Hakikat cinta Elly Mazlein


Elly dan Azmi merancang untuk pergi berbulan madu ke sebuah pulau.

MENYULAM kasih dalam ikatan pertunangan selama empat tahun bukanlah sesuatu yang mudah. Beberapa kali digoncang kontroversi, beberapa kali juga perkahwinan terpaksa ditangguhkan, hubungan itu pernah diheboh putus sekitar tahun lalu. Namun, setiap dugaan yang berlaku itu tidak pernah menjadi penghalang kepada pelakon dan penyanyi Elly Mazlein untuk menyatukan cinta kasihnya kepada lelaki peneman hidup, Azmi Mohd. Hatta.

Ketika sang mentari menghangatkan pagi Ahad lalu, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 34, sah bergelar isteri kepada Azmi, 38, dengan hanya sekali lafaz.

Berwali dan dinikahkan oleh bapanya sendiri, Syed Hanafi Syed Abdullah, acara itu turut disaksikan Penolong Pendaftar Nikah Kariah Taman Putra Perdana, Ustaz Ahmad Baie Jaafar dan dihadiri lebih 100 orang.

Dalam majlis akad nikah yang diberi tema Wedding Pearl bertempat di Surau As-Sakinah, Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor itu. Elly menerima mas kahwin berjumlah RM300. Atas sebab peribadi, Elly bagaimanapun memilih untuk mengunci mulut mengenai jumlah wang hantaran yang diterimanya.

Pengantin perempuan turut menerima sebanyak sembilan dulang hantaran, antaranya berisi sepasang kasut, tas tangan, satu set barangan kemas dan manisan berbalas tujuh dulang kepada pengantin lelaki.




Hikmah

Memanjatkan rasa bersyukur yang tidak terhingga usai majlis akad nikah yang dirancang pada hari itu, Elly yang anggun dalam persalinan berona putih rekaan khas Busana Cinta sentuhan Eilla Faizshah itu ceria melayan kunjungan rakan media yang ingin mendekati kisah hari bahagianya.

Raut wajah yang tenang sambil senyuman tidak lekang daripada bibir mungilnya, pelakon filem Awan Dania The Movie itu bersahaja membalas bidik soalan yang diajukan satu persatu.

“Pertama sekali, sudah tentulah rasa bersyukur dan lega bertamu dalam hati kami. Syukur Alhamdulillah, semuanya telah selesai seperti yang dirancang. Tiada masalah dan tiada perkara yang tidak elok berlaku, semuanya berjalan dengan sempurna.

“Seperti yang anda semua tahu sebelum ini, setelah perancangan kami untuk mendirikan rumah tangga tertangguh pada tahun 2012, banyak spekulasi yang timbul. Sebenarnya, penangguhan yang berlaku itu terjadi atas sebab-sebab yang tertentu.

“Jika diikutkan, memang kami mahu melangsungkan pernikahan pada Februari 2012 seperti yang sudah diuar-uarkan, tetapi terpaksa ditangguhkan akibat komitmen kerja. Setelah itu, kami merancang pula untuk melangsungkan majlis pada bulan September tahun ini, namun tanpa dijangka, ibu saya pergi menghadap Ilahi terlebih dulu sebelum sempat melihat saya mendirikan rumah tangga.

“Selepas itu, kami sepakat menetapkan tarikh 12 Februari tahun hadapan kerana mahu mengelak daripada melangsungkan majlis pada tahun ini kerana saya masih bersedih atas kehilangan ibu. Akhirnya, Azmi usulkan agar pernikahan kami dipercepatkan kepada tarikh hari ini (Ahad) dan Alhamdulillah, kami disatukan.

“Jodoh kami berdua belum sampai serunya pada ketika itu. Jika takdirnya begitu, kami terima. Mungkin ada hikmah atas setiap yang berlaku,” ujar anak kelahiran Slim River, Perak itu manja di sisi suami tercinta.

Pusara ibu


ELLY MAZLEIN tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja menziarahi pusara ibunya, Allahyarham Sabariah Ahmad yang meninggal dunia pada bulan Mei lalu.

Menampilkan kelainan dengan memilih sebuah surau untuk dijadikan saksi terbinanya mahligai cinta mereka berdua, Elly punya alasan yang tersendiri apabila memilih lokasi surau yang terletak bersebelahan dengan tanah perkuburan tempat arwah ibunya disemadikan itu.

“Saya mahu dekat dengan ibu. Ibu tidak sempat melihat saya diijabkabulkan. Sebab itu saya pilih surau ini sebagai lokasi akad nikah. Saya juga mahu kongsikan momen-momen indah dalam hidup saya saat bergelar isteri. Ibu tidak dapat berada di sisi pada hari bahagia saya, tetapi cukuplah sekadar saya dekat dengan pusara ibu.

“Ikut perancangan awal, kami mahu adakan majlis perkahwinan di Dewan Bukit Jalil Country Resort, namun, menukar lokasi ke surau ini. Saya tidak mahu ibu jauh ketika saya sah bergelar isteri orang,” Elly menggamitkan suasana sayu buat seketika.

Keadaan kembali ceria apabila pasangan itu ditanya mengenai destinasi bulan madu. Elly dengan nada manja berkongsi cerita bahawa tempoh cuti yang singkat selama dua minggu membataskan perancangan bulan madu mereka.

“Azmi katakan kepada saya, dia mahu bawa saya bercuti ke pulau. Katanya, untuk dijadikan hadiah perkahwinan. Pulau mana dan bila, biarlah rahsia dulu,” bicara Elly berselang tawa.

Saat tawa riang memenuhi ruang surau, Azmi mencelah dan berkongsi satu agenda. Pada tanggal 15 November nanti, dia merancang untuk membawa Elly bersama-sama menyertai sebuah konvoi bermotosikal.

“Selain hadiahkan Elly dengan sebuah percutian ke pulau rahsia, pulang sahaja daripada berbulan madu nanti, saya mahu Elly rasai pengalaman menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi. Konvoi itu akan disertai oleh rakan-rakan motosikal saya yang lain dan kami akan membuat perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang,” ujar pengarah filem Duhai Si Pari-Pari itu ceria.




Ibu segera

Apabila diusik dengan status ‘ibu segera’ yang dimilikinya sementelah bergelar isteri kepada Azmi, Elly menyatakan kesediaannya menggalas tugas sebagai ibu kepada dua orang anak lelaki Azmi daripada perkahwinan terdahulu. Masing-masing kini berusia 13 dan 14 tahun.

“Jujur dari hati, saya akan kekal menjadi kawan baik atau best friend forever kepada dua anak tiri saya itu. Tiada seorang pun wanita di dunia ini yang boleh menggantikan tempat ibu kandung seseorang. Saya akan mengekalkan status saya sebagai kawan baik dan ibu ‘gantian’ kepada mereka.

“Kasih dan sayang untuk mereka memang tidak pernah berbelah bahagi. Sebelum ini pun, kami memang rapat. Jika ada kelapangan, kami akan meluangkan masa bersama-sama. Pada majlis akad nikah ini pun, mereka berdua tumpang teruja dengan memakai inai di jari masing-masing.

“Pada masa yang sama, saya dan Azmi semestinya menginginkan zuriat sendiri. Walau bagaimanapun, kami tidak merancang bila dan berapa jumlah anak. Berserah sahaja kepada Allah. Jika diikutkan, sebenarnya saya sudah tidak sabar mahu menimang cahaya mata,” ujar anak bongsu daripada dua beradik bahagia.
Previous Post Next Post