PELAKON ini bakal menamatkan zaman jandanya bersama Sahrizam selepas sambutan Hari Raya tahun depan.
SEPANJANG minggu ini, termometer kontroversi pelakon Putri Mardiana Zainal Abidin, 33, memuncak tatkala nama wanita itu dikaitkan dengan kes penangkapan khalwat bersama teman lelakinya, Sahrizam Abdullah pada Ahad lalu.
Ketika kejadian, Putri Mardiana atau lebih mesra disapa Nina difahamkan sedang duduk berdua-duaan bersama Sahrizam atau lebih dikenali sebagai Ejump di dalam apartmennya yang terletak di Ukay Perdana, Selangor sebelum mereka diserbu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kira-kira pukul 3.23 pagi.
Ketika berpeluang menghubungi Nina menerusi panggilan telefon semalam, pelakon yang pernah memenangi pingat emas menerusi Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) 2011 di Hollywood, California, Amerika Syarikat kategori lakonan itu berkata, serbuan yang dilakukan oleh JAIS pada pagi Ahad lalu dipercayai didalangi oleh bekas teman lelakinya yang cemburu melihat hubungannya bersama Sahrizam.
Bagaimanapun, ibu kepada Alia Wirdani, 12, Amir Firman, 10, dan Airell Zuhair, 9, itu menambah, dia tidak mempedulikan tanggapan orang lain tentang dirinya asalkan dia tahu perkara sebenar yang berlaku di sebalik kejadian itu.
Artis Meletop!: Apakah sebenarnya yang berlaku di rumah Nina pada awal pagi Ahad lalu?
PUTRI MARDIANA: Ketika itu, kami baru sahaja pulang selepas keluar berjalan-jalan. Teman lelaki saya singgah sebentar kerana dia mahu minum air tetapi tidak sampai beberapa minit, pintu rumah kami diketuk oleh pegawai-pegawai JAIS. Pada waktu itu, kami langsung tidak berbuat apa-apa dan saya mengesyaki bahawa ia adalah suatu perangkap.
Apakah sebab utama anda mengesyaki kejadian itu adalah suatu perangkap?
Saya percaya serbuan itu merupakan suatu perangkap kerana ia berlaku ketika saya dan Ejump baru sahaja masuk ke dalam apartmen saya. Kemudian, selepas kami dibawa ke balai polis, secara tiba-tiba maklumat ini tersebar menerusi aplikasi Whatsapp.
Setelah saya siasat, ia disebarkan melalui nombor bekas kekasih saya. Saya juga ada menghubungi tuan rumah tempat saya menyewa dan dia juga memberitahu bekas teman lelaki saya itu ada menghubunginya Jumaat lepas bertanyakan nombor rumah saya.
Pada pendapat anda, mengapakah bekas kekasih anda berbuat demikian?
Mungkin kerana rasa cemburu. Tambahan pula, dia dan Ejump pernah berkawan rapat suatu ketika dahulu.
Apakah reaksi anda selepas kejadian tersebut?
Saya tidak risau dengan tanggapan orang ramai kerana saya dan Ejump tidak buat apa-apa. Cuma, anak-anak saya sudah besar dan tahu membaca. Apabila perkara ini diperbesarkan, apa pula kata rakan-rakan mereka di sekolah? Ia tentu menjadi sesuatu yang menyedihkan buat mereka.
Benarkah dakwaan yang mengatakan anda bakal berkahwin dengan Ejump?
Jika proses perceraian antara Ejump dan isterinya selesai, kami akan berkahwin selepas hari raya tahun depan.
Adakah anda tertekan apabila terkait dengan kontroversi seperti ini?
Tidak juga. Ibu bapa kami berdua juga sudah maklum dengan perkara tersebut. Jadi, saya rasa ia tidak menjadi masalah yang besar.
Anda sudah lama tidak berlakon. Apakah perkembangan terbaharu anda?
Buat masa ini, saya sedang muncul dengan drama bersiri #Antidot. Sejujurnya, saya ada terima banyak tawaran berlakon. Cuma, saya terpaksa menolak kebanyakan daripadanya kerana sudah terikat dengan komitmen bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu kota.