Cinta lokasi Wan Raja, Yaya Maembong


Wan Raja dan Yaya menerima kejutan hadiah bulan madu ke Eropah yang diberikan oleh adik Yaya, Emma Maembong.

KATA-KATA pujangga ada menyebut, urusan pertemuan dan jodoh itu letaknya kepada ketentuan Tuhan. Begitulah yang dialami oleh pasangan pelakon Wan Raja dan pasangannya, Yaya Maembong.

Kisah cinta Wan Raja atau nama sebenarnya Saiful Redzuan Abu Bakar, 37, dan Yaya berputik saat mereka sama-sama bergandingan dalam sebuah drama bersiri berjudul Diari Merah Jambu, sekitar dua tahun yang lalu.

Selepas dua tahun menyulam cinta bersama, pasangan merpati dua sejoli itu selamat bernikah pada 12 Disember lalu di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang, Selangor.

Ditemui usai majlis tersebut, Wan Raja yang pernah popular menerusi filem ...Dalam Botol itu berkata, dia tidak menyangka perkenalan yang bermula di lokasi penggambaran boleh berpanjangan hingga ke jenjang pelamin.

Katanya, selain tidak sombong, dia berminat untuk mengenali Yaya dengan lebih dekat selepas mendapati wanita itu turut berkongsi minat yang sama dengannya.




“Ketika sama-sama membintangi drama bersiri Diari Merah Jambu, saya tertarik untuk berkenalan dengan Yaya kerana minat yang kami kongsi bersama.

“Saya dan Yaya masing-masing menyukai bidang seni lukisan dan tambahan pula, ayahnya, Ismail Embong merupakan seorang pelukis yang terkenal.

“Jadi, pada awal perkenalan, banyak perkara yang kami kongsikan bersama,” tutur Wan Raja yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ditanya soal karier seni selepas mendirikan rumah tangga, Wan Raja berkata, dia tidak berniat untuk menghalang isterinya itu untuk terus berlakon.

Begitupun, jika ditakdirkan untuk menimang cahaya mata suatu hari nanti, mungkin dia akan meminta Yaya untuk memperlahankan sedikit aktiviti seninya itu.

“Bidang lakonan menjadi punca rezeki utama kami berdua. Jadi, tidak adil bagi Yaya untuk berhenti berlakon setelah bergelar isteri.

“Namun, jika dikurniakan anak suatu hari nanti, mungkin dia boleh memilih untuk memperlahankan karier lakonan dan memberi fokus yang lebih kepada keluarga,” katanya.

Pada majlis tersebut, Wan Raja turut menghadiahkan Yaya lima dulang hantaran berupa sepasang telekung, sebentuk cincin, sebuah tas tangan, set solekan serta wang sebanyak RM12,121.40. Selain itu, Yaya juga turut menerima mas kahwin sebanyak RM300.

Sebagai balasan, Yaya memberikan tujuh dulang hantaran kepada Wan Raja. Antara hadiah yang diberikan adalah sepasang kasut, sebiji kek dan minyak wangi.

Tajaan bulan madu

Sudah menjadi adat pengantin baharu, tempoh awal perkahwinan semestinya dipenuhi dengan agenda berbulan madu. Bagi Yaya dan Wan Raja, awalnya mereka merancang untuk melancong ke pulau-pulau peranginan yang ada di Malaysia.

Namun, kejutan yang diterima iaitu pakej percutian ke London, England hadiah daripada adik Yaya, iaitu Emma Maembong menyebabkan rancangan bermula madu Yaya dan Wan Raja bertukar 360 darjah.

“Sebenarnya, hadiah itu merupakan satu kejutan tetapi entah macam mana, ia tidak lagi menjadi rahsia dan saya mengetahuinya dengan lebih awal.

“Itu merupakan hadiah yang sangat istimewa daripada Emma. Jika semuanya berjalan lancar, kami akan ke sana pada tahun depan,” kata Yaya bersulam bahagia.


Previous Post Next Post