MAHKAMAH Majistret Ampang hari ini menetapkan dua hari bermula 13 Januari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan kes penyanyi rock kumpulan Wings, Awie yang menghadapi tuduhan mencederakan isterinya, Jun lepas.
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene memaklumkan bahawa laporan forensik telah diserahkan kepada pihak pembelaan melalui peguam Hazman Harun, yang mewakili Awie.
Pada 4 Julai lepas, Awie, 46, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman mengaku tidak bersalah atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana Misbun, 36, di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 1.30 tengah hari, 2 Jun lepas.
Awie yang merupakan pelakon utama filem 'Zombi Kampung Pisang' dan 'Hantu Kak Limah' didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.