Sikap Baran Syamsul Kurang Selepas Jadi Suami


Sikap panas baran Syamsul berjaya dikurangkan sejak mendirikan rumah tangga dengan Puteri Sarah

Sikap panas baran pengarah filem Syamsul Yusof yang sukar dikawal sebelum ini berjaya dikurangkan selepas dia mendirikan rumah tangga dengan aktres Puteri Sarah Liyana.

Syamsul, 30, berkata, sebelum ini dia menyangkakan tidak ada orang akan memahami sikap itu selain ibunya, tetapi selepas berumah tangga, dia mendapati Sarah juga bijak mengambil hati sehingga membuatkan dia turut berusaha untuk berubah sikap.




"Memang dari dulu lagi, ibu yang paling rapat dan sering mendengar luahan perasaan saya lebih-lebih lagi ketika isu filem KL Gangster 2 dicetak rompak sebelum tayangan.

"Dan saya sangka tiada wanita lain yang mampu menenangkan saya selain ibu. Tetapi Alhamdulillah, saya diberi seorang isteri yang penyabar dan memahami seperti ibu.

"Kerana dia... semangat saya kembali pulih. Kerana dia juga sikap saya yang 'tidak betul' sebelum ini berjaya dikurangkan," katanya kepada mStar Online.

Syamsul telah diijabkabulkan dengan Puteri Sarah pada 8 Mac lalu di Masjid Sri Damansara di sini.


Syamsul dan Puteri Sarah

Dalam pada itu, tambah Syamsul, sejak mendirikan rumah tangga, dia tidak lagi terlalu mengejar kejayaan karier sebaliknya lebih mengutamakan isteri dan keluarga.

"Jika dahulu, sebelum penggambaran, saya akan meneliti skrip di mana saya perlu bersendirian tanpa perlu diganggu orang lain.

"Tetapi, sekarang ini skrip itu saya letak ke tepi dan utamakan Sarah dan keluarga. Saya tidak mahu hidup ini penuh dengan kejayaan karier tetapi gagal dalam kehidupan keluarga," ujarnya.

Terdahulu, filem prekuel KL Gangster 2 arahan Syamsul telah dicetak rompak sebulan awal sebelum tayangannya pada 3 Oktober 2013.

Ia mematahkan semangat Syamsul apabila dia tidak dapat menerima hakikat tentang perkara itu menyebabkan dia seolah-olah merajuk dengan dunia seni.

Sementara itu, Syamsul berkata, dia menganggap kejadian yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya untuk dirinya tidak lupa pada Tuhan.

"Tak kisahlah siapa yang salah dalam hal ini. Tetapi saya memandang perkara ini dalam skop yang berbeza. Saya nampak, Tuhan sering memberikan pelbagai kejayaan besar bagi setiap filem. Cuma untuk KL Gangster 2, dia menguji saya sedikit.

"Selepas bermuhasabah diri, baru saya sedar bahawa sebelum ini saya sedikit lupa dengan tanggungjawab sebagai seorang Islam. Dan ujian yang diberi Tuhan juga seketika saja apabila saya mendapat rezeki untuk berkahwin dengan seorang isteri yang cantik dan sangat memahami.

"Tidak lama kemudian, KL Gangster 2 juga memperoleh kejayaan dengan meraih Anugerah Penataan Bunyi Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia (FFM23) yang berlangsung baru-baru ini. Alhamdulillah," tuturnya.

Dalam pada itu, Syamsul berkata, dia akan kembali aktif mengarah filem bermula tahun depan, iaitu selepas selesai berlakon dalam filem arahan adiknya, Syafiq Yusof berjudul Desolusi.

Syamsul akan mengarahkan dua filem berjudul Munafik dan Tailong.


Previous Post Next Post