Cef Riz, Shikin Maembong kahwin Disember ini



HUBUNGAN di antara Cef Riz dan Shikin Maembong telah berjalan selama setahun. Kini mereka menanti Disember ini untuk disatukan sebagai suami isteri.

Enggan lagi berselindung mengenai hubungan percintaannya dengan seorang wanita berusia 31 tahun, Shikin Maembong, tukang masak selebriti, Cef Riz tekad untuk melangsungkan perkahwinannya dengan Shikin menjelang penghujung tahun nanti.

Anak kepada cef selebriti terkemuka, Cef Wan itu mengakui, sudah sampai masanya buat mereka melangsungkan perkahwinan selepas bercinta selama setahun.

Semalam, pasangan itu bertunang selepas Cef Riz mewakilkan ayahnya, Cef Wan untuk masuk meminang Shikin.

Jelasnya, peminangan tersebut tidak dilakukan secara terburu-buru, sebaliknya mereka memang telah merancang untuk bertunang pada April lalu. Namun, kekangan masa ayahnya menyebabkan majlis pertunangan ditangguhkan sehingga semalam.

Terdahulu, Cef Riz atau nama sebenarnya, Mohd. Nadzri Redzuawan sempat menyulam kasih dengan pelakon Ana Dahlia dalam bahtera rumah tangga yang hanya bertahan selama 11 bulan sebelum mereka berpisah pada 8 November 2012.

Menyifatkan kehidupan lampau sebagai sebuah cerita yang tidak perlu diungkit semula, lelaki berusia 32 tahun tersebut tidak berpaling terhadap keputusan untuk menamatkan zaman duda de­ngan kakak pelakon Emma Maembong itu.

Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya mengenai perancangan perkahwinan mereka dan keistimewaan Shikin yang berjaya membuka pintu hati Cef Riz untuk kembali berumah tangga.

Kosmo!: Cef Riz, adakah benar anda merancang untuk melangsungkan perkahwinan dengan Shikin Maembong dalam masa terdekat ini?

Cef Riz: Saya tidak mahu lagi berselindung mengenai khabar gembira itu. Ya, saya akan me­langsungkan perkahwinan dengan dia (Shikin) tidak lama lagi. Kami pun sudah berbincang dan bersedia untuk melangsungkan perkahwinan seboleh-bolehnya menjelang penghujung tahun ini.

Bagaimanakah persiapan perkahwinan anda setakat ini?

Sehingga kini, kami masih lagi dalam proses perbincangan melibatkan keluarga masing-masing. Alhamdulillah, keluarga dia bersetuju dan berbincang mengenai tarikh perkahwinan. Bagaimanapun, hanya saya belum mampu memberikan kata putus memandangkan ia masih lagi dalam perbincangan. Insya-Allah, saya akan memaklumkan tarikh ini kepada umum secepat mungkin.

Boleh anda ceritakan sedikit mengenai bibit awal percintaan anda dengan Shikin?

Kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah lagi. Kemudian hubungan kami tidak rapat selepas tamat persekolahan. Namun sejak setahun lalu, hubungan kami menjadi semakin rapat melalui laman sosial Instagram. Tidak sangka akhirnya kami menjadi pasangan kekasih dan akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.

Anda sudah pernah mengalami episod kegagalan dalam rumah tangga sebelum ini. Justeru, apakah keistimewaan yang terdapat pada Shikin sehingga dia dipilih sebagai calon isteri anda untuk perkahwinan kedua ini?

Dia merupakan seorang yang sangat memahami dan penyayang. Dia juga seorang yang berdikari dan tidak sepenuhnya bergantung kepada seseorang. Saya sangat selesa bersamanya. Mengenai status saya sebagai duda pula, bagi saya, perkara lepas tidak sepatutnya diungkit lagi. Mungkin apa yang berlaku sebelum ini iaitu penceraian saya dan Ana Dahlia menjadi pengalaman kepada saya untuk mengharungi kehidupan rumah tangga yang baharu dengan lebih baik.

Bolehkah anda ceritakan mengenai perkembangan terbaharu anda?

Saya kini lebih fokus kepada restoran saya iaitu Flavours yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur. Pada masa yang sama, saya juga sibuk melatih pekerja di restoran saya supaya mereka mahir dalam bidang kulinari dan masakan.


Previous Post Next Post