MENJADI yang terbaik. Itulah impian setiap anak seni yang berkarya, tidak kira dalam apa jua bidang pun sama ada kaca televisyen, layar perak mahupun produksi belakang tabir. Semuanya memainkan peranan penting untuk menggerakkan sesebuah naskhah drama atau filem.
Tanda aras, populariti dan nilai seseorang pelakon atau pelaku seni terletak pada pengiktirafan yang diterima. Selain diukur dengan jumlah trofi yang tersusun, pencapaian optimum turut diadili menerusi kedudukan anugerah itu sendiri. Misalnya, dua trofi yang paling dinanti-nantikan saban tahun setiap kali penganjuran Anugerah Skrin (ASK); anugerah Drama Terbaik dan Filem Terbaik.
Meletakkan harapan, namun pada masa sama berdepan tekanan untuk mengulang kembali kegemilangan trofi Drama Terbaik tahun lalu menerusi drama Mawar Putih Tanda Perpisahan, Pengarah Urusan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., Datuk Rosyam Nor percaya, setiap usaha yang dihasilkan bersungguh-sungguh akan membuahkan hasil yang cemerlang.
“Sebagai sebuah syarikat penerbitan yang sudah banyak menghasilkan drama untuk stesen televisyen pastinya tekanan itu ada untuk bersaing mengekalkan trofi Drama Terbaik yang pernah dimenangi tahun lalu, malah jika difikirkan dari perspektif komersial sudah pasti saya mahu setiap drama yang dihasilkan berjaya memenangi anugerah.
“Tipulah kalau saya katakan saya tidak meletakkan sebarang ekspektasi dalam setiap pertandingan drama atau filem, namun hal yang harus diakui, setiap acara ada juri yang berbeza-beza dan mereka berhak menentukan pemenang walaupun pandangan itu berbeza dalam setiap penganjuran acara.
“Tahun lalu drama saya memenangi anugerah Drama Terbaik dan kalau tahun ini saya boleh mengulangi kejayaan tahun lalu, itu merupakan rahmat besar buat saya,” kata Rosyam yang ditemui pada sesi fotografi bersama Kosmo! di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
IZREEN AZMINDA layak ke final ASK 2014 berbekalkan kualiti lakonannya di dalam drama rantaian 7 Suami dan telemovie Perjalanan.
Drama vs filem
Biarpun sukar meletakkan jangkaan dalam setiap kategori, hal utama yang ditekankan setiap kali menerbitkan naskhah drama atau filem (di bawah syarikat RK Screen), Rosyam berpandangan, tiada naskhah harus dibikin sambil lewa.
“Memang berdebar menantikan keputusan pada malam Anugerah Skrin nanti. Apapun saya bersyukur kerana hampir setiap tahun drama saya tersenarai sebagai finalis beberapa kategori. Sebagaimana besarnya debaran untuk mempertahankan anugerah yang sama tahun lalu begitu juga besarnya keterujaan saya untuk menang tahun ini.
“Saya percaya setiap drama yang tersenarai dipilih berdasarkan rating yang tinggi dan titik mulanya dicetuskan menerusi pembikinan awal sesebuah naskhah itu. Kalau cerita itu bagus, maka penonton akan tengok dan perkara pokok yang sering saya utamakan adalah bagaimanakah caranya untuk menarik orang menonton dan setia hingga episod terakhir,” tambahnya.
Menerusi ASK 2014, tiga buah drama terbitan Rosyam berjaya menembusi senarai akhir. Selain drama Mengejar Neraka, dua buah drama lain iaitu Kata Samseng dan Perjalanan menampilkan pemenang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) yang baru dinobatkan minggu lalu itu sebagai pelakon utama.
Malah, drama rantaian 7 Suami yang diterbitkan olehnya turut tersenarai sebagai calon akhir kategori Drama Rantaian Terbaik ASK 2014. Paling dinanti-nantikan, filem yang baru menjulang namanya di pentas FFM26 baru-baru ini, KL Gangster 2 turut menduduki kerusi finalis Filem Terbaik ASK 2014 selain filem Balistik.
ANUAR CHEW mewakili drama Mentari Terbit Lagi yang ditayangkan di saluran AlHijrah bersaing di dalam anugerah yang memberi peluang kepada semua produk dari mana-mana stesen televisyen bertanding.
Izreen realistik
Sementara itu, penjulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ASK 2013 menerusi drama Perempuan Itu Ibuku, Izreen Azminda Aznam, enggan meletakkan sebarang sasaran untuk anugerah sama tahun ini. Katanya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan dia tidak menolak saingan tahun ini lebih sengit berbanding tahun lepas.
“Seperti biasa saya tidak meletakkan sebarang harapan kerana tercalon pun sudah cukup untuk saya bersyukur. Kalau ada rezeki, insya-Allah.
“Tahun lepas pun menjadi tahun sulung saya tercalon dan tidak sangka pula hasil kerja saya diiktiraf sedemikian. Jujur saya katakan, selepas kemenangan itu landskap kerjaya saya berubah dan selepas sembilan tahun saya berkecimpung dalam industri, akhirnya orang mempercayai saya,” ujarnya yang melihat pengiktirafan itu sekadar bonus untuk melonjakkan kariernya.
Dua buah naskhah lakonan hebat Izreen tercalon untuk ASK 2014 iaitu drama Perjalanan yang menyaksikan cabaran peralihan usia dua fasa berbeza karakter Khadijah yang dilakonkannya dan drama rantaian sarat emosi, 7 Suami. Drama Perjalanan pernah disiarkan dalam slot Cerekarama TV3 manakala drama rantaian 7 Suami disiarkan di slot Ratu, TV9.
Drama rantaian 7 Suami yang diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., mengisahkan kehidupan Safiyah yang diuji dengan tujuh perkahwinan yang terpaksa dilalui dalam kehidupannya. Biarpun terpaksa melepaskan cinta sejati bersama Ihsan kerana perhubungan yang tidak direstui kedua-dua orang tua lelaki tersebut, Safiyah terpaksa mengikut kehendak neneknya berkahwin dengan lelaki tua demi membalas budi.
“Kedua-dua naskhah itu ada kekuatan tersendiri namun saya akui drama Perjalanan banyak menguji kemampuan fizikal dan mental saya kerana perlu meletakkan usia saya lebih tua daripada usia sebenar,” kata Izreen yang baru selesai penggambaran drama Pergilah Air Mata dan Cinta Gila.
DATUK ROSYAM NOR tidak sekadar bertanding sebagai pelakon, tetapi membawa beberapa drama terbitannya, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. di pentas ASK 2014.
Integrasi Anuar
Bercakap mengenai perkembangan atmosfera drama dan filem tempatan, kata pelakon yang sudah berkecimpung hampir 20 tahun dalam industri seni perfileman tempatan, Anuar Chew Abdullah atau nama asalnya, Chew Kin Wah, 49, dia melihat perkembangan naskhah drama dan filem yang dihasilkan setiap tahun semakin mencapai piawaian bertaraf antarabangsa, namun seperkara yang masih perlu dititikberatkan adalah dari aspek integrasi antara kaum.
Kata pelakon filem Belukar dan Tanda Putera itu, industri lakonan tempatan perlu diselaraskan dan format kuota naskhah luar negara yang dibenarkan memasuki, sekali gus ditayangkan di Malaysia perlu diperkemas.
“Jika diperhatikan industri drama dan filem sudah semakin berkembang dan pelbagai cerita baharu dihasilkan setiap tahun, saya memuji usaha tersebut kerana ia menandakan kita sudah semakin maju dalam bidang tersebut. Paling jelas sekarang, musim novel diangkat menjadi drama dan telah mencetuskan fenomena berganda antara peminat novel dan artis kesayangan mereka.
“Namun, saya lebih pentingkan naskhah luar negara yang dibawa masuk ke dalam Malaysia untuk ditayangkan. Jika suatu ketika dahulu adanya kuota yang hanya membenarkan jumlah tertentu sahaja ditayangkan setiap tahun, namun sekarang syarat itu sudah semakin longgar dan kesannya pelbagai karya sudah bercampur aduk serta ditayangkan sewenang-wenangnya.
“Saya tidak menolak persaingan sihat yang akan wujud jika adanya karya luar negara yang diimport masuk, namun janganlah sampai persaingan itu menjejaskan industri sendiri,” luahnya.
Pelakon yang telah memeluk agama Islam sekitar tahun lalu itu turut tercalon dalam ASK 2014 menerusi lakonan berkesan dalam drama Mentari Terbit Lagi terbitan Al-Hidayah Productions Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Azeli Mohammad.
Drama itu mengisahkan Alina seorang mualaf yang baru kematian suami. Dia terpaksa bekerja dan meninggalkan anaknya, Haikal bersama Simon, bapanya yang berlainan agama. Pada mulanya, Simon berasa kekok untuk tinggal bersama Haikal, namun dia cuba menyesuaikan diri dengan rutin harian cucunya yang beragama Islam. Selain Anuar, drama yang disiarkan di TV AlHijrah itu turut dibintangi Akid Lema Tay Abdullah, Adam Corrie Lee Abdullah dan Mohd. Harminder Singh.
“Subjek dan konteks yang diketengahkan dalam drama itu sangat menarik, selain teknik pengarahan yang diaplikasikan oleh Azeli (Mohammad) berbeza daripada drama lakonan saya sebelum ini. Paling sukar apabila saya perlu mengajar Shariza Chong berkomunikasi dalam bahasa Cina,” kongsi Anuar.