JIKA kebanyakan bintang-bintang terkenal mengambil pendekatan untuk merahsiakan banyak hal peribadi mereka, lain pula dengan keterbukaan diva terkenal Indonesia, Krisdayanti.
Bagaimanapun sikap keterbukaannya itu dalam berkongsi hal-hal peribadi, termasuk dalam memberi kenyataan membabitkan kontroversi yang diperkatakan di Indonesia dan Malaysia menjadi punca dia dikecam tatkala menghitung hari untuk mengadakan konsert di Malaysia.
Dalam ruangan gosip sebuah akhbar tempatan menyebut, ada pihak berpendapat, peminat Malaysia tidak perlu lagi menyanjung Krisdayanti atau lebih mesra dipanggil KD, gara-gara figura itu pernah mempunyai kontroversi dan sejarah hitam sikit masa dulu.
Dek kerana kontroversinya yang lalu, KD dikatakan tidak layak mengadakan konsert di sini apatah lagi diberi layanan istimewa.
Tidak melenting dengan tulisan wartawan berkenaan dalam ruangan pojok, KD berkata, tulisan itu tidak sedikit pun melenturkan semangatnya untuk terus menghiburkan peminat di sini.
"Ya, saya tahu mengenai perkara itu, tapi kita sedia maklum, bukan semua orang sukakan kita. Sama juga seperti, ada orang anti Indonesia, ada orang anti Malaysia.
“Tapi bagi saya, kritikan sebegitu hanya sebahagian kecil dan saya berfikiran positif. Kalau mungkin disebabkan keterbukaan saya sehingga menyebabkan tercetusnya kontroversi-kontroversi itu, bagi saya, saya hanya jadi diri sendiri. Mungkin suami saya panas baran sedikit. Karakter saya seperti itu, saya suka sifat keterbukaan.
“Kalau mungkin pihak itu mengambil kesempatan atas keterbukaan saya, saya tidak marah, tidak sedih bahkan tidak ambil hati bila dikecam sebegitu, tapi jangan disalahertikan pula," ujarnya pada sidang media kedua konsertnya itu bertempat di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur.
Tambah KD lagi, dia kini sibuk melakukan persiapan bersama krewnya menjelang konsertnya yang akan diadakan pada 22 November ini.
Konsert Krisdayanti Live in KL 2014, yang akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen KLCC ini turut menyaksikan KD bakal berduet bersama anak perempuannya, Aurel.
“Saya sekarang tinggal menghitung hari hingga tiba hari konsert. Tipu jika saya katakan saya tidak gementar. Sudah lama saya impikan konsert sebesar ini dan syukur kerana Tuhan menemukan saya dengan penganjur, One Drop Perfumes.
“Saya kira, ini adalah sebuah konsert yang layak ditonton oleh semua peminat saya di Malaysia.
“Ada juga segmen broadway yang mana saya akan menyanyikan lagu seperti Mencintaimu, Penasaran dan Im Sorry Goodbye, yang diadun dalam satu lagu," katanya.
Pilih Hafiz Suip
Tidak hanya berduet bersama anaknya, KD mengakui cukup teruja berduet buat pertama kalinya dengan penyanyi terkenal Malaysia, Hafiz Suip.
Menurut KD, Hafiz dipilih menjadi artis jemputan dan pilihan itu juga di buat menerusi hasil 20, 000 undian peminat di laman Facebook pihak penganjur.
“Nama Hafiz memang saya sudah biasa dengari, dan saya kira dia penyanyi paling top di Malaysia sekarang. Saya juga tahu yang dia penyanyi bagus sebab dia menang di APM (Anugerah Planet Muzik) lalu. Rossa juga ada memuat naik gambar Hafiz.
"Jadi saya yakin Hafiz akan mampu memberikan persembahan mantap dan menambahkan semangat di pentas konsert saya nanti. Saya dengar lagu-lagunya di YouTube, paling saya suka, Ombak Rindu. Hafiz juga kacak, semoga suami saya tidak cemburu nanti," ujarnya sambil ketawa.
Dalam konsert itu nanti, KD dan Hafiz akan berduet menerusi lagu Cinta dan Ombak Rindu. Selain itu di konsert tersebut diselitkan segmen tribute untuk Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di mana KD akan menyampaikan lagu Getaran Jiwa.
Tiket konsert Krisdayanti Live in KL 2014 boleh didapati di www.ticketcharge.com.my atau hubungi 03-9222 8111 dengan harga RM98 (Bronze), RM328 (Gold), RM428 (Diamond), RM528 (Platinum), RM888 (VIP) dan RM10,88 (VVIP). Tiket-juga boleh didapati di outlet Speedy Video seluruh negara.