Populariti berganda Haha



SELAIN sibuk dengan program Running Man, Haha juga akan muncul dengan album terkini pada bulan Disember depan.

LUCU, mesra dan suka melawak sudah terpampang sebagai karakter asli yang dimiliki oleh Ha Dong-hoon atau mesra dipanggil Haha. Melihat dirinya, sukar untuk mencari perbezaan di mana letaknya karakter yang dicipta untuk program hiburan popular Running Man, yang mana pula karakter sejatinya di sebalik lensa kamera.

Buktinya, Kosmo! berkesempatan me­ne­mu bual Haha usai sidang akhbar Hotlink Race Start Season 2 In Malaysia di Hotel Double Tree by Hilton, Kuala Lumpur, Sabtu lalu. Pada awalnya, bapa kepada seorang anak lelaki ini ditegah oleh pihak pengurusannya untuk tidak bergambar bersama pihak media.

Walau bagaimana­pun, Haha dengan selamba mencapai te­lefon salah seorang petugas media dan terus sedia diajak bergambar.

Kata Haha ketika ditemu bual: “Saya sangat menghormati peminat. Apa yang saya miliki hari ini (populariti) kerana sokongan mereka.

“Tanpa mereka tiadalah saya di sini hari ini. Oleh itu, saya sangat menghargai penghormatan yang diberikan oleh peminat.”

Ironi, karier seni Haha tidak secantik hari ini sewaktu dia pertama kali menjadi anak seni pada tahun 2001. Sebenarnya dia tidak bermula sebagai seorang pelawak, sebaliknya dia terjun ke dalam bidang seni sebagai penyanyi bersama kumpulan hip hop, Z-kiri.

Malangnya, belum sempat dikenali peminat, kumpulan itu berkubur. Demi kelangsungan hidup, Haha menjadi pe­ngacara dalam program What’s Up YO! pada tahun 2002.

Bakat komedinya pula diasah ketika dia menyertai sitkom Nonstop musim ketiga. Disebabkan populariti sedang meningkat naik pada tahun 2004, Haha menjadi penyampai radio di SBS Power FM dan mengendalikan program Haha and Mong Journey.

Sungguhpun begitu, Haha tidak pernah melupakan cita-cita asalnya untuk menjadi penyanyi. Pada tahun 2005, Haha muncul dengan album solo berjudul The Beautiful Rhyme Diary.

Namun, sekali lagi album itu gagal menarik perhatian peminat. Bahkan single daripada album itu, Love Song juga tidak berjaya me­ma­suki carta muzik.

Tidak berputus asa, akhirnya pada tahun 2007, Haha muncul de­ngan la­gu single You Are My Destiny. Lagu itu berjaya mendaki tempat pertama beberapa buah carta muzik di Korea Selatan.

Bintang Haha mula menyinar pada tahun 2010 sebaik sahaja dia keluar daripada latihan ketenteraan. Penyertaannya dalam Running Man berjaya menaikkan nama Haha dalam industri seni, sekali gus menyelamatkan kerjaya nyanyi­annya.

Album keduanya bergenre reggae, Quan Ninomarley aka Haha Reggae Wave yang dikeluarkan pada tahun 2011 diterima dengan baik oleh peminat.

Ujar Haha, selepas berjaya mencipta nama sebagai pelawak, pelakon, pengacara dan penyam­pai radio, hanya satu sahaja impiannya yang masih tertinggal iaitu memantapkan lagi namanya sebagai seorang penyanyi yang disegani.

“Selepas semua yang saya miliki, sekarang saya mahu lebih fokus kepada kerjaya nyanyian. Saya mahu dikenali sebagai salah seorang penyanyi yang bagus.

“Perancangan terbaharu tentang nyanyian ialah saya dan sahabat, Skull akan bekerjasama dalam sebuah album yang dijangka keluar dalam masa sebulan. Sudah pasti lagu dalam itu bergenre reggae,” kata Haha yang kali terakhir mengeluarkan album berjudul Acoustic Tuning Time pada tahun 2012.

Disoal kenapa genre reggae begi­tu dekat dengan jiwanya, sedangkan dia bermula dengan genre hip hop, sambil tersenyum Haha menjawab, reggae sebuah irama yang menggembirakan se­tiap orang yang mendengarnya.

“Reggae sebuah irama yang menenang dan menyeronokkan. Ia sesuai untuk dinyanyikan di mana sahaja dan yang penting orang yang mendengar irama itu pasti terhibur walaupun saya menyanyi dalam bahasa Korea tanpa mengira di negara mana sekali pun.

“Sejujurnya, saya masih mempelajari untuk menjadi seorang penyanyi reggae yang baik. Namun, bezanya saya menyanyi rap dalam irama reggae. Buat masa sekarang, saya cukup selesa dikenali sebagai penyanyi Korea yang memperjuangkan irama reggae,” tuturnya.

Popular kerana Running Man

Beralih bicara kepada program Running Man, Haha mengakui program yang turut disertai barisan artis seperti Lee Kwang-soo, Song Ji-hyo, Kim Jong-kook, Jee Seok-jin, Yoo Jae-suk dan Gary itu telah mencipta sensasi luar biasa.

Dia sendiri tidak menyangka program itu akan berjaya mena­rik perhatian peminat di Korea Selatan serta peminat seluruh Asia.

“Saya tidak pernah menjangka akan meraih populariti seperti hari ini. Sebelum ini, saya bekerja keras dan melalui hari-hari yang sukar.

“Apabila program Running Man diterima ramai, saya cukup terharu. Sebenarnya, kami dalam Running Man sendiri tidak menjangka yang program itu akan menjadi besar di Korea Selatan, apatah lagi di luar negara.

“Dalam Running Man, kami sa­ling mengingati antara satu sama lain, apa yang dilakukan demi pe­minat kerana mereka (peminat), kami dikenali sehingga ke luar negara,” ujar Haha merendah diri.

Bercakap tentang saat paling sukar dihadapi sepanjang berlangsungnya program popular itu, Haha mengakui yang episod pertama penggambaran Running Man dirasakan paling sukar, bukan sahaja untuk dirinya bahkan untuk oleh seluruh produksi program itu.

Terangnya, dia dan rakan-rakan yang lain tidak tahu perjalanan sebenar program itu sehingga memaksa mereka melakukan penggambaran tanpa henti.

“Bagi saya, saat paling sukar ialah pada awal episod Running Man. Waktu itu semua orang masih keliru tentang hala tuju program tersebut. Kami juga tidak membina karakter seperti hari ini, jadi semua orang tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Tidak tidur dan tidak cukup rehat kerana penggambaran berlangsung lebih 24 jam. Rasanya episod pertama paling meme­ritkan bukan sahaja untuk saya tetapi semua orang termasuk kru produksi,” jawab Haha.

Sambungnya lagi, demi rating program tersebut, dia pernah menahan sakit akibat ke­cedera­an yang berlaku ketika penggambaran.

“Penonton lihat kami gembira, tersenyum dan bergelak ketawa dalam program itu. Bagaimanapun, mereka tidak tahu kesukaran yang kami hadapi ketika penggambaran.

“Saya pernah cedera di kaki dan tangan. Demi tidak mengganggu perjalanan penggamba­ran, saya hanya menerima rawatan yang ringkas.

“Bayangkan, dalam keadaan sakit saya terpaksa senyum dan ketawa di hadapan kamera. Semuanya demi penonton. Saya tidak mahu kerana kecederaan itu, saya menyusahkan semua pi­hak kerana penggambaran Running Man melibatkan jumlah kru produksi yang besar,” akui Haha sambil menunjukkan kaki dan tangannya yang pernah tercede­ra ketika penggambaran.




Diserbu peminat

Sementara itu, pada malam hari yang sama temu bual berlangsung, bertempat di Stadium Negara, Kuala Lumpur, peminat setia program Running Man berkumpul semata-mata mahu menatap wajah Haha, Lee Kwang-soo, Song Ji-hyo, Kim Jong-kook dan Jee Seok-jin di depan mata. Walaupun hanya dapat melihat dari jarak yang jauh, kegilaan peminat fanatik Running Man tidak dapat dinafikan.

Hanya dua hos Running Man iaitu Yoo Jae-suk dan Gary tidak dapat hadir pada acara bertemu peminat yang diberi nama Hotlink Race Start Season 2 In Malaysia itu.

Acara bertemu peminat yang dibikin seperti konsert itu bermu­la pada pukul 6.30 petang. Dalam keadaan hujan lebat dan terdapat beberapa acara besar pada hari yang sama seperti Final Piala Malaysia menyebabkan kehadiran penonton tidak seramai konsert penyanyi K-Pop yang lain.

Hotlink Race Start Season 2 In Malaysia hanya berjaya mengumpul sekitar 2,500 peminat membanjiri stadium. Walaupun ada ketika sukar untuk memahami butir bicara mereka kerana berkomunikasi dalam bahasa Korea, namun mereka bijak menggunakan bahasa badan untuk membuatkan peminat di Malay­sia rasa begitu dekat dengan se­tiap hos Running Man.

Paling menghiburkan pada konsert itu sudah pasti persembahan solo setiap hos. Walaupun ada di antara mereka bukanlah penyanyi, namun persembahan mereka tetap menarik perhatian. Salah seorang hos Running Man, Kwang-soo mengejutkan ramai peminat apabila menyanyi de­ngan baik.

Bukan itu sahaja, persembahan Kwang-soo dan Seok-jin juga menjadi satu detik yang paling menggamatkan suasana. Kwang-soo tampil persis seperti wanita lengkap berambut palsu manakala Seok-jin pula menari sambil diiringi lagu Troublemaker.

Stadium berubah suasana se­perti konsert sebenar apabila Haha pula muncul di atas pentas. Menyanyikan tiga buah lagu tanpa henti, Haha membuktikan dia merupakan seorang penyanyi yang hebat apabila persembahannya berjaya menarik perhatian penonton.

Menutup acara, kesemua hos Running Man bergandingan me­nyanyikan lagu Hands Up dan Busan Acane. Secara keseluruhan, persembahan mereka berjaya menghiburkan peminat yang hadir.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan keletah hos Running Man, anda boleh menonton mereka di saluran One HD (Astro 393) yang bersiaran setiap hari Jumaat.
Previous Post Next Post