Anak Jantan bukan filem aksi ganas



KEBANYAKAN penggambaran babak dalam filem Anak Jantan dijalankan di wilayah Sadao, Thailand.

MENONTON filem aksi terbaharu berjudul Anak Jantan yang diterajui nama besar seperti Farid Kamil, Bront Palarae dan Nora Danish, pada awalnya sememangnya sudah meletakkan harapan yang tinggi dengan perjalanan filem itu.

Dengan menggunakan khidmat para pelakon yang mempunyai nama besar dalam industri, semestinya naskhah yang telah pun seminggu menjengah layar perak seluruh negara bermula 30 Oktober lalu, mampu dikategorikan sebagai sesuatu yang berbaloi untuk ditonton.

Tidak dinafikan, dalam filem terbaharu terbitan Grand Brilliance tersebut, kebanyakan aksi lagak ngeri dilakukan sendiri oleh Farid dan Bront. Ternyata kehebatan kedua-dua figura itu tidak hanya terbatas kepada pertuturan dialog semata-mata dalam sesebuah karya.

Jika dicongak secara kasar, keseluruhan perjalanan filem kedua arahan sutradara Faizul A. Rashid itu sangat bagus dari segi pemilihan pelakon, perjalanan cerita mahupun sisi lakonan aksi babak ngeri.

Memilih untuk melakukan penggambaran di negara jiran, Thailand, sesuai dengan latar belakang filem itu yang menggambarkan pada mulanya berkisar tentang sindiket penculikan kanak-kanak, berpusat di sebuah perkampungan kecil dalam ceruk sebuah hutan di wilayah Sadao.




Menggunakan elemen keganasan seperti kumpulan militan yang siap bersenjata, pengarah filem itu menegaskan, Anak Jantan bukan sebuah naskhah yang mengangkat elemen keganasan. Namun, dek kerana mahu menimbulkan perasaan semula jadi dalam jiwa penonton, elemen-elemen seperti itu harus diterapkan agar perjalanan filemnya dilihat seakan sebuah realiti.

Sarat dengan aksi tembak menembak, beradu tenaga, khianat, dendam, cemburu, kasih sayang dan pengorbanan, pengarah dilihat berjaya menggauli kesemuanya dalam satu naskhah yang dikategorikan untuk penonton berumur 18 tahun ke atas itu.

Mengulas mengenai sisi karakter pelaku dalam filem itu, pujian perlu diberikan kepada Farid yang hampir 100 peratus melakukan aksi lagak ngeri dengan usaha sendiri tanpa memerlukan khidmat pelagak aksi ngeri.

Tidak ada apa cacat celanya dengan segala aksi yang dilakukan oleh Farid, namun mungkin proses suntingan visual yang dipaparkan ketika menyaksikan babak aksi itu agak kurang menarik membuatkan penulis berasa ia kurang ‘menyengat’.

Pengalaman Farid sendiri yang pernah menokok ilmu di Australia Stunt Academy digunakan olehnya sebaik mungkin dalam menjayakan watak protagonisnya. Bermain dengan emosi dan aksi dalam satu watak, Farid berjaya mengimbangi karakternya dengan bijak.


Filem arahan pengarah Faizul A. Rashid ini turut menampilkan Azhan Rani sebagai polis.

Kredit yang sama perlu diberikan kepada seorang lagi pelakon tinggi lampai yang berasal dari Alor Setar, Kedah. Melakonkan watak antagonis dilihat seakan sebati dengan jiwa kepada pemilik nama Bront. Juga melakonkan aksi lagak ngeri dengan sendiri, pembawakan wataknya sebagai Somchai membawa penonton menyelusuri sifat pendendam, pengkhianat dan segala yang tidak baik berakhir dengan kematian yang sia-sia.

Keyakinan Bront untuk menyajikan aksi sendiri dalam filem ini nyata berbaloi apabila dia dipuji oleh pelakon lagak ngeri Thailand yang kagum dengan kelebihan stamina yang dimiliki Bront.

Ternyata filem Anak Jantan benar-benar mengangkat serta menguji kebolehan teraju utama dalam mempersembahkan hasil yang terbaik kepada penonton.

Disulami dengan watak heroin yang dipegang pelakon jelita, Nora Danish, ia melengkapkan kesinambungan semua karakter yang ada di dalam filem itu. Walaupun begitu, terdapat kekurangan yang dikesan melalui watak Nora iaitu dirinya tidak pandai berbahasa utara.

Dari situ, watak Nora terlihat agak tercela sedikit dek kerana kesukarannya menuturkan dialog dalam loghat utara sehingga kadangkala membuatkan percakapan Nora agak kedengaran seakan ‘terbelit lidah’.

Namun, mungkin itu juga dilihat sebagai cabaran yang diambil pengarah kerana mengambil khidmat pelakon yang berasal dari bandar untuk menggalas watak sebagai orang kampung.

Previous Post Next Post