#AF2014 kembali raih sokongan peminat



SEMBILAN minggu berentap di pentas Akademi Fantasia 2014 (AF2014), empat pelajar telah melayakkan diri ke peringkat akhir yang bakal berlangsung pada Ahad ini, bermula jam 9 malam, di saluran Astro Ria dan Maya HD.

Pada mulanya, Ketua Program Realiti & Format Astro, Namanzee Harris memberitahu tiada perancangan untuk mewujudkan AFMasuk dan menegaskan bahawa empat pelajar sahaja yang berada di pentas final.

Namun, kemasukan Adel menerusi AFSerap menjangkakan saingan sengit kepada empat yang lain iaitu Nuha, Ewal, Aman dan Firman apabila mereka berlima bakal berentap untuk meraih gelaran juara.

Kurang seminggu sahaja lagi, pelajar AF2014 bakal mempersembahkan 'hidangan' terakhir mereka di pentas realiti itu.

Sudah pastinya masing-masing sedang bertungkus-lumus dengan bantuan tenaga pengajar di fakulti untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik di sepanjang musim ini.

Zass mendapatkan Namanzee untuk berkongsi lebih lanjut mengenai keseluruhan program dan kejutan yang bakal dipersembahkan pada konsert akhir nanti.




Setakat ini, apakah yang boleh anda simpulkan mengenai AF2014?

Alhamdulillah, saya dan seluruh produksi Astro berbesar hati dengan penerimaan dan sambutan hangat yang diberikan terhadap AF2014. Sejujurnya, saya tidak menyangka sokongan kepada konsert AF2014 kembali hangat walaupun pada tahun lalu kita berdepan pelbagai kritikan. Saya akui, pada tahun lalu, kita terpaksa berdepan banyak cabaran apatah lagi memperkenalkan format baharu. Namun, kesulitan dan cabaran tahun lalu memberi banyak manfaat kepada kami untuk diperbaiki pada musim ini. Secara keseluruhannya, AF2014 berjaya memancing semula penonton berdasarkan peratusan undian mengatasi tahun terdahulu.

Bagaimana pula dengan mutu pelajar yang layak ke peringkat akhir?

Secara peribadi, saya merasakan mereka sememangnya layak untuk ke pentas akhir setelah berminggu-minggu berdepan dengan cabaran demi cabaran. Masing-masing ada kelebihan tersendiri dan mereka perlu buktikan kemampuan sebenar mereka di pentas akhir nanti. Pada konsert sebelum ini, saya memerhatikan peratusan undian lebih diberikan kepada Azwan. Namun, pada konsert minggu lalu, saya terkejut kerana empat yang layak ke peringkat akhir itu mendapat undian tinggi berbanding sebelum ini. Saya yakin, ramai dalam kalangan peminat yang mengundi berdasarkan persembahan mereka.

Sebelum ini, anda pernah menegaskan tiada perancangan untuk AFMasuk. Namun, AFSerap diperkenalkan dan Adel mengisi kekosongan itu. Adakah perancangan itu dibuat berdasarkan perbincangan anda bersama tenaga pengajar?

Ya, saya pernah memberitahu tiada perancangan untuk AFMasuk dan pelajar yang layak ke peringkat akhir hanyalah empat orang. Namun, setelah mendengar penerangan dan perbincangan bersama Pengetua AF2014, Datuk Hattan, AFSerap wajar diperkenalkan atas beberapa sebab. Antaranya ada di kalangan pelajar memberikan persembahan hebat, vokal baik dan komitmen tinggi tetapi terpaksa disingkir kerana kekurangan undian. Ia tidak adil untuk mereka yang bersungguh-sungguh memberikan yang terbaik di setiap minggu seperti Muna dan Adel. Kami mengambil kira pandangan peminat.

Adakah ianya tidak mengundang kontroversi apabila empat pelajar lain berdepan dengan tekanan setiap minggu sedangkan Adel hanya menunggu untuk ke final?

Saya rasa tidak akan ada isu tidak puas hati ini kerana peminat dan pengundi tahu Adel layak bersama empat rakannya yang lain. Lagipun, saya melihat tekanan yang diterima lebih kepada tenaga pengajar kerana Adel ketinggalan banyak latihan dan kelas berbanding pelajar lain.

AF2014 tidak terlepas daripada kontroversi hebat termasuk insiden yang melibatkan Firman dan personaliti fesyen, Wak Doyok. Adakah ia hanya gimik semata-mata untuk menaikkan rating tontonan?

Sebenarnya, Astro ada perancangan membuat gimik dan salah satunya kemunculan Wak Doyok di pentas AF2014 dan membuat tinjauan di asrama mereka. Ramai menyangka Wak Doyok pilih kasih dan sengaja memalukan Firman. Namun sebenarnya, Wak Doyok turut memberikan hadiah kepada Firman selepas tamat konsert pada malam itu. Malah, ia dirakam dan dimuatkan dalam siaran Diari AF2014.

Kami akui, mungkin ada kesilapan dalam membuat gimik sehingga mengganggu emosi penonton dan saya mengambil insiden ini sebagai pengajaran untuk masa yang akan datang.

Secara keseluruhan, adakah AF2014 mencapai matlamat yang telah ditetapkan?

Alhamdulillah, sebenarnya ia melebihi jangkaan kami dengan sambutan yang begitu baik. Ianya melebihi dari apa yang kami bayangkan sebelum ini. Saya mengambil kira beberapa maklum balas daripada orang ramai yang mengatakan AF sudah tidak relevan dengan zaman teknologi sekarang. Namun, dengan mengekalkan format asal, kami berjaya menarik minat penonton semula.

Dari segi penyusunan muzik, pemilihan lagu dan pelajar serta komitmen tenaga pengajar dan pengetua, adakah anda berpuas hati pada AF2014?

Ya, saya amat berpuas hati dengan penyusunan yang telah dibuat. Begitu juga dengan pelajar dan tenaga pengajar yang terdiri daripada Acis (Guru Muzik dan Pengarah Muzik Konsert), Siti Hajar (Guru Vokal), Fatimah Abu Bakar (Guru Motivasi dan Bahasa Inggeris), Linda Jasmine (Guru Tarian dan Koreografi) dan Marlia Musa (Guru Seni Persembahan). Malah, Datuk Hattan memberikan komitmen 100 peratus sebagai pengetua. Dia juga lebih menekankan soal persembahan, bersesuaian dengan kerjayanya sebagai penghibur.

Untuk persediaan ke pentas akhir, mungkin ada beberapa kejutan yang bakal dipersembahkan nanti?

Kami tidak mengutamakan soal kejutan pada tahun ini kerana tumpuan lebih diberikan kepada nilai persembahan. Kami memutuskan untuk konsert akhir, persembahan perlu dilakukan dalam bentuk muzik video di atas pentas dengan kelengkapan prop dan pencahayaan. Kami juga menjemput beberapa artis jemputan yang turut memeriahkan konsert akhir nanti. Selain itu, kelainan juga pada setiap finalis akan disertakan sekumpulan pasukan khas untuk persembahan mereka. Pada malam itu, mereka akan membawakan satu lagu pilihan dan satu lagi lagu baharu.

Selepas AF2014 melabuhkan tirai, adakah Astro akan menyediakan platform untuk pelajarnya dalam melebarkan sayap dalam industri?

Selepas mereka keluar, mereka membawa lagu baharu sendiri dan Astro akan menyediakan muzik video mereka. Namun, Astro memastikan ruang akan diberikan dalam beberapa persembahan dan acara hiburan yang melibatkan Astro. Bagaimanapun, kami tidak menggalakkan mereka terus bergantung kepada Astro.

Akhir sekali, apakah harapan anda pada konsert akhir AF2014 nanti?

Saya mengharapkan agar mereka dapat menyediakan hiburan yang terbaik di konsert akhir nanti mengikut keistimewaan yang dimiliki dengan memberikan persembahan yang mantap. Jauh di sudut hati saya mengharapkan agar AF2014 menjadi konsert AF yang paling berjaya dalam keseluruhan musim yang ada sebelum ini!
Previous Post Next Post