Antara dongeng dan realiti Kim Kardashian



“POPULAR tanpa sebab.” Barangkali itu merupakan ungkapan klise yang sering dilontarkan oleh khalayak umum kepada bintang realiti Kim Kardashian apabila diminta untuk mendefinisikan skala populariti wanita yang berusia 34 tahun itu.

Secara lahiriah, nama isteri kepada rapper Kanye West itu mula menjadi sebutan selepas pita rakaman seks bersama bekas teman lelakinya, Ray J yang tertiris di internet diterbitkan oleh sebuah syarikat perfileman porno di Amerika Syarikat sekitar sebelas tahun yang lalu.

Hakikatnya, populariti serta pengaruh yang dibawa wanita yang kini menggelarkan dirinya sebagai Kim Kardashian West itu jauh lebih besar berbanding skandal video seksnya.

Ianya terbukti menerusi kejayaan sembilan musim rancangan realiti berjudul Keeping Up With The Kadashians (KUWTK) yang mula diterbitkan sekitar tahun 2007 oleh saluran E! selain bisnes fesyen dan kecantikan yang diusahakan bersama adik beradiknya yang lain.

Walaupun sering dilihat bergelumang dengan kemewahan dan kerlipan lampu denyar kamera, namun, anak kepada peguam terkemuka Robert Kardashian itu mengakui sukar berdepan dengan situasi tersebut saban hari.




“Setiap hari, boleh dikatakan hampir sepuluh buah kereta paparazi akan menunggu di luar rumah bersedia untuk mengambil gambar saya.

“Jalan terakhir yang saya lakukan adalah tidak mengendahkan kehadiran mereka. Saya harus menerimanya sebagai satu ketentuan. Ini adalah kehidupan saya,” jelas Kim yang turut digelar sebagai artis yang dahagakan perhatian akibat obsesi terhadap aktiviti memuat naik gambar dan selfie di laman sosial miliknya.

Bagaimanapun, pemilik butik pakaian Dash itu memberitahu, populariti yang dimilikinya mungkin tidak segah seperti sekarang tanpa kehadiran laman sosial seperti Twitter dan Instagram.

“Ketika saya mula-mula muncul dengan KUWTK, platform sosial media tidak dipandang serius oleh masyarakat, Namun, saya percaya, kami sekeluarga berkembang seiring dengan perkembangan laman-laman sosial yang ada sekarang,” jelasnya.

Untuk rekod, bekas pembantu peribadi dan juru runding pakaian sosialit Paris Hilton itu merupakan antara pengguna laman sosial yang paling berpengaruh setakat ini.

Realiti tersebut harus ditelan oleh segelintir ‘pembenci’ wanita berketurunan Armenia itu apabila dia merupakan figura ketiga paling popular di Instagram pada tahun ini dengan pengikut sebanyak 22.6 juta orang.


KEHADIRAN North West di dalam hidup Kim dan Kanye melengkapkan cinta mereka.

Di samping itu, foto perkahwinannya bersama Kanye yang berlangsung pada bulan Mei lalu merupakan foto paling popular laman perkongsian gambar tersebut dengan jumlah like sebanyak 2.4 juta.

Melihat fenomena tersebut sebagai jawapan kepada rutin perkongsian kisah peribadinya menerusi laman media sosial, Kim mengakui, bercerita menerusi Instagram dan Twitter merupakan aktiviti yang sangat digemarinya.

“Saya sangat suka berkongsi mengenai dunia saya dengan peminat. Saya adalah diri saya, tidak lebih tidak kurang,” jelasnya.

Sensasi, kontroversi

Jika dilihat pada rentetan perjalanan kisah peribadinya sepanjang tahun 2014, lensa kamera dunia hiburan dan fesyen antarabangsa tidak pernah lekang merakam momen-momen ikonik Kim dan suaminya, Kanye.

Selepas melahirkan anak perempuan sulungnya, North West, setahun, pada 21 Jun tahun lalu, figura itu semakin rancak mengukuhkan pengaruh di Hollywood menerusi kemunculannya sebagai penghias muka hadapan majalah fesyen paling popular, Vogue, pada bulan Mac bersama Kanye.

Walaupun menerima kritikan daripada kebanyakan penggemar fesyen yang menyifatkan dia tidak layak untuk dimuatkan di dalam majalah berprestij itu namun, Kim positif terhadap pencapaiannya itu.

“Saya begitu bangga apabila dipilih oleh Anna Wintour untuk menjadi penghias muka depan Vogue edisi Amerika Syarikat. Tambahan pula, adik beradik saya yang lain turut menyukai gambar-gambar di dalam majalah itu,” katanya.

Selepas reda daripada menerima kritikan, Kim sekali lagi mencetuskan ribut di Hollywood apabila tampil mendedahkan bahagian belakang punggung serta alat sulitnya menerusi gambar-gambar editorial majalah Paper yang diterbitkan sekitar bulan November lalu.

Dalam pada banyak golongan lelaki ‘teruja’ dan hangat memperkatakan tentang keaslian aset Kim, golongan wanita pula menyelar tindakan selebriti itu sebagai kerja kotor yang memalukan status seorang ibu beranak satu.

Bagaimanapun, menurut Kim, dia menganggap gambar-gambar yang dirakamkan oleh Jean-Paul Giude itu sebagai satu projek seni dan berasa bertuah dapat berkolaborasi bersama jurugambar berkenaan.

“Sudah lama saya ingin bergambar seperti itu dan bagi saya, ia dapat menambah keyakinan pada diri. Tambahan pula, saya berasa sangat gembira dapat bekerja dengan beliau kerana Jean-Paul merupakan seorang legenda dalam bidang fotografi.

“Sebagai seorang ibu dan selebriti, saya tidak menggalakkan orang lain untuk melakukan perkara yang sama. Tetapi bagi saya, ia merupakan sebuah projek seni dan ia banyak mengajar saya untuk mencuba sesuatu yang sudah lama ingin saya cuba,” ujarnya penuh yakin.


KIM menjadi selebriti Hollywood yang mempunyai paling banyak pengikut di Insagram dengan 22.6 juta orang.

Didik anak

Melanjutkan bicara mengenai fasanya sebagai seorang ibu, Kim memberitahu, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dalam membesarkan anak sulungnya yang diberi nama North West yang menginjak usia lebih setahun.

Walaupun sering dilabel sebagai anak yang manja dan sering dilimpahkan dengan kemewahan, namun, Kim mempunyai percaturan yang tersendiri dalam mengajar anaknya itu tentang erti sebenar kehidupan.

“North perlu bekerja untuk mendapatkan apa yang dia mahu,” ujar Kim yang melangsungkan perkahwinannya dengan Kanye pada 24 Mei lalu di Forte di Belvedere, Florence, Itali dengan kos mencecah sehingga AS$2.8 juta (RM9.7 juta).

“Ramai kawan-kawan saya terkejut dengan kenyataan saya itu, namun, itu adalah hakikat yang mereka perlu terima.

“Ketika zaman remaja, saya terpaksa bekerja dan menyimpan semata-mata mahu membeli sehelai baju jenama pereka fesyen Dolce & Gabbana.

“Saya juga pernah menabung selama setahun semata-mata mahu membeli sepasang kasut jenama Prada yang berharga AS$400 (RM1300).

“Kami tak pernah dapat barangan berjenama dengan cara yang mudah,” ulas Kim yang memulakan bisnes pertamanya menjual barangan berjenama terpakai di kedai lelong online, eBay.



Previous Post Next Post