Sesalan Beego



BEEGO ternyata menyesal memikirkan sikap sambil lewanya dalam kerjaya sehingga menyebabkan sudah setahun setengah dia tidak menerima tawaran lakonan.

SEKITAR sembilan tahun lalu, wajah pelakon dan penyanyi Beego sering muncul di kaca televisyen menghiasi telefilem atau drama rantaian popular. Telefilem seperti Gitar Tua dan Gitar Tua 2 arahan pengarah terkemuka, Rashid Sibir merupakan antara naskhah awal yang berjaya menaikkan nama anak kelahiran negeri Johor itu sebagai pelakon.

Ketika itu, Beego masih mentah da­lam bidang lakonan, tetapi pemilik nama sebenar, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 34, sering digandingkan dengan pelakon senior yang berbakat besar. Antara pelakon yang selalu digandingkan dengannya termasuklah Fasha Sandha, Ellie Suriaty dan Fauziah Nawi.

Pencapaian bekas anggota kumpulan Phyne Ballerz itu dalam bidang lakonan bagaimanapun tidak kekal lama. Terpalit kontroversi demi kontroversi, pelakon sitkom Puteri itu menggemparkan negara apabila pernikahan pertamanya bersama Intan Shahira Mohd. Shahru yang berlangsung pada 28 Disember 2008 hanya mampu bertahan selama sepuluh hari.

Selang dua tahun kemudian, Beego sekali lagi mengejutkan khalayak. Dia ditangkap khalwat bersama empat lagi kenalannya termasuk dua lelaki dan dua wanita pada 23 Februari 2011 di sebuah kediaman di Kondominum Oakleaf, Bu­kit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Masa berlalu, Beego yang kini berkongsi hidup dengan pelakon Linda Hashim itu meluahkan banyak kekesalan yang terbuku di hati. Jarang muncul di acara-acara hiburan, bapa kepada Jelita Clarissa, tujuh bulan itu, me­ngakui sedang bahagia dengan kehidupan, namun, pada masa yang sama, karier lakonannya semakin menjunam.

Bertemu Beego pada majlis penyampaian hadiah pertandingan kuiz terkumpul drama Mencintaimu di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini, pelakon filem Libas itu memberitahu, tawaran lakonan untuknya semakin berkurang dan perkara itu berlaku impak daripada onar yang dibikin sendiri sewaktu sedang popular dahulu.

Dia pernah diberikan peluang, tetapi akibat tidak berfikir panjang dan mengikut darah muda, peluang tersebut disia-siakan begitu sahaja.




Artis Meletop!: Beego seolah-olah menyepikan diri daripada bidang lakonan. Adakah anda kurang me­nerima tawaran berlakon atau lebih selektif memilih watak?

BEEGO: Saya tidak pernah memilih watak, saya hilang daripada dunia lakonan disebabkan perangai buruk saya sendiri.

Apakah yang anda maksudkan dengan kenyataan tersebut?

Selepas dilanda kontroversi, hidup saya menjadi tidak menentu. Saya tidak fokus terhadap kerjaya dan se­ring mengikut perasaan. Apabila mendapat tawaran berlakon, saya sekadar tunaikan seperti melepaskan batuk di tangga.

Adakah itu melibatkan masalah disiplin?

Ya. Ketika itu, saya tidak ambil serius dengan pekerjaan saya. Saya sering tiba lewat di set penggambaran dan tidak komited dengan tanggungjawab yang diberikan.

Jadi, kurangnya tawaran lakonan dan hilangnya anda di mata karyawan drama tempatan sejak akhir-akhir ini adalah berpunca daripada sikap negatif anda sendiri?

Saya rasa ada benarnya. Walaupun saya tidak disenarai hitam oleh mana-mana stesen televisyen, tetapi, saya tetap merasakan bahawa sikap acuh tak acuh saya suatu ketika dahulu telah menjadi bahan bualan pihak produksi lain. Akibatnya, saya tidak lagi menerima tawaran lakonan seperti dahulu.

Sudah berapa lamakah anda tidak menerima tawaran berlakon?

Rasanya sudah hampir setahun setengah saya tidak berlakon. Keadaan genting itu berlaku selepas saya berkahwin. Sepanjang waktu itu, saya terpaksa berniaga untuk mencari rezeki. Macam-macam saya kerja saya lakukan termasuklah menjual baju di pasar malam, di kampung halaman saya di Johor. Pada waktu itu, baru timbul rasa menyesal.

Adakah anda bertekad untuk kembali berlakon?

Saya memang mahu berlakon, tetapi, agak sukar un­tuk kembali mencipta nama sebagaimana dahulu memandangkan sekarang ter­lalu banyak persaingan. Pelakon baharu juga sema­kin mendapat tempat. Saya pula semakin tua, (sambil tertawa). Tetapi, saya akan berusaha secara perlahan-lahan, sama seperti sewaktu saya mula-mula bergelar pelakon dahulu.

Bagaimanakah kehidupan anda sebagai seorang bapa?

Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehadiran Jelita. Dahulu, mungkin saya mencari rezeki untuk diri sendiri, tetapi setelah berkeluarga dan dikurniakan cahaya mata, keutamaan saya ialah anak dan isteri.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Buat masa ini, drama bersiri lakonan saya yang berjudul Pulang Sayang sedang disiarkan di TV2 pada hari Selasa hingga Khamis. Dalam drama bersiri ini, saya memegang watak sebagai Firdaus. Selain itu, saya juga bakal muncul dengan sebuah lagi drama bersiri bertajuk Keluarga Karaoke di saluran Maya HD (Astro 134) tidak lama lagi.

Adakah anda tidak mahu kembali menyanyi?

Saya dan tiga ahli Phyne Ballerz sedang membentuk sebuah reunion. Kami dalam proses perbincangan mengenai konsep baharu dan mungkin juga menggunakan nama baharu untuk lagu baharu yang akan dihasilkan.

BEEGO ternyata menyesal memikirkan sikap sambil lewanya dalam kerjaya sehingga menyebabkan sudah setahun setengah dia tidak menerima tawaran lakonan.

BEEGO nekad untuk kembali dan melupakan kisah lama yang pernah menghimpit dirinya.


Previous Post Next Post