Pertandingan Separuh Akhir Anugerah Juara Lagu 29



SEBAHAGIAN penyanyi yang layak ke pentas separuh akhir Muzik Muzik 29 yang akan memulakan persaingan pada 14 November ini.

SEPARUH akhir pertandingan Muzik Muzik 29 dilihat lebih berwarna apabila menampilkan banyak wajah baharu yang akan memberi persaingan kepada penyanyi senior yang sudah lama tidak menyertai pertandingan berkenaan.

Antara wajah baharu itu ialah Encik Mimpi, IamNeeta, Indah Ruhaila, Fynn Jamal manakala penyanyi

senior yang sudah lama tidak bertanding ialah Datuk Hattan, Erra Fazira, Awie dan Datuk AC Mizal.

Menurut penerbit separuh akhir Muzik Muzik 29, Roslina Abd. Rahman, pihaknya telah menerima 350 buah lagu pada peringkat awal.

Kesemua lagu yang terpilih ke separuh akhir itu melepasi piawaian apabila tersenarai dalam carta radio serta dinilai oleh juri profesional.

“Sebenarnya daripada 350 buah lagu yang diterima hanya 60 buah lagu sahaja yang melepasi piawaian pihak kami. Kemudian, senarai lagu itu dipendekkan kepada 30 buah sahaja.

“Apa yang saya lihat tahun ini, lebih banyak penyanyi muda dan penyanyi senior. Maknanya tidaklah wajah penyanyi yang sama setiap tahun layak ke Anugerah Juara Lagu (AJL). Bagaimanapun, tahun ini tidak banyak lagu rancak, sebaliknya lebih banyak lagu balada,” ujar Roslinda.

Selain daripada itu, ada juga lagu yang layak ke separuh akhir terpaksa digantikan oleh penyanyi lain atas sebab yang tidak dapat dielakkan seperti lagu Cinta Makrifat yang dinyanyikan oleh Awie dan Erra Fazira.

Ia akan dinyanyikan oleh Marsha dan juga Ronnie Hyper Act. Sebuah lagi lagu yang akan digantikan ialah lagu Dia Yang Kau Pilih

nyanyian Shahir diganti dengan Faizul.

Terang Roslinda, keputusan untuk menggantikan penyanyi lain itu datangnya daripada pihak pengurusan penyanyi itu sendiri.

“Pihak kami kalau boleh mahu penyanyi asal menyanyikan lagu itu. Namun, atas sebab seperti tidak dapat hadir pada tarikh ditetapkan pihak pengurusan penyanyi telah menggantikan mereka dengan penyanyi yang sesuai. Semuanya atas perbincangan bersama bukannya atas kemahuan pihak produksi sahaja,” tutur Roslinda.

Tidak mempunyai sebarang tema, pertandingan separuh akhir Muzik Muzik 29 yang mempertaruhkan 30 buah lagu akan berlangsung dengan santai di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor pada 14, 21 dan 28 November ini. Ia bagi merebut 12 tempat ke AJL 29 yang dijangka akan diadakan pada Januari 2015.


DAYANG NURFAIZAH juga bakal memberi saingan sengit menerusi lagu Di Pintu Syurga.

Penyanyi baharu, Encik Mimpi yang layak dengan dua buah lagu iaitu Rindukanlah dan Ayuh Tinggalkan Dia mengakui cukup terkejut apabila lagunya turut tersenarai ke peringkat separuh akhir.

“Ini kali pertama saya masuk separuh akhir Muzik Muzik. Saya rasa, saya adalah penyanyi yang paling baharu. Saya bersyukur kerana layak, namun persaingan sangat sengit. Kalau layak ke AJL 29 merupakan satu bonus tetapi sudah tercalon pada peringkat separuh akhir merupakan satu kejutan yang besar untuk saya,” luah Encik Mimpi.

Seorang lagi penyanyi yang menarik perhatian ialah juara Akademi Fantasia musim kesembilan, Hazama. Jika tahun lalu dia melayakkan diri ke pentas AJL bersama Amy Search menerusi lagu Simetri, kali ini dia layak secara solo menerusi lagu Malaikat.

“Sebenarnya, saya cukup berdebar pada separuh akhir Muzik Muzik 29 kerana ini kali pertama saya bertanding seorang diri. Buat masa ini saya hanya fokus pada persembahan separuh akhir sahaja.

“Andai layak ke AJL barulah saya boleh fikirkan konsep persembahan. Tidak wajar untuk saya bercakap lebih kerana belum tentu saya layak ke AJL kerana persaingan kali ini agak sengit,” akui Hazama.

Saingan separuh akhir akan bermula pada 14 November ini menerusi 10 buah lagu iaitu Akhiri Penantianku (Alif Satar), Gilalah (Stacy), Cinta Tak Pergi (Tomok & Yana), Malaikat (Hazama), Romancinta (Mojo), Hilang (Najwa Latif), Si Putih Si Merah (Black & RJ), Rentak Laguku (Bunkface & Amy Search) dan Dunia & Syurga (Akim Ahmad).

Pada 21 November pula menampilkan lagu Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah), Rindukanlah (Encik Mimpi), Ayuh Tinggalkan Dia (Encik Mimpi), Aku Juga Manusia (Amir Jahari), Dia Yang Kau Pilih (Shahir), Matahari (Hafiz), Gadis Jolobu (Datuk Hattan & Waris), Arjuna Beta (Fynn Jamal), Pasti Sempurna (Kristal ft Ronnie Hyper Act), Kau Pergi Jua (IamNeeta ft Najwa Latif) dan Infiniti Cinta (Zizan & Kaka).

Bagi saingan separuh akhir ketiga pada 28 November pula, lagu-lagu yang bersaing ialah Jodoh Berdua (Hafiz Hamidun), Mewangi (Akim & The Majistret), Percayalah (Indah Ruhaila), Sesal Separuh Nyawa (Alyah), Apa Khabar (Joe Flizzow ft Sona One), Al Haq Yang Satu (Datuk AC Mizal & Mawi), Lelaki (Yuna), Tak Pernah Berjumpa (Forteen) dan Cinta Makrifat (Awie & Erra Fazira).


Previous Post Next Post