Search tidak abai Yazid!



“SEBENARNYA dalam hal ini ramai yang tidak tahu cerita sebenar. Kami tidak pernah abaikan Yazid malah dalam ramai-ramai, saya antara yang akan sampai dahulu jika dia jatuh sakit,” jelas pemain bass Search, Nasir berhubung tuduhan sesetengah pihak yang menganggap mereka mengabaikan nasib pemain dram itu.

Sebelum ini, Yazid Ahmad, 53, yang menderita sakit akibat kegagalan kedua buah pinggangnya pernah mengakui terkilan dengan sikap rakan-rakan artis, khususnya anggota kumpulan Search lain kerana tidak menjenguknya ketika terlantar di hospital tahun lalu.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Nasir dan anggota Search yang lain menganggap apa yang berlaku bukanlah perkara yang besar.

“Ketika Yazid jatuh sakit di Johor Baru sebelum ini, kebetulan saya juga ada di sana dan saya orang pertama sampai dahulu selain daripada ahli keluarga dia. Waktu itu dia terlantar tidak sedarkan diri dan dia tidak tahu saya ada bersamanya.

“Saya faham ketika itu rakan-rakan Search yang lain berada jauh tambahan pula ia berlaku ketika sambutan Aidilfitri. Pada waktu yang sama, Yazid pula mungkin terlalu emosi bila bercakap dan kami faham situasinya.

“Bagaimanapun, apa yang berlaku itu tidak sedikit pun menjejaskan hubungan persahabatan kami. Kami sudah berkawan hampir 35 tahun dan tahu apa patut dilakukan terhadap sahabat kami dan dakwaan orang ramai yang berkata kami tidak peduli tentang dirinya adalah tidak adil,” jelasnya panjang lebar.






Search bakal ubati rindu peminat

Air yang di cincang tidak akan terputus, begitu juga hubungan antara anggota kumpulan Search yang sudah dianggap sebagai sebuah keluarga.

Berkongsi kisah perjalanan Search, Nasir memberitahu kekuatan mereka bermula daripada semangat perjuangan yang besar.

“Search ibarat sebuah keluarga. Kami datang dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk terokai muzik di sini.

“Alhamdulillah, Search masih bertahan sehingga hari ini. Apa yang penting kami juga masih mempertahankan muzik sebab ia ciptaan kami bersama.

“Walaupun ada kalanya masing-masing sibuk tapi untuk Search kami bersatu dan inilah resipi berharga kami untuk terus kekal,” katanya.

Bagaimanapun tidak menafikan timbulnya konflik sepanjang lebih 30 tahun bersama.

“Sepanjang itu, banyak perkara yang mengajar kami untuk terus bertahan. Dengan pengalaman itu juga kami lebih mengenali dan memahami antara satu sama lain dan itulah resipi berharga kami yang mungkin tidak ada dalam mana-mana kumpulan yang lain.

“Sebab itu jika timbul isu-isu kecil antara ahli kumpulan, ia tidak sedikit pun menjejaskan hubungan kami.

“Tapi saya tidak nafikan sepanjang bersama mungkin ada yang merajuk atau berkecil hati tapi kami anggap ia perkara biasa yang juga berlaku dalam institusi keluarga,” tuturnya.





Tawan Istana Budaya

Selepas nama-nama besar seperti Wings, Jamal Abdillah dan Ella menggegarkan pentas Istana Budaya, kini tiba pula giliran kumpulan rock lagenda tanah air, Search lakukan perkara yang sama.

Teruja menghiburkan peminat yang sudah lama menantikan kemunculan mereka, vokalisnya yang dikenali sebagai Amy Search menjanjikan persembahan yang berbeza.

“Sebenarnya sudah terlalu lama orang bertanya bila kami mahu buat persembahan di Istana Budaya. Ada juga tawaran yang kami terima tapi waktu itu kami merasakan masanya belum tepat.

“Walaupun ambil masa yang lama untuk bersetuju membuat persembahan ini, tapi kami anggap inilah momen yang kami nanti-nantikan.

“Kami amat berharap, peminat semua akan ambil peluang ini menikmati hiburan dalam suasana yang berbeza kerana ia diadakan di Istana Budaya,” katanya.

Menganggap persembahan ini sebagai mimpi menjadi kenyataan, Nasir memberitahu persembahan tersebut bakal memberi kepuasan kepada peminat yang sudah lama menantikan kemunculan mereka.

“Kami amat berbesar hati dengan tawaran ini dan mahu buat yang terbaik dengan cara kami yang tersendiri.

“Apa yang penting, kami mahu tonjolkan muzik Search sendiri sebagai pengubat rindu peminat kami,” katanya.

Konsert sulung Search di Panggung Sari itu bakal diadakan selama empat malam bermula 4 hingga 7 Disember depan pada pukul 8 malam.

Segmen khas Yazid

Dalam pada itu, Nasir turut mengesahkan Yazid tetap akan beraksi pada malam konsert mereka namun bukan untuk keseluruhan persembahan kelak.

“Sebenarnya antara faktor kami bersetuju untuk beraksi pada konsert ini adalah kerana Yazid sendiri. Dia inspirasi konsert yang bakal berlangsung ini.

“Dia masih belum sihat sepenuhnya, tapi kami hormati hak dia untuk terlibat sama dalam konsert ini.

“Dia masih akan bersama kami membuat persembahan tapi untuk beberapa lagu yang kami masih bincangkan dan dia juga bersetuju,” katanya.

Selain mendermakan sebahagian daripada kutipan tiket ke Tabung Gaza, difahamkan konsert ini juga sebagai satu usaha dan tanggungjawab dalam membantu Yazid.
Previous Post Next Post