Ratu dangdut kembali


BAGI peminat irama dangdut, bait-bait lagu ini pastinya tidak pernah luntur daripada ingatan mereka.

Lunak suara penyanyinya yang membawa lagu bergenre dangdut ini masih terbayang di mata.

Kerana itu, kehadiran ratu dangdut yang popular di era 90-an ini pasti dinantikan oleh peminat kesayangannya.

Siapa sangka, di usia 40 tahun, empunya nama Nurazlina Amir Sharifuddin ini, akhirnya kembali setelah meninggalkan industri seni hampir 15 tahun.

Ditemui di majlis sidang media sempena kemunculan semulanya, penyanyi yang lebih dikenali sebagai Amelina ini memberitahu, sudah tiba masanya dia mengembalikan era kegemilangan dangdut.




“Apa yang saya lihat dangdut semakin mati dalam industri seni di Malaysia. Dengan adanya pelbagai genre lagu juga, dangdut terus tenggelam dan kurang menjadi pilihan pendengar.

“Saya akui sedih dengan keadaan ini. Malah saya sentiasa terfikir apakah jika saya tidak menghilangkan diri, irama dangdut mampu bertahan sehingga kini,” katanya.

Jelas pelantun lagu Ah Rindu Lagi ini, dia nekad memperjuangkan dangdut kerana yakin masih ramai yang meminati irama tersebut.

“Sebenarnya bukan sahaja golongan berusia, tetapi golongan muda juga ramai yang menyukai lagu-lagu dangdut.

“Cuma kini kekurangan lagu dangdut moden dan mengikut zaman. Bagi saya, jika kena dengan caranya, dangdut akan kembali menempa era kegemilangan,” ujarnya.

Tambah Amelina, dia rasa bertanggungjawab memastikan dangdut terus hidup kerana ia adalah jiwanya.

“Selepas ini saya akan cuba memastikan irama dangdut lebih mahal dan bukan kekampungan seperti yang dilabelkan oleh segelintir pihak.

“Tetapi ia terletak kepada penyanyi dangdut itu sendiri bagaimana untuk meningkatkan martabat dangdut ke peringkat lebih eksklusif,” katanya yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Wake The Baby milik komposer terkenal Ajai.

Berkongsi perkembangan pembikinan lagu terbaharunya, akui Amelina, dia masih dalam proses mencari masa sesuai untuk melakukan rakaman bersama Ajai.

“Sekarang kami masih berbincang mengenai lagu, yang pasti single terbaru saya akan dilancarkan pertengahan Disember nanti,” katanya bakal merakam semula lagu hit seperti Asyik, Rindu dan Semakin Rindu Semakin Asyik jika mendapat permintaan peminat.




Imej lebih sopan

Sementara itu, Amelina menjelaskan dia telah membuat solat istikharah sebanyak tiga kali sebelum memutuskan untuk kembali menjadi penyanyi.

“Saya sudah lama fikir untuk kembali semula, namun banyak perkara yang menghalang niat tersebut. tetapi selepas membuat solat istikharah, barulah saya mendapat keyakinan untuk meneruskannya,” katanya.

Tidak terlepas di aju pertanyaan mengenai sisi peribadinya setelah sekian lama menghilang.

Ibu kepada enam anak ini, mengakui lebih selesa jika hal-hal peribadinya tidak dikongsi bersama orang luar.

Bagi Amelina, adalah lebih baik dia merahsiakan kisah peribadinya demi untuk menjaga hati semua pihak.

“Bukan sahaja anak-anak, tetapi hati keluarga juga perlu dijaga. Yang menjadi artis adalah saya bukannya mereka, jadi saya tidak mahu cerita-cerita yang berkaitan peribadi dan keluarga membuatkan mereka tidak selesa,” katanya.

Katanya, dia juga bakal tampil dengan pakaian yang lebih sopan dan sesuai dengan usianya kali ini demi menjadi maruah diri dan keluarga.

“Sebagai seorang ibu, saya tidak mahu anak-anak terkesan dengan perubahan saya,” katanya.

Mengenai penampilannya sebelum ini yang dikatakan sudah bertudung, Amelina berkata, dia bertudung ketika itu untuk mengelakkan dirinya dikenali.

“Untuk pengetahuan semua saya masih belum bertudung, saya pakai ketika itu kerana sebab-sebab tertentu,” jelasnya.
Previous Post Next Post