FARALYNA anggun berbusana sentuhan Altilia Arman.
MENJADI pengalaman pertama buat penulis apabila diberi peluang menyaksikan penyatuan dua cinta di atas kapal persiaran
Mungkin kedengaran agak janggal, namun itulah kelainan dan istimewanya majlis akad nikah dramatis Faralyna Idris, 23, dengan pasangannya, Fikri Abdullah, 24.
Suasana dingin yang diiringi gerimis malam tidak sedikit pun mencacatkan perjalanan majlis, bahkan bagaikan direstui, hujan renyai dan angin kencang beransur reda usai dua buah kapal persiaran yang ditempah khas bagi majlis akad nikah tersebut mula meninggalkan dermaga.
Membawa hampir 200 penumpang yang terdiri daripada ahli keluarga dan saudara-mara terdekat, kapal persiaran tersebut membelah perut Tasik Putrajaya menuju ke sebuah tempat yang dikenali sebagai Marina Bay.
Destinasi tersebut dituju bagi menjemput pengantin perempuan sebelum kapal persiaran berhenti di tengah-tengah Tasik Putrajaya. Walaupun sedikit terlewat daripada jadual sebenar, namun perjalanan majlis berlangsung dengan lancar.
Tepat pukul 11 malam, susuk tinggi lampai Faralyna atau lebih mesra disapa Fara terlihat di tengah-tengah kerumunan keluarganya. Mengenakan busana putih krim sulaman Altilia Arman, terpancar riak gemuruh di sebalik wajah tenangnya.
Masih mengikut jadual perjalanan majlis, pengantin lelaki masuk dari kapal persiaran kedua yang dicantum bersama kapal persiaran pertama. Terus mengambil tempat membetulkan kedudukan, Fikri bersedia menantikan upacara akad nikah dijalankan.
Dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Pernikahan, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Muhamad Pairuz Suhairi Abdullah, Fikri sah bergelar suami kepada pelakon yang pernah membintangi drama rantaian Vanilla Coklat itu dengan sekali lafaz.
“Saya berasa sangat lega walaupun sebelum pernikahan ini, banyak dugaan melanda termasuk terpaksa datang lewat ke majlis ini disebabkan terdapat beberapa masalah yang melibatkan ahli keluarga.
“Bagaimanapun, segalanya berjalan dengan lancar. Walaupun perancangan dilakukan pada saat-saat akhir, namun ia berjalan dengan lancar, malah lebih baik seperti yang kami rancangkan sebelum ini,” ungkap Fara usai majlis pernikahan tersebut selesai dengan jayanya.
Teringat arwah ibu
Ditanya sebab sebenar pelakon itu menangis teresak-esak usai majlis akad nikah berlangsung, Fara memberitahu, dia tidak mampu menahan sebak apabila terkenang arwah ibunya.
“Saya sangat sebak apabila terkenang arwah ibu. Saya mahu dia melihat detik bahagia saya kerana sebelum ini saya sangat rapat dengannya. Walaupun dia sudah meninggalkan saya lebih enam tahun lalu, namun ketiadaannya tetap dirasai.
“Mujurlah ibu saudara yang saya anggap sebagai ibu kandung sendiri ada bersama. Dialah tempat saya mengadu. Saya cuma teringatkan arwah ibu, saya pasti arwah merupakan orang yang paling gembira apabila saya sudah berkahwin,” kata anak kelahiran Taiping, Perak itu.
Membawa perbualan lebih mendalam mengenai ibunya, Fara memberitahu, sifat memahami dan kasih sayang yang dicurahkan oleh ibunya sebelum ini merupakan momen paling manis yang pernah hadir dalam hidupnya.
“Saya selalu mengutamakan ibu saya dalam setiap apa yang dilakukan, malah jika saya keluar bersama teman, ibu akan turut serta. Dia merupakan seorang insan yang paling memahami saya. Dia tidak pernah menolak permintaan saya sebelum ini dan sentiasa manjakan saya.
DUA tahun bersahabat, Fikri dan Faralyna kini selamat disatukan sebagai pasangan suami isteri.
“Disebabkan jalinan yang erat sebelum inilah yang membuatkan saya begitu sedih dan tidak mampu menahan sebak ketika upacara menyarung cincin dan membatalkan air sembahyang tadi,” katanya sayu.
Fikri bertanggungjawab
Tidak pernah terfikir bakal menamatkan zaman bujang dalam usia muda, pelakon yang pernah membintangi filem Gila-Gila Remaja 2 itu menerima dengan hati terbuka apabila dia dilamar bakal suami yang dianggap teman baik selama ini.
Fara yang mengenali suaminya itu dua tahun lalu memberitahu, hubungan mereka sebelum ini hanyalah sekadar teman biasa dan niat untuk berkahwin berlaku secara kebetulan.
“Saya mengenali bakal suami sekadar teman yang lama-kelamaan menjadi teman rapat. Sepanjang perhubungan itu, kami tidak pernah mengisytiharkan hubungan kami sebagai pasangan kekasih, namun apabila sudah lama berkawan saya dapat rasakan keserasian antara kami dan daripada situlah timbul rasa sayang.
“Apabila suatu hari dia menyatakan hasrat mahu melamar saya sebagai isterinya, saya terkejut kerana melihat kesungguhannya di samping bersedia memikul tanggungjawab baharu. Kami memang sudah mengenali ahli keluarga masing-masing dan mereka merestui perhubungan ini.
“Justeru, saya tidak mahu berfikir terlalu lama. Sikap tanggungjawabnya sebagai abang sulung kepada tiga beradik serta membantu menguruskan keluarga selepas kehilangan ibunya tahun lalu amat meyakinkan saya bahawa dialah yang terbaik untuk saya,” katanya penuh pengharapan.
Diminta untuk mengulas keistimewaan Fara di mata Fikri, jejaka berusia 24 tahun itu memberitahu, keserasian antara mereka merupakan kekuatan utama dalam perhubungan mereka selama ini.
“Dia (Fara) merupakan seorang yang sangat bersahaja dan memahami. Namun, apa yang menjadi daya penarik utama dia di mata saya ialah dia merupakan seorang yang tidak mudah melatah.
“Dia sentiasa tenang dalam menghadapi pelbagai situasi tidak kira sesukar mana sekalipun hal tersebutlah yang berjaya menawan hati saya dan menjadikan dia istimewa di mata saya,” jelas jurugambar yang kini mempunyai syarikat produksi sendiri itu.
Pasca perkahwinan
Ditebak mengenai perancangan masa depan pasangan mempelai ini, Fikri memberitahu, dia akan fokus terhadap kerjayanya dan pada masa yang sama Fara juga akan membantu mengusahakan perkhidmatan fotografi yang diberi jenama Double FF.
“Insya-Allah, saya akan fokus terhadap perniagaan itu dan saya berharap Fara mampu untuk menolong saya sedikit sebanyak dalam perniagaan ini. Lagi pun, saya terlampau sibuk dengan tempahan perkhidmatan videografi yang kebanyakannya untuk majlis perkahwinan,” jelas Fikri.
Tidak pernah menghalang isterinya itu terlibat dalam bidang lakonan, Fikri bagaimanapun memberitahu, kalau boleh biarlah isterinya itu membataskan tawaran lakonan yang diterima bersesuaian dengan status yang dijunjung sekarang.
“Saya tidak boleh menghalangnya daripada berlakon. Bagaimanapun, saya boleh menasihati Fara dalam soal watak dan peranan yang akan dimainkan dalam drama, jika sesuai barulah saya akan membenarkannya,” ujar Fikri serius.
Bercadang untuk berbulan madu di Maldives, Fara sudah tidak sabar mengunjungi pusat peranginan yang tersenarai sebagai antara lokasi peranginan tercantik di dunia.
“Saya juga sangat sukakan pantai. Dahulu, saya dan ibu saya selalu pergi ke pantai jika ada kelapangan. Perancangan bulan madu ke Maldives memang ada dalam agenda kami.
“Bagaimanapun, sehingga kini tarikhnya belum ditetapkan disebabkan kekangan masa dan jadual kerja Fikri padat,” ujar Fara mengakhiri perbualan.