BERSESUAIAN dengan penampilannya yang bertudung, aktres hebat, Datin Paduka Umie Aida akui dirinya kini memilih tawaran lakonan lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan babak bersentuhan.
Selain itu juga, pelakon teater ‘Bahayanya Wanita’ ini juga hanya akan tertarik dengan karekter yang lebih mencabar.
“Selepas bertudung, memang ada beberapa tawaran lakonan yang saya terima. Tapi buat masa ini belum ada yang bersesuaian.
“Karakter apa yang ditawarkan itu bukan masalahnya, tapi batas-batas yang perlu saya ambil kira.
“Sebolehnya memang saya elakkan babak bersentuhan jadi saya terpaksa tolak beberapa tawaran kerana tidak mahu menyusahkan produksi lain. Sebagai seorang pelakon saya faham situasi pihak produksi, jadi lebih baik saya tolak,” katanya yang kini sedang berehat dari bidang lakonannya.
Umie ditemui ketika menghadiri majlis perasmian pembukaan galeri perabot, Commune, di Bangsar yang turut dihadiri beberapa selebriti lain seperti Awal Ashaari dan Scha Alyahya.
Mengulas lebih lanjut mengenai kemenangannya meraih anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia 26 (FFM26), Umie menganggap hanya rezeki menyebelahinya memandangkan calon-calon lain yang terlibat bukanlah calang-calang.
“Alhamdulillah, saya tahu bukan senang buat para juri membuat pemilihan tambahan pula persaingan lain tidak kurang hebatnya.
“Saya percaya kemenangan ini adalah rezeki dan ia juga beri semangat untuk saya buat lebih baik selepas ini,” katanya teruja.