TAUFIK akui mula seronok dengan kerjaya lakonan dan terbuka menerima tawaran lakonan selepas ini.
Profil penyanyi Singapura, Taufik Batisah, 33, cukup cemerlang. Bergelar juara program Singapore Idol musim pertama pada usia 23 tahun, sehingga hari ini, Taufik telah menghasilkan lima buah album termasuk sebuah album berbahasa Inggeris.
Terkini, penyanyi yang sudah menggenggam 32 buah anugerah itu sedang popular dengan single terbaharu bertajuk #Awak Kat Mana. Walaupun meraih kejayaan di Singapura, Taufik sebenarnya masih belum berpuas hati kerana karier masih kurang menyerlah di Malaysia.
Katanya yang baharu sahaja melancarkan album terbaharu berjudul Fique pada hujung September lalu di Singapura, dia amat berharap, album itu mampu mengharumkan namanya di Malaysia.
“Lagu #Awak Kat Mana itu bermula secara suka-suka sahaja di Instagram. Tidak sangka pula ia menjadi viral dan seterusnya memberi idea kepada saya untuk membikin sebuah lagu. Alhamdulilah, lagu itu diterima ramai peminat di Singapura dan berharap perkara yang sama berlaku di Malaysia,” jelasnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar drama Kasih Berbisik di Singapura baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, lagu Menakluk Cinta yang terdapat dalam album tersebut juga, dipilih menjadi lagu tema drama bersiri Kasih Berbisik yang kini sedang hangat ditayangkan di kaca TV tempatan.
“Dua tahun lalu, lagu saya yang berjudul Ikrar Kasih pernah menjadi lagu tema sebuah drama di TV9, kemudian lagu Seribu Tahun dendangan Imran Ajmain yang merupakan ciptaan saya bersama Imran juga popular di Malaysia.
“Malangnya, nama saya kurang dikenali sebagai pencipta lagu, sebaliknya hanya penyanyi. Bahkan kerjaya nyanyian saya juga tidak begitu kukuh di Malaysia,” akui Taufik.
Tidak berputus asa, Taufik sedar kesilapan itu datangnya daripada dirinya sendiri. Ujar Taufik, album terdahulunya yang berjudul Suara Hatiku (2008), tidak begitu kuat untuk memikat hati peminat muzik di Malaysia.
“Sebenarnya, saya sedar diri bahawa album Suara Hatiku kurang menyengat daripada segi melodi dan susunan muzik. Tiada lagu yang benar-benar kuat untuk dipromosikan di Malaysia.
“Sebab itu, untuk album Fique, saya mengambil masa selama enam tahun kerana ingin memperbaiki mutu muzik. Bukan merajuk, tetapi ingin memberi yang terbaik supaya hasilnya memuaskan hati peminat dan juga saya sendiri.
“Saya berharap, apabila lagu saya menjadi lagu tema drama bersiri Kasih Berbisik, lagu itu akan popular di carta radio dan seterusnya membuka peluang untuk saya meluaskan kerjaya nyanyian di Malaysia,” balasnya yang mencipta kesemua 13 buah lagu dalam album Fique.
Disoal, apakah perasaannya melihat selebriti Singapura lain yang berjaya membina nama di Malaysia seperti Aaron Aziz, Sleeq dan Imran Ajmain, Taufik mengakui cemburu.
“Cemburu itu ada tetapi cemburu yang positif. Kejayaan mereka membuatkan saya ingin berusaha lebih kuat.
“Pada masa yang sama, saya tumpang berbangga atas pencapaian anak Singapura yang berjaya melakar nama di Malaysia. Mungkin belum rezeki saya lagi, harap saya juga dapat menjadi seperti mereka,” luah Taufik.
Terjun dunia lakonan
Enam tahun tanpa sebarang album tidak bermakna Taufik beralih arah kerjaya ke bidang yang lain. Sebaliknya, tempoh itu digunakan untuk membikin lagu buat penyanyi lain serta mengasah bakat lakonannya.
“Jika tidak keluarkan album, tidak bermakna kerjaya seni sudah berakhir. Saya sibuk memenuhi undangan pentas, membikin lagu serta berlakon,” katanya yang pernah bekerja sebagai penghantar pizza sebelum bergelar penyanyi.
Menerusi drama pertama lakonannya yang berjudul Demi Adriana, Taufik memegang watak sebagai Dr. Khairul. Dia bergandingan dengan pelakon lain antaranya, Fiza Nizam, Junaidi Sally dan Hisyam Hamid. Pada awal pembabitan dalam lakonan, Taufik berasa sedikit kekok. Lama-kelamaan, kenangan itu menjadi pengalaman yang paling berharga buat dirinya.
“Sudah lama saya mengidam untuk melakonkan watak seorang doktor. Impian itu kedengaran lucu, tetapi sejak kecil lagi, saya menyimpan cita-cita untuk bergelar doktor.
“Apakan daya, saya hanya menjadi penyanyi. Walaupun hanya memegang watak sampingan sebagai doktor dalam drama, itu sudah memadai buat saya,” tuturnya yang ingin meneruskan kerjaya lakonan andai watak yang ditawarkan bersesuaian dengannya.