NEELOFA
Bencana banjir yang kini melanda beberapa buah negeri di pantai timur termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang semakin memburuk sehingga menjejaskan hampir keseluruhan penduduk di kawasan musibah.
Sehingga semalam, sebanyak lebih 100,000 mangsa banjir di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Kedah dan Perlis terpaksa dipindahkan.
Prihatin dengan keadaan mangsa banjir yang kini terjejas teruk, beberapa selebriti bersedia untuk tampil memberi bantuan. Selain sentiasa mendoakan agar keadaan banjir di negeri yang terjejas reda, beberapa selebriti yang disenaraikan ini mempunyai azam dan strategi sendiri untuk membantu golongan ini.
Bagi pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam, beliau melahirkan rasa terkejut apabila mendapat khabar mengenai bencana banjir yang dialami kebanyakan negeri di pantai timur.
Beliau yang baru pulang daripada percutian bersama keluarganya di Korea Selatan, menjelaskan tidak tahu menahu mengenai bencana buruk itu. Mempunyai inisiatif untuk membantu, Yusof bercadang untuk memberi bantuan secara peribadi kepada mangsa banjir.
“Saya terkejut melihat berita bencana yang melanda seluruh pantai timur sejak seminggu lalu.
“Saya dan keluarga bercadang untuk menderma secara peribadi kepada seluruh mangsa banjir. Selain daripada wang tunai, kami juga akan menyerahkan pakaian terpakai kami untuk seluruh mangsa banjir.
“Bagaimanapun, saya belum memastikan medium yang sesuai untuk menyalurkan bantuan berkenaan. Saya bersedia untuk memberi bantuan di bawah mana-mana yayasan yang ingin menyalurkan bantuan terus kepada mangsa banjir,” ujarnya serius.
Turut merasai derita yang dialami oleh mangsa banjir, pelakon dan usahawan, Fizo Omar bercadang untuk membantu mangsa banjir dengan memberi bantuan bekalan air bersih kepada seluruh kawasan negeri kelahirannya di Kelantan.
“Insya-Allah, buat masa sekarang saya di bawah syarikat perusahaan saya, Hot Burger Sdn. Bhd., sedangdalam perancangan untuk menghantar beberapa buah lori yang mengandungi bekalan air bersih ke seluruh kawasan banjir yang terjejas di daerah Kelantan.
“Bagaimanapun, buat masa sekarang kami masih belum dapat melaksanakan perancangan tersebut kerana laluan utama untuk masuk negeri Kelantan ditutup sepenuhnya sejak seminggu lalu,” katanya yang bercadang untuk pergi melawat keluarganya dalam masa terdekat.
Fizo menambah, sehingga kini, dia bersyukur kerana kawasan rumah kediaman ibu bapanya di tanah jajahan Pasir Putih, Kelantan belum terjejas.
Bagaimanapun, pelakon yang pernah membintangi Mistik Alam Hitam itu tetap berhati-hati dengan sebarang kemungkinan buruk yang melanda dan keluarganya.
“Saya sangat bersyukur kerana kawasan kediaman keluarga saya di Pasir Putih masih belum terjejas sepenuhnya. Bagaimanapun, pada masa yang sama saya juga berasa hiba apabila mendengar khabar sebanyak 30 stor burger francais saya ditenggelami air.
YUSOF HASLAM
“Saya berazam untuk memberi bantuan sepenuhnya selepas ini dan pada masa yang sama saya sangat berharap bencana ini akan segera pulih menjelang awal tahun hadapan,” ujarnya.
Bagi pelakon dan pengacara, Neelofa, keluarganya yang tinggal di kawasan tanah jajahan Pasir Mas mengakui dia sentiasa risau dengan sebarang kemungkinan yang melanda keluarganya.
“Saya sangat bersyukur kerana buat masa sekarang, rumah kediaman kedua ibu bapa saya masih belum terjejas teruk, namun, kediaman saudara-mara saya di sekitar Pasir Mas sudah ditenggelami air.
“Sehingga kini, saya masih memujuk keluarga saya untuk datang ke Kuala Lumpur sehingga bencana tersebut pulih, namun mereka enggan datang ke sini (Kuala Lumpur) kerana ingin menjaga rumah,” katanya.
Dalam pada masa yang sama, Neelofa memberitahu, dia sentiasa bersedia untuk memberi bantuan jika keadaan memerlukan.
Sementara itu, penyanyi Misha Omar memberitahu, kawasan kediaman keluarganya di Kampung Gunchit Bayam, Kota Bharu, Kelantan sehingga kini masih belum terjejas.
Bersyukur ibunya tinggal bersamanya, bagaimanapun, Misha masih risaukan ahli keluarga lain termasuk saudara-maranya yang kini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan buat sementara waktu sehingga bencana tersebut reda.
“Sebelum ini, ibu menetap bersama saya di sini, (Kuala Lumpur), sekurang-kurangnya saya tidak risau keselamatannya. Bagaimanapun, saya tetap risau dengan keadaan saudara mara yang lain.
“Buat masa sekarang saya bercadang untuk membantu daripada kewangan dalam skala kecil, mungkin saya akan memberi setakat saya mampu terutamanya apabila melibatkan proses pemulihan semula selepas banjir nanti.
“Saya juga berharap semua mangsa banjir tabah dalam menghadapi dugaan ini. Saya hanya mampu berdoa agar musibah ini akan reda dalam masa terdekat,” katanya mengakhiri perbualan.
Pelakon dan penyanyi popular, Izzue Islam yang berasal dari Bukit Merak, Kota Bharu, bersyukur kerana kediaman keluarganya tidak ditenggelami air kerana berada di kawasan tinggi. Meskipun tidak pernah mempunyai pengalaman mengharungi banjir, Izzue tetap terkesan dengan banjir yang melanda negeri kelahirannya itu.
“Kampung halaman saya jarang dilanda banjir, jika banjir paling teruk pun setakat buku lali sahaja. Keluarga saya juga memberitahu mereka tidak terjejas dengan banjir di Kelantan.
“Namun, saya tetap bersimpati kerana banjir menyukarkan kehidupan seharian semua orang terutamanya keluarga yang mempunyai anak kecil dan orang tua,” kata Izzue.
Dia yang berniat untuk membantu mangsa banjir menyeru orang ramai terutamanya individu yang tidak berada dalam kawasan banjir supaya berhenti menyebarkan berita dan gambar yang tidak benar tentang keadaan banjir di negeri tersebut.
“Sepanjang seminggu, saya menerima pelbagai berita dan gambar yang tidak benar tentang keadaan banjir. Sudahlah mereka berada dalam keadaan sukar, jangan ditambah keadaan yang akan menyusahkan mereka. Walaupun saya mempunyai pilihan untuk menghebahkan maklumat di laman sosial, saya tidak berbuat demikian kerana bimbang berita itu.
“Jalan terbaik dapatkan berita daripada media arus perdana dan juga pihak berkuasa di kawasan yang terjejas. Jika boleh tolong, tolonglah yang termampu untuk meringankan beban mereka,” ujar Izzue.