terima Kasih yang didedikasikan khas buat neneknya.
Album sulung
Sekitar pertengahan tahun 2012, single pertamanya yang berjudul Party Sampai Pagi pernah mendapat perhatian ramai terutamanya daripada golongan muda. Malangnya, penerimaan lagu tersebut tidak seiring dengan populariti yang diraih Karmal. Entah di mana silapnya, khalayak hanya tahu tentang lagu Party Sampai Pagi, tetapi siapa identiti si penyanyinya langsung tidak diendahkan pendengar.
Tempoh penghasilan album debut yang baru dilancarkan itu juga mengambil masa selama dua tahun selepas single pertamanya itu bermain di corong-corong radio. Ditanya tentang tempoh yang agak lama diambil untuk menyiapkan Appreciate, Karmal ada alasan kukuh. Dia tidak mengejar masa, tetapi, memilih untuk menitik berat soal kualiti serta hasil akhir karya-karyanya.
“Saya bukan sengaja melengah-lengahkan proses rakaman, tetapi, saya perlu lebih fokus dan teliti dalam pemilihan setiap lagu yang bakal dimuatkan dalam album sulung ini.
“Lebih-lebih lagi, saya yang bertanggungjawab dalam memilih konsep, rekaan keseluruhan dan tema bagi kulit depan album ini,” ujarnya yang turut berkerja sebagai pereka grafik di ibu kota.
Menurut Karmal, dia berani memberi jaminan, bahawa lagu-lagu yang terkandung dalam albumnya itu bersifat segar dan sesuai untuk didengar oleh semua lapisan umur.
“Saya menulis lagu berdasarkan pengalaman sebagai seorang rapper. Lenggok bahasa yang digunakan juga mudah dan bersifat kontemporari,” ujar Karmal yang sebelum ini mencipta lagu Party Sampai Pagi khas golongan muda yang gemar berseronok dan bermain permainan video.