Jaclyn belum sedia ikut suami ke AS


JACLYN bersama suaminya, Shawn yang akan menetap terus di Malaysia bermula penghujung tahun ini.

Selepas mendirikan rumah tangga bersama penyanyi dan produser muzik, Shawn Rivera, 40, pada 19 Julai lalu, pelantun lagu Remedy, Jaclyn Victor atau lebih mesra disapa Jac kini terpaksa tinggal berjauhan dengan suaminya yang kini menetap di Amerika Syarikat.

Walaupun terpaksa berhubungan secara jarak jauh, Jac mengakui, keadaan tersebut sudah biasa baginya dan dia tidak pernah bercadang untuk tinggal bersama suaminya di Amerika Syarikat, sekali gus mengembangkan bakatnya di sana.




Mempunyai alasan tersendiri berikutan tindakan tersebut, Jac berkata, perhubungan jarak jauh itu bagaimanapun hanyalah bersifat sementara dan suaminya itu akan terus menetap di Malaysia sebaik pulang menjelang Krismas nanti.

Bertemu tuan empunya badan pada majlis pelancaran album terbaharunya berjudul Unleash di Hotel Vivatel Kuala Lumpur, Kosmo! cuba bertanyakan dengan lebih lanjut berhubung perhubungan jarak jauh bersama suaminya itu.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama juara pertandingan realiti Malaysian Idol itu.

Kosmo!: Setelah melangsungkan perkahwinan pada 19 Julai lalu, Jaclyn terpaksa tinggal berjauhan dengan suami. Adakah Jaclyn bercadang untuk menetap di Amerika Syarikat bersama suami?

Buat masa sekarang, saya masih belum ada perancangan untuk menetap di sana. Walaupun terpaksa berhubung secara jarak jauh, ia tidak pernah menjadi penghalang kepada kami kerana sudah biasa dengan keadaan tersebut. Lagipun, saya kini sibuk dengan promosi album saya dan dia (Shawn) juga sibuk dengan pembikinan album di sana.

Mengapakah anda tidak mengambil keputusan untuk mengembangkan bakat di sana memandangkan suami anda merupakan seorang penggiat seni di Amerika Syarikat?

Banyak faktor yang perlu difikirkan terlebih dulu sebelum mengambil keputusan untuk menetap di sana. Antara faktor yang berkepentingan ialah karier nyanyian saya. Bukan mudah untuk menembusi pasaran Amerika Syarikat. Biarpun ada perancangan daripada syarikat rakaman untuk melancarkan album saya di sana tetapi saya perlu realistik bahawa bukan mudah untuk menembusi pasaran Amerika dan ia perlu dibuat secara berperingkat dengan strategi konkrit.




Jika anda tidak akan ke sana (Amerika Syarikat), adakah suami anda akan mengambil keputusan untuk tinggal di Malaysia?

Ya, kami sudah berbincang mengenai hal tersebut. Bagai- manapun, dia masih lagi mempunyai komitmen iaitu untuk menyiapkan album terbaharunya. Apabila segala urusan telah selesai di sana, dia akan kembali dan menetap di sini.

Album terbaharu anda berjudul Unleashed merupakan album berbahasa Inggeris pertama anda. Mungkin anda boleh ceritakan serba sedikit mengenai album tersebut?

Secara keseluruhan album ini mengandungi enam buah lagu berbahasa Inggeris dan hampir separuh daripada lagu tersebut ditulis oleh saya sendiri. Syukur, segala pengorbanan sebelum ini dirasakan berbaloi. Album ini juga turut memperlihatkan kepelbagaian bakat saya dalam menyampaikan lagu-lagu selain berentak balada bersesuaian dengan kehendak muzik masa kini.

Bagaimanakah perasaan anda apabila pertama kali menulis lirik dan menerbitkan album dalam bahasa Inggeris?

Apabila saya menulis lirik sendiri untuk lagu Over And Over, Delirious dan Sweeter Than A Dream secara peribadi, saya menyifatkan ia sebagai satu peningkatan dalam karier saya. Saya berasa sungguh teruja apabila dapat memberikan sentuhan saya sendiri ke dalam lagu saya. Saya benar-benar berharap agar semua dapat menikmati dan menerima karya di dalam Unleashed. Setelah 10 tahun bergelar penyanyi, saya yakin ini adalah masa paling sesuai untuk saya tampil dengan karya sendiri dan cuba membikin lagu mengikut cita rasa saya sendiri.

Salah sebuah lagu dalam album Unleased iaitu Magical Moment merupakan karya suami anda. Adakah lagu tersebut menjadi lagu pilihan anda di dalam album ini?

Album ini sangat bermakna kepada saya, bukan sahaja lagu Magical Moment, malah kesemua lagu di dalam album ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Ia bagaikan buah tangan yang sungguh bermakna daripada saya untuk peminat yang selama ini menyokong penuh perjalanan karier saya.
Previous Post Next Post