
PELUANG melihat dan merasai sendiri penderitaan dan kesengsaraan masyarakat Islam di negara bergolak seperti Syria, membentuk satu semangat jihad yang tinggi kepada (dari kanan) Aziz, Heliza dan Fadzli.
Pulang dari negara yang sedang bergolak dan dilanda peperangan, Syria pastinya akan membawa seribu satu kisah buat tiga selebriti popular, Aziz M. Osman, Heliza Helmi dan Fadzli UNIC. Ternyata, pengalaman luar biasa yang mereka kutip itu mahu dikongsi serba sedikit dengan pembaca.
Bertolak pada 15 November dan selamat pulang ke tanah air pada 22 November lalu selepas menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Untuk Rakyat Syria, memberi kesempatan kepada mereka untuk berkongsi kisah di sana.
Misi tersebut anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia, selaku pertubuhan yang sah mengendalikan misi bantuan.
Selama lapan hari, rombongan yang disertai lapan orang sukarelawan tersebut bertujuan membantu membangunkan Maahad Muslim Care di Rayhanli, yang terletak di sempadan Turki-Syria. Mereka turut menyumbangkan bantuan baju tebal dan kasut kepada penghuni kem pelarian yang kini berhadapan cuaca musim sejuk.
Hadir dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini, ketiga-tiga selebriti itu membuka cerita tentang pengalaman yang dilalui ketika berada di bumi Syam.
Tidak hanya menjadi penyampai sumbangan daripada rakyat Malaysia yang prihatin, rombongan tersebut turut berkesempatan menyelami sendiri penderitaan rakyat Syria akibat dilanda konflik perang saudara.
Pengalaman pertama, Aziz teruja
Bagi pengarah terkenal Aziz M. Osman, kembara itu menjadi pengalaman pertama beliau merasai sendiri suasana berada di sebuah negara yang bergolak.
Teruja dan bersemangat, namun debaran serta khuatir bercampur menjadi sebuah perasaan yang sukar diterjemahkan buat pengarah filem Leftenan Adnan itu.
“Sejujurnya, ketika saya ditawarkan pihak Muslim Care Malaysia untuk menjadi salah seorang selebriti yang akan ke sana (Syria), saya bersetuju tanpa berfikir dengan panjang kerana peluang itu memang menjadi keinginan saya.
“Setibanya di sana, saya sedar ada sesuatu yang mengusik jiwa saya. Pengalaman itu memberi pengertian kepada senario sebenar yang berlaku di sana. Saya lihat dengan mata kepala sendiri ramai anak kecil yang tidak mempunyai ibu bapa, kemusnahan bangunan dan kediaman di sekeliling. Itu semua satu senario yang cukup mengesankan jiwa.
“Anda bayangkan, sewaktu kami tiba di sebuah bandar bernama Idlib, kami sangat terkejut kerana bandar tersebut umpama ‘bandar hantu’. Bangunan, kawasan perumahan, sekolah dan taman tema masih ada, tetapi tidak berpenghuni kerana semua penduduk telah lari menyelamatkan diri dan meneruskan survival hidup di kem-kem pelarian.
“Mana tidaknya, jika hari-hari berlaku peperangan, logiklah beberapa bandar di negara itu menjadi kosong dan sunyi daripada dihuni penduduk,” ujar pengarah berusia 52 tahun itu sayu membuka tirai perbualan.
Bicara pengarah filem XX Ray itu lagi, antara pengalaman paling menguji ketahanan dirinya ialah ketika terdengar bedilan bom dalam jarak yang cukup dekat dari tempat persinggahan para peserta rombongan.
“Setiap hari, lebih empat bunyi letupan bom kedengaran berhampiran dengan kedudukan kami. Apa yang lebih mendebarkan, pernah satu ketika, sewaktu kami semua sedang tidur, ada dua biji bom dirasakan melayang atas kepala dan jatuh berhampiran kami. Perasaan pada waktu itu tidak boleh saya bayangkan.
“Tangan menggeletar, jantung berdegup kencang dan fikiran berkecamuk. Seolah-olah nyawa sudah di hujung tanduk dan jika tidak bernasib baik, bila-bila masa sahaja boleh melayang di situ juga,” ujarnya bersungguh-sungguh menceritakan detik cemas itu.
Ironi, akui Aziz, biar terbit rasa gentar di dalam dirinya berhadapan dengan pergolakan peperangan di negara tersebut, dia memang sudah lama menanam azam untuk berkunjung ke negara-negara bergolak seperti Syria. Kata Aziz, dia mahu bertemu dan merasai sendiri penderitaan rakyat di sana.
Katanya: “Situasi negara mereka tidak sama dengan negara kita. Jika di sini, kita hidup aman damai tanpa ada peperangan. Di sana, setiap hari ada pertumpahan darah dan anak-anak kecil yang tidak berdosa menjadi mangsa. Sebab itu, keinginan saya bergelodak untuk membantu, cuma dahulu, saya tidak tahu saluran kebajikan mana yang sahih.
“Sejak berkahwin dengan Puteri Sarbainun Lokman, dia memang banyak membantu saya dalam hal seperti ini, sebab dia mempunyai rakan-rakan dan rangkaian kenalan yang luas mengenai NGO.
“Bermula daripada situ, pintu hati saya terbuka luas untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan. Sebagai seorang selebriti, kami akan gunakan suara dan nama kami bagi meyakinkan orang ramai membantu meringankan kesengsaraan rakyat Syria.”
Harapan Fadzli

PASUKAN Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Syria bergambar di Pejabat Muslim Care di Raihaniyyah, Turki.
Sama seperti Aziz, Ahmad Fadzli Ab. Aziz yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kemban juga punya cerita yang mahu dikongsi.
Setelah pulang ke tanah air, harapannya cuma satu, dia mahu lebih ramai lagi rakyat di bumi Malaysia yang bertuah ini membuka mata dan tampil masyarakat yang tertindas di sana.
“Tidak hanya rakyat Syria, kami juga berharap semua negara Islam lain turut menjadi perhatian kita. Jika bukan kita yang membantu, siapa lagi kerana mereka juga saudara kita.
“Daripada pemerhatian kami, rakyat Syria sangat bijak dalam menguruskan kehidupan mereka. Bagilah apa sahaja bentuk sumbangan, mereka tahu bagaimana menguruskannya.
“Seperti contoh, jika mendapat bantuan dana dalam bentuk kewangan, duit itu digunakan untuk membuka perniagaan. Dengan cara itu, mereka mampu mendapatkan pulangan untuk jangka masa panjang,” ujar Fadzli yang mula menyertai kumpulan nasyid UNIC pada tahun 2005.
Fadzli yang juga merupakan seorang perunding motivasi itu menyimpan harapan yang menggunung tinggi. Dia berharap, pengalamannya itu boleh dijadikan disampaikan menjadi kisah yang bermakna kepada rakyat di negara ini.
“Pernah saya bertanyakan soalan kepada mereka di sana mengenai soal rezeki. Dengan tenang mereka menjawab, mereka hanya berserah kepada Allah. Mereka tiada pilihan lain kecuali terus tinggal di negara asal mereka.
“Sejak itu saya sedar, ia bagaikan satu petunjuk buat rakyat di negara ini untuk terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” tutur bapa kepada dua orang anak itu penuh pengharapan.
Jihad Heliza
Sering berpeluang menyertai rombongan bantuan kemanusiaan ke negara-negara bergolak seperti Syria dan Palestin, Heliza ada kisahnya yang tersendiri.
Mungkin pemergian tersebut merupakan pengalaman kali pertama buat Aziz dan Fadzli, namun tidak buat gadis berusia 28 tahun itu. Acapkali ‘terpilih’ dan diberi peluang dan ruang untuk berbakti kepada rakyat di sana, anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu mempunyai misi berjihad di jalan Allah.
“Tahun ini sahaja, dua kali saya diberi kesempatan untuk membantu rakyat di sana. Selepas saya pulang dari bumi para Anbiya itu sekitar bulan Mei lalu, baru-baru ini, saya berpeluang sekali lagi menjejakkan kaki ke sana.
“Perasaan saya tidak pernah berubah, malah semakin kuat untuk berjuang di bumi itu. Memang dalam hati, saya sudah tanamkan dalam jiwa, jika mahu berjihad di jalan Allah, jihadlah bersungguh-sungguh.
“Apa yang saya lihat di depan mata ketika berada di negara bergolak itu, hanya satu semangat yang ada. Saya mahu negara Syria dan juga Palestin bebas,” ujar gadis kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim kelima itu bersemangat.
Melihat kesengsaraan yang dialami rakyat di negara Syria dan Palestin telah memuncakkan semangat juang yang ada dalam jiwa wanitanya.
“Saya tidak akan berhenti daripada terus membantu saudara kita di sana, walau dengan apa cara sekali pun, bantulah setakat yang mampu. Bagaimana kita masih mampu tidur dengan lena dan hidup dengan selesa, sedangkan rakyat di sana benar-benar menderita dan memerlukan pertolongan.
“Sebab itu, sekarang kami sedang giatkan usaha dengan menjalankan ceramah di beberapa lokasi terpilih seluruh negara selain mengumpul wang sumbangan. Aktiviti ini tidak akan berhenti dan berterusan sampai bila-bila kerana bantuan kemanusiaan seperti ini tidak bermusim,” tutur Heliza dengan mesra sebelum mengakhiri perbualan.