Asmirandah (kiri) dan suaminya, Jonas yang menyertai ritual di gereja menimbulkan kontroversi awal tahun ini.
Harus diakui, saban hari dunia hiburan Indonesia tidak pernah lekang dengan sensasi dan hangat yang diciptakan barisan selebriti mereka sama ada sengaja atau pun tidak.
Menjelang 2015, dunia hiburan mereka masih turun naik dengan kisah yang hangat. Siapa sahaja ‘juara’ sensasi sepanjang 2014 yang kerap menjadi laporan dan hidangan umum.
Kuasa ‘mulut’ Ahmad Dhani
Satu-satunya figura seni Indonesia yang tidak pernah kering dengan sensasi jatuh kepada Ahmad Dhani. Sikap dan kelantangannya dalam berbicara selalu meletakkan Dhani sebagai ‘juara kontroversi.’
Tahun lalu pengasas kumpulan Dewa 19 itu dikejutkan dengan salah seorang anaknya, Abdul Qodir Jaelani, 13, cedera parah selepas memandu kenderaannya secara curi-curi. Insiden pada dinihari itu menyebabkan tujuh nyawa lain melayang setelah kenderaan itu terbabas di sebuah lebuh raya. Tahun ini, Dhani menjadi titik fokus media Indonesia kerana mendedahkan tarikh perkahwinannya dengan Mulan Jameela.
Hubungan suami-isteri itu telah lama dihidu, namun Dhani dan Mulan sering mengelak menjawab teka-teki tersebut. Sehingga pada tahun ini, kehadiran seorang anak kecil bernama Safeea yang sudah semakin membesar barangkali mendesak Dhani membuka mulut.
“Kami sudah berkahwin pada 13 Mac 2009 sewaktu anak-anak saya bersunat,” ujar Dhani yang menyimpan bertahun-tahun rahsia perkahwinannya dengan wanita yang juga merupakan rakan baik bekas isterinya, Maia Estianty.
Beberapa bulan menutup misteri perkahwinan mereka, Julai 2014 menyaksikan Dhani membikin gempar rakyat Indonesia apabila memuat naik status di laman Twitter peribadinya yang menyatakan dia akan memotong kemaluannya jika Gabenor Jakarta, Joko Widodo atau Jokowi berjaya mengalahkan calon disokong Dhani, Prabowo Subianto sebagai Presiden Indonesia ketujuh.
Selepas heboh, tweet tersebut kemudian dipadamkan dan selepas Jokowi menang, Dhani yang ditanya media mengapa tidak menepati janjinya berkata: “Tweet mengenai janji saya memotong kemaluan itu memang cerdas, tetapi bukan saya yang menulisnya.”
Terkini, Dhani sekali lagi menggunakan ‘kuasa mulutnya’ dengan memaki seorang juruterbang syarikat penerbangan Garuda Indonesia kerana ‘meninggalkannya’ yang dalam perjalanan ke Malang bagi memenuhi sebuah konsert di sana.
Di Twitter, lelaki itu menulis: “Hari ini Pilot @IndonesiaGaruda ke Malang, ‘kampret’. Padahal tiada lagi jadual penerbangan ke sana. Dia tidak boleh fahamkah ada kemalangan di tol, jalan jadi sesak... Kalau @DE19WA gagal buat persembahan di Malang malam ini, itu semua salah juruterbang @IndonesiaGaruda kampret.”
Tindakannya itu menarik perhatian umum dan kebanyakannya menyelar Dhani kerana kesilapan itu datang daripadanya dan bukan juruterbang tersebut, malah ada peminat yang meminta dia membeli jet peribadi sendiri jika tidak mahu ketinggalan!
Agama Asmirandah
Awal tahun ini dibuka dengan cerita sensasi pelakon sinetron popular, Asmirandah. Berita itu ternyata telah menyentak seluruh umat Islam selepas sekeping gambar yang didakwa Asmirandah sedang menjalani ritual di sebuah gereja tersebar luas di internet.
Ironi, Asmirandah seorang Muslim. Namun, dia telah berkahwin dengan Jonas Rivanno yang merupakan penganut Kristian. Perkahwinan mereka ditentang dan menerima bantahan kerana berbeza agama. Bagaimanapun selepas timbul berita Jonas telah memeluk Islam, mereka berkahwin. Namun, akhirnya berita itu disahkan sebagai tidak benar oleh keluarga Jonas. Mereka mendakwa anak lelaki mereka tidak pernah bertukar agama.
Selepas tersebarnya gambar kontroversi tersebut, Asmirandah membuka mulut. Dia menegaskan agama adalah suatu yang peribadi. Dia juga tidak mahu membahas lebih jauh tentang agama yang ia anut sekarang.
“Agama hak saya, itu iman saya. Terserah orang mahu menilai saya seperti apa. Itu urusan saya sama Tuhan,” ujar Asmirandah yang mengaku telah berkahwin sekali lagi dengan Jonas selepas perkahwinan mereka pada tahun lalu dianggap tidak sah dari sisi agama Islam.
JULIA PEREZ sentiasa punya cerita sensasi.
Bayi tabung uji Julia Perez
Tak pernah duduk diam, ada sahaja sensasi yang mahu dicetuskan pelakon Julia Perez atau Jupe. Tahun ini, Jupe sukses menuai kecoh dalam kalangan rakyat Indonesia apabila mengumumkan dia mahu melakukan teknik bayi tabung uji kerana takut faktor usia menyebabkan tahap kesuburannya merosot.
Ia menjadi kecoh kerana Jupe belum berkahwin. Keinginannya itu sempat ditentang keras oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI).
“Rahim saya sukar mendapat anak selepas berusia 30 tahun. Justeru kata doktor saya harus hamil sekarang,” katanya yang kini berusia 34 tahun dengan yakin.
Dia juga mendakwa tahu tentang undang-undang dan hukum agama, malah akan bertanggungjawab penuh ke atas tindakan yang diambilnya. Jupe juga dalam satu temu bual mengatakan, dia akan memilih benih lelaki yang paling baik untuk dijadikan baka dan jika dia berjaya hamil, dia akan menikahi penderma sperma itu.
Aurel nafi buat muka
Salah satu berita hangat dunia hiburan Indonesia sepanjang 2014 adalah tentang penampilan anak Krisdayanti dan Aman Hermasyah, Aurel. Seiring usianya meningkat belasan tahun, Aurel kini gadis cantik.
Bentuk wajahnya yang nampak lebih tirus dan kulitnya yang kelihatan lebih putih menimbulkan gosip bahawa Aurel telah melakukan pembedahan plastik.
Tuduhan itu bagaimanapun pantas dipatahkan oleh Aurel.
“Kalau berita yang mengatakan saya menjalani pembedahan plastik, itu tidak. Bohong!”
Nikita Mirzani dibelasah suami
Sepanjang berkahwin, Nikita Mirzani nampak bahagia. Rupa-rupanya itu hanya satu sandiwara. Menjelang penghujung 2014 menjadi saksi bahawa perkahwinan pelakon itu dengan lelaki Singapura, Sajad Ukra sebenarnya seperti di dalam neraka.
Nikita telah dipukul, malah pernah diterajang sewaktu hamil enam bulan yang membuatkan dia nekad untuk memfailkan penceraian.
“Saya bukan hanya disakiti secara fizikal, tetapi juga secara batin!” dedahnya yang juga memberitahu dia baru mengetahui bekas suaminya itu juga seorang panas baran selepas berkahwin.
Pasangan tersebut berkahwin pada Oktober tahun lalu dan dikurniakan seorang anak yang baru berusia dua bulan, Azka Aqilla Ukra.