Raja Azmi bercerai lagi


RAJA AZMI bercerai kerana terluka dengan teguran suami.

Sesudah tiga bulan retak menanti belah, rumah tangga yang dibina oleh produser filem sensasi, Raja Azmi Raja Sulaiman, 55, dengan gitaris, Mohd. Eddie Ghazali, 45, akhirnya berkecai.

Pasangan tersebut sah bercerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Saiful Azli Jamaluddin, sekali gus menyaksikan Raja Azmi yang juga merupakan bekas isteri pemain badminton negara, Jalani Sidek itu, kembali solo buat kali dua.

Raja Azmi yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur baru-baru ini mengakui, perceraian tersebut berpunca daripada kesilapan sendiri kerana gagal menjadi isteri yang baik kepada Eddie. Sama-sama pernah bergelar janda dan duda, ternyata perkahwinan yang dibina atas dasar suka sama suka pada 14 Oktober 2013 itu hanya bertahan selama setahun.

Tenang dan terbuka seperti kebiasaannya, penerbit filem ...Dalam Botol itu reda dengan jalan hidup yang dipilihnya.




RAJA AZMI: Segalanya berpunca daripada kesalahan saya sendiri. Saya sering keluar rumah tanpa meminta kebenaran daripada Eddie terlebih dahulu. Akibatnya, saya pernah dimarahi dengan teruk oleh Eddie.

Adakah perkara itu yang menjadi punca sebenar sehingga anda mengambil keputusan untuk berpisah?

Ya. Saya sangat berkecil hati dengan tindakan bekas suami saya ketika itu. Mungkin orang luar akan berkata bahawa ditegur oleh suami merupakan perkara biasa.

Namun, hati saya sangat terluka dengan kata-katanya. Sejak daripada itu, kami mula tidak sehaluan dan sering bergaduh. Bagi mengelakkan terus berbuat dosa dan berkelahi dengan suami, kami mengambil keputusan untuk berpisah.

Bagaimana proses perceraian ini boleh berlangsung?

Kami sudah tidak tinggal bersama sejak bulan Ogos lalu, iaitu sekitar tiga bulan lalu. Dua hari sebelum memfailkan perceraian, kami berjumpa dan berbincang tentang status kami yang sebenar.

Apakah yang anda dapat hasil daripada perbincangan tersebut?

Kami bercakap seperti kawan. Kami boleh menerima perceraian ini dengan baik dan kami berjanji tidak akan bermasam muka antara satu dengan lain.

Pernahkan anda berdua terfikir untuk berbaik semula?

Eddie pernah berusaha untuk menjernihkan keadaan tetapi saya tidak. Mungkin disebabkan hati saya yang benar-benar terluka.

Perasaan anda selepas diceraikan dengan talak satu?

Saya reda dan percaya ini semua ketentuan daripada Allah untuk menjadikan saya insan yang lebih baik pada masa akan datang. Walaupun hanya setahun mengecap kebahagiaan bersama Eddie, namun saya tetap bersyukur dapat mengenalinya.


Previous Post Next Post