NOH bersama Pengurus Besar Sony Music, Hermond Cheng dan Pengarah Sony Music, Julius Ng (kanan) pada majlis pelancaran Angin Kencang.
ARAH angin antara band Hujan dan vokalisnya, Noh Salleh secara solo nyata berbeza. Jika band Hujan tampil dengan aliran muzik rock alternatif, Noh yang berdiri solo pula mengalih perhatian dengan wangian muzik bergenre French pop dengan pengaruh elemen melodi Melayu klasik nusantara.
Kata Noh, 29, perbezaan jelas ketara antara pergerakan berkumpulan bersama Hujan dan perjalanan solo menerusi album EP sulungnya yang diberi judul Angin Kencang. Selain meniupkan genre muzikaliti berbeza, album yang mengandungi enam lagu itu juga bersifat peribadi baginya.
“Hujan dikenali dengan genre muzik rock alternatif. Kebanyakan lagu digubah dengan paduan lima kepala daripada setiap anggota kumpulan Hujan, jadi bunyinya tidak sama seperti saya yang berdiri solo. Hujan adalah sentuhan hujan manakala Noh sentuhan saya tanpa bunyi Hujan.
“Proses penghasilan lagu atau album Hujan juga berbeza. Biasanya kami akan pilih, misalnya 10 buah lagu, masuk studio dan rakamkan instrumen demi instrumen, malah proses itu sebenarnya boleh memakan masa cuma seminggu.
“Untuk Angin Kencang ini, prosesnya mengambil masa lebih kurang dua tahun. Bermula dengan single solo pertama saya berjudul Angin Kencang yang dikeluarkan sejak dua tahun lepas, kemudian perlahan-lahan tanpa ada sebarang tekanan pun satu demi satu lagu berjaya disiapkan sehingga terhasil album ini,” ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran album EP Angin Kencang di White Box, Publika baru-baru ini.
Dedikasi Noh
Album EP Angin Kencang memuatkan enam buah lagu termasuk single Angin Kencang yang dimainkan dalam versi piano secara langsung oleh komposer terkenal, Loke U Uzir. Empat lagu lain ialah Gelung, Biar Seribu, Bunga Di Telinga dan Sang Penikam.
Kata Noh, beberapa lagu misalnya Gelung, Bunga Di Telinga dan Sang Penikam ditujukan khas buat isterinya, Mizz Nina dan sebuah lagu diciptakan khas sempena ulang tahun perkahwinan ke-50 ibu dan bapa mentuanya berjudul Biar Seribu yang membawa metafora hubungan yang bertahan lama.
“Paling istimewa bagi saya adalah lagu pada trek ketiga dalam album ini berjudul Biar Seribu kerana lagu ini dihasilkan khusus buat kedua ibu dan bapa mentua saya. Kebanyakan lagu daripada album ini dibuat tanpa ada tekanan dan perjalanan itu mengalir secara semula jadi. Jujur saya katakan, menghasilkan lagu untuk kedua-dua orang tua saya lagi susah berbanding mencipta lagu untuk isteri saya.
“Berbicara soal penerimaan dan kepuasan peminat, saya perlu dahulukan kepuasan saya sebelum peminat. Saya hasilkan album ini untuk kepuasan saya dan sekiranya pendengar boleh menerimanya saya bersyukur,” katanya yang tidak pernah menyasarkan sebarang target untuk melahirkan album EP tersebut.
Sementara itu, jelas Noh, lagu Angin Kencang sebenarnya diinspirasi daripada karya solo John Lennon yang menceritakan kerinduan terhadap kekasih dan angin yang membawa bayu-bayu rindu. Ironinya, lagu itu juga ditujukan kepada Mizz Nina yang sedang sibuk dengan promosi jelajahnya selama sebulan di Amerika Syarikat dua tahun lalu.
Sore
Kebanyakan lagu yang dihasilkan Noh dengan kerjasama beberapa pemuzik terkenal dari Indonesia seperti Adink Permana, Ramondo Gascaro dan Dono Firman merupakan impian Noh.
Dia menyifatkan lagu-lagu yang dimuatkan dalam album EP Angin Kencang berlandaskan melodi French pop dan Swedish pop sekitar era 1970-an dan 1980-an.
“Rujukan saya adalah band Sore dari Indonesia kerana saya mengagumi muzik mereka sejak dari awal band Hujan ditubuhkan. Masih saya ingat lagi kali pertama Hujan dijemput untuk membuat persembahan pembukaan mereka, itu merupakan pengalaman pertama saya berkongsi pentas dengan band tersebut.
“Malah, saya juga berpeluang untuk mendapatkan khidmat ahli bekas kumpulan Sore, Ramondo Gascaro untuk menerbitkan album ini. Jadi, kalau ada antara lagu kedengaran persis band tersebut saya tidak boleh elak dan jika ada yang mahu membandingkan kami, saya tidak kisah kerana itu saya mahukan.
“Sepanjang proses menghasilkan album ini pun kami berkomunikasi secara Whatsapp dan e-mel sahaja tetapi segalanya berjalan lancar. Paling penting, kami tidak terlalu mencuba dan 150 peratus saya berpuas hati dengan album ini,” katanya.
Noh yang telah menandatangani kontrak bersama Sony Music Malaysia untuk pengedaran album EP Angin Kencang memberitahu, dia tidak menggunakan jenama dan populariti Hujan untuk mempromosikan singlenya daripada album tersebut di stesen radio, malah dia memulakan kembali langkahnya seperti artis baru bertapak.
“Saya bekerja dan berusaha dengan sendiri. Daripada proses promosi album saya tidak mahu menggunakan nama Hujan untuk diberikan prioriti, eloklah saya bermula dari asas dan menggunakan laluan yang sama seperti artis baharu lain.
“Saya juga akui saya bukan seorang vokalis yang baik dan penulis lirik yang sempurna. Saya juga perlu bermula dan berusaha untuk mendaki tangga atau memperkenalkan produk yang saya ada,” simpul Noh.